Sejak diperkenalkan pada generasi pertama Subaru Impreza WRX GC8, model berprestasi tinggi dengan enjin boxer empat silinder turbo 4WD berkenaan sememangnnya telah dikeluarkan dalam versi wagon, selain sedan empat-pintu dan coupe dua-pintu. Namun apabila masuk ke generasi kedua (GDA/GDB), model coupe mula diberhentikan dan WRX wagon-lima pintu dibina buat versi terakhir menerusi platform ini (model lima-pintu WRX generasi ketiga lebih berkonsep hatchback dan bukan wagon).

Pada Geneva Motor Show 2018 yang kini sedang berlangsung, Subaru telah mendedahkan model konsep Viziv Tourer, lanjutan dari pengenalan model konsep Viziv Performance di Tokyo Motor Show 2017 dan Viziv Performance STI di Tokyo Auto Salon 2018. Jika dua model terawal berkenaan dikatakan prebiu kepada model WRX dan WRX STI generasi seterusnya, adakah Viziv Tourer ini bayangan bahawa Subaru akan membawa semula WRX wagon atau ia merupakan Levorg generasi selepas ini? Ia masih dalam peringkat awal dan masih agak sukar untuk dipastikan.

Subaru Viziv Tourer Concept ini menampilkan muka yang hampir sama dengan kedua-dua Viziv sebelumnya, terutamanya pada lampu hadapan berkonsep jalur LED dan juga pada gril utama direka dengan falsafah “Dynamic x Solid”. Namun, ia menampilkan skup bonet tradisi Subaru dengan elemen berbeza dan tidak tersembul keluar serta diberikan bampar hadapan dengan rekaan berlainan.

Keempat-empat sisi versi Tourer ini turut diberikan fender dan flare gentian karbon yang memberikan impak seperti otot-otot untuk menempatkan rim gergasi berdiameter 20-inci, dibaluti tayar 245/40R20. Cermin tingkap sisi sebelah belakang pula tidak direka besar seperti model-model Impreza wagon terdahulu, sebaliknya diberikan unit yang kecil dan tirus.

Beralih kebelakang, lampu versi Tourer ini juga direka hampir sama seperti versi sedan sebelum ini. Namun, rekaan bamparnya tidak diberikan bentuk yang agresif pada bahagian diffuser, dan hanya dua tip ekzos dengan elemen trapezoid ditempatkan, berbanding empat tip ekzos bulat pada Viziv dan Viziv Performance STI.

Dari segi dimensi, model ini dibina dengan 4,775 mm panjang, 1,930 mm lebar, serta 1,435 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula diukur dengan jarak 2,730 mm. Sama seperti sebelum ini, tiada perincian mekanikal diberikan tetapi jenama tersebut menyatakan model ini akan dijana enjin boxer bersama sistem pacuan semua roda Symmetrical AWD Subaru.

Untuk keselamatan pula, Subaru Viziv Tourer dilengkapi dengan sistem bantuan pemandua Eye-Sight generasi seterusnya yang dijangka akan diperkenalkan pada tahun 2020. Menurut Subaru, sistem yang menggabungkan radar, GPS berketepatan tinggi dan sistem navigasi berkenaan mampu “mengurangkan kelesuan kepada pemandu dalam perjalanan yang jauh bagi membolehkan pemanduan aktif yang menyeronokkan dengan ketenangan minda”.

GALERI: Subaru Viziv Performance STI di Tokyo Auto Salon 2018

GALERI: Subaru Viziv Performance di Tokyo Motor Show 2017

GALERI: Subaru Levorg 1.6 GT-S