Sekali lagi bagi musim 2021, jentera YZR-M1 pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP masih lagi akan menggunakan grafik yang sama seperti beberapa tahun sebelumnya. Namun apa yang boleh jelas dilihat berubah pada salah satu jentera itu adalah tiada lagi nombor 46 dan sudah diganti dengan nombor 20.

Ini adalah nombor perlumbaan Fabio Quartararo yang diserap masuk ke pasukan factory tahun ini dan akan meneruskan saingan bersama rakan sepasukan, Maverick Vinales. Quartararo mula berlumba dalam kategori MotoGP pada tahun 2019 dan pada tahun 2020, beliau mendapat kedudukan di tempat kelapan secara keseluruhan.

Vinales pula sudah berada dalam pasukan factory sejak tahun 2017, dan sepanjang masa itu, beliau telah beberapa kali mendapat podium dan tempat pertama. Pada tahun lepas, beliau berjaya menamatkan musim di tempat keenam.

Semasa majlis pengenalan pasukan 2021 ini, Yamaha turut mengumumkan bahawa tugas test rider akan digalas oleh Cal Crutchlow, dan beliau akan menyertai Quartararo serta Vinales di Qatar untuk sesi ujian 5 Mac ini.

Selain daripada itu, Yamaha juga telah menyambung lagi kontrak mereka dengan Dorna Motorsports untuk menyertai MotoGP World Championship selama lima tahun lagi, iaitu sehingga tahun 2026. Tahun 2021 ini juga menandakan tahun yang ke-60 Yamaha terlibat dalam World Grand Prix, di mana kali pertama mereka menyertainya adalah pada tahun 1961.