Subaru Levorg telah dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Jepun bagi edisi 2020-2021. Wagon generasi kedua ini membawakan kemenangan kali ketiga buat Subaru untuk penganugerahan yang sama selepas model Impreza Sport/G4 memenanginya pada tahun 2016. Tahun lalu, Toyota RAV4 telah memenangi anugerah tersebut.
“Ia adalah penghormatan besar apabila Levorg diiktiraf dengan penghargaan khas ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami dan semua pihak berkepentingan yang lain atas sokongan berterusan mereka kepada Subaru. Kami akan terus meningkatkan usaha kami untuk menawarkan “kenikmatan dan ketenangan fikiran” kepada semua pelanggan,” ujar Tomomi Nakamura, presiden dan CEO Subaru Corporation.
Diperkenalkan pada Ogos lalu, Levorg mengambil masa yang agak lama untuk muncul di pasaran selepas pertama kali ia dipertontonkan sebagai model Viziv Tourer Concept pada tahun 2018, diikuti dengan Levorg Prototype pada 2019 dan kemudian Levorg Prototype STI Sport setahun selepas itu.
Hasil produk akhir ini masih mengekalkan ciri model prototaip 2019 dan 2020, dengan penggayaan yang nampak lebih berani berasaskan rekaan ciptaan Subaru, “Dynamic x Solid”. Hujung hadapannya sangat menyerlah dengan gril berbentuk haksagon yang lebih besar disambungkan ke lampu utama LED.
Pada bahagian sisinya pula, gerbang roda squarish kelihatan berbanding berbentuk bulat pada model sedia ada, memberikan kesan yang lebih maskulin. Malah dua garisan berkarakter yang menonjol juga kelihatan pada sudut tersebut, termasuk berhampiran dengan pintu yang merentangi pemegang pintu.
Melewati bahagian belakang pula, lampu berbentuk-C lebih nipis berbanding sebelum ini, dengan kepingan kemasan hitam berbanding krom. Selain itu, dua corong ekzos kini menyertai perumah berbentuk tiga segi untuk reflektor.
Bagi dimensinya, Levorg baharu ini lebih besar berbanding model sebelumnya, dengan 4,755 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,500 mm tinggi, serta jarak rodanya 2,670 mm. Sebagai perbandingan, model sebelumnya berukuran 4,690 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,490 mm tinggi dan jarak rodanya 2,650 mm.
Dengan platform dan imej baharu, Levorg ini juga menerima enjin petrol 1.8 liter pengecas turbo boxer baharu. Dengan nama kod CB18, unit suntikan terus ini mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS (174 hp) dari 5,200 hingga 5,600 rpm dan tork 300 Nm dari 1,600 hingga 3,600 rpm, dengan pacuan disalurkan ke semua roda menerusi Lineartronic CVT dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.
Angka tersebut banyak meningkat berbanding unit FB16 1.6 liter dengan 170 PS (168 hp) dan 250 Nm, tetapi kurang dari enjin turbo FA20 2.0 liter dengan lonjakan kuasa 296 PS (292 hp) dan 400 Nm. Subaru mendakwa penggunaan bahan apinya serendah 13.7 km/l mengikut kitaran WLTC, atau 16.6 km/j mengikut standard JC08.
Di Jepun, Levorg ditawarkan dengan enam varian – GT, GT EX, GT-H, GT-H EX, STI Sport dan STI Sport EX. Hanya varian STI Sport sahaja yang didatangkan dengan sistem mod pemanduan komprehensif, dengan empat pilihan – Comfort, Normal Sport, Sport+ dan Individual – dengan butang pilihan pada roda stereng. Varian lain pula didatangkan dengan sistem SI-Drive dengan dua mod – Intelligent dan Sport.
Levorg ini turut dipadankan dengan sistem EyeSight X yang dipertingkatkan, dengan penambahan ciri pemanduan semi-automatik seperti bantuan kesesakan trafik, kawalan kelajuan aktif dan bantuan tukar lorong aktif. Teknologi berdasarkan kamera ini masih mengekalkan sistem utama sedia ada termasuk brek pra-pelanggaran, unintentional acceleration suppression, kawalan kelajuan aktif dan amaran ketibaan lorong, kepekaan trafik lintasan belakang, lampu tinggi adaptif dan sistem pemantauan pemandu (yang ditempatkan di atas skrin infotainmen).
Sehingga 6 Disember 2020, Subaru telah menerima 12,594 tempahan untuk Levorg, dan dilaporkan sebanyak 94% pelanggan memilih varian yang dilengkapi dengan EyeSight X.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.