Sebelum ini, ada bodykit Albermo XR51 yang mengubah penampilan Toyota RAV4 untuk jadi lebih mirip kepada Lamborghini Urus. Dan kini, penawaran sama turut ditawarkan bari pemilik sebuah lagi SUV popular keluaran Toyota, iaitu Harrier – kali ini oleh Craftech yang membawakan kesan penampilan yang sama.

Dihasilkan untuk Harrier XU60 generasi ketiga, kit badan Craftech dikenakan kos sebanyak 380,000 yen (RM14,855) sebelum cukai dan penghantaran. Ia terdiri daripada daripada bampar depan dengan rekaan yang lebih tajam dengan bukaan ruang udara yang lebih besar dengan perincian hexagonal yang sama, mirip sekali dengan imej pada model Urus.

Lain-lain bahagian yang terlibat ialah pelindung gril yang memaparkan logo Harrier, serta alur pada bonetnya. Kit tersebut turut merangkumi skirting sisi, dan bahagian belakang juga dengan rekaan bampar yang lebih agresif, lengkap dengan elemen ala diffuser dengan empat sirip menegak. Bampar berkenaan juga dipersiap untuk digunakan dengan sistem ekzos empat cabang.

Syarikat itu juga menawarkan pakej yang lebih murah, terdiri daripada bampar depan, alur bonet dan pelitup gril pada harga 240,000 yen (RM9,369). Atau, pelanggan boleh membeli mana-mana bahagian berkenaan secara berasingan termasuk “lampu siang”. Ini termasuk lampu utama asli Harrier, serta sensor parkir serta sensor untuk Toyota Safety Sense yang dikekalkan.