Subaru beli 0.3% saham Toyota – lengkapi kerjasama, lebih banyak pembangunan bersama selepas ini

Subaru beli 0.3% saham Toyota – lengkapi kerjasama, lebih banyak pembangunan bersama selepas ini

Subaru mengumumkan bahawa mereka telah melengkapkan proses pembelian kepentingan dalam Toyota Motor Corporation bagi memenuhi syarat perjanjian kerjasama perniagaan dan permodalan yang telah diumumkan pada September 2019.

Transaksi luar pasaran berkenaan dibuat bermula November tahun lalu sehingga 15 Januari 2021 tersebut melibatkan sejumlah 8,973,700 pegangan saham yang bernilai sekitar 70 bilion yen (RM2.7 bilion). Menurut Kyodo, jumlah tersebut hanyalah pada kadar 0.3% dari keseluruhan kepentingan Toyota. Subaru menyatakan bahawa langkah ini tidak akan memberikan sebarang kesan kepada prestasi kewangan mereka untuk tahun fiskal yang berakhir pada 31 Mac nanti.

“Subaru akan meneruskan usaha untuk terus mara dan memperkuatkan kerjasama jangkamasa panjang antara dua syarikat,” jelas jenama berkenaan dalam satu kenyataan. Laporan Kyodo menyatakan bahawa Toyota telah melakukan proses ini pada Februari 2020, apabila mereka meningkatkan pegangan saham dalam Subaru dari 16.8% kepada 20%. Sejak itu, keuntungan Subaru telah pun diambilkira ke dalam penyata kewangan gabungan Toyota.

Kerjasama Toyota dan Subaru ini telah bermula sejak 2005, di mana kedua-duanya memulakan produksi kontrak (kenderaan Toyota dibuat oleh Subaru) dan pembekalan model kepada Subaru oleh Toyota. Kemudian, Toyota dan Subaru bersama-sama menghasilkan kereta sport pacuan belakang Toyota 86/Subaru BRZ yang didedahkan pada 2012.

Subaru beli 0.3% saham Toyota – lengkapi kerjasama, lebih banyak pembangunan bersama selepas ini

Pada perjanjian kerjasama modal 2019, Toyota dan Subaru sekali lagi bersetuju untuk menghasilkan model generasi seterusnya untuk kereta sport tersebut (BRZ generasi kedua telah pun didedahkan pada November tahun lalu), serta membangunkan model-model dengan sistem pacuan semua roda menggunakan kepakaran Subaru.

Kedua-dua jenama ini juga bersetuju untuk bekerjasama dalam CASE, iaitu sistem kenderaan terhubung, pemanduan terbantu dan berautonomi, mobiliti baharu atau perkongsian kenderaan, dan juga sistem janaan dan komponen dengan teknologi elektrifikasi.

“Ketika tempoh transformasi mendalam sekali-dalam-satu abad ini, walaupun CASE merubah peranan kereta, keseronokan memandu akan sentiasa menjadi perkara penting dalam automobil dan ia sesuatu yang saya rasa perlu terus kuat dipertahankan. Saya sendiri adalah pemandu rali, dan, menerusi pengalaman saya berlatih dengan gigih menggunakan (Subaru) Impreza, saya dapat rasa keajaiban teknologi AWD Subaru dalam saraf saya,” kata presiden Toyota, Akio Toyoda ketika pengumuman kerjasama ini pada 2019. Jadi boleh dijangka Toyota mungkin akan menghasilkan jentera pacuan semua roda yang lebih mengujakan dengan mengambil kepakaran dari Subaru.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required