Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

Kia telah mendedahkan satu set gambar awal untuk EV6, iaitu model pacuan elektrik penuh pertama mereka yang menggunakan platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP). Kenderaan ini membawa falsafah rekaan baru “Opposites United” yang bakal digunakan oleh Kia untuk kenderaan masa hadapan mereka, dan mendapat inspirasi daripada kontras yang terdapat antara alam dan manusia.

Menurut Kia, tumpuan utama pada pendekatan rekaan ini adalah “satu identiti visual baru yang membangkitkan tenaga positif dan semula jadi, dengan kombinasi kontras antara elemen gaya tajam serta bentuk berstruktur.” Syarikat ini juga menyatakan empat aspek rekaan penting: “berani untuk alam,” “keseronokan bersebab,” “kuasa untuk maju,” “teknologi untuk kehidupan,” dan “ketegangan untuk ketenangan.”

Melihat kepada gambar, rekaan luar EV6 menampilkan lampu DRL yang tajam serta mempunyai garis terputus, dan ia membentuk sebahagian daripada “muka harimau digital” yang dikatakan sebagai satu kemajuan rekaan yang membawa semangat gril tiger nose Kia kepada era elektrifikasi.

Lampu utama diapit oleh DRL ini atas dan bawah, dan bahagian atasnya ditarik sehingga ke lengkuk roda, yang mempunyai perincian halus. Pada bahagian bawah bampar, terdapat bukaan udara lebar yang dikatakan dapat membantu menghalakan udara kepada tempat yang memerlukan serta ke bawah kenderaan untuk menjadikan kereta lebih aerodinamik.

Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

Dilihat pada bahagian tepi, kereta ini jelas mempunyai pengaruh crossover, bersama c-pillar yang dihitamkan separuh supaya bumbung nampak seperti terpisah atau terapung. Pembuka pintu menggunakan jenis yang sama rata dengan permukaan dan terkeluar bila perlu manakala rendah di bawah terdapat jalur krom yang menaik ke belakang dan garisnya bersambung dengan lampu belakang.

Lagi di bahagian belakang, cermin yang condong dipasang dengan spoiler bumbung, sementara pintu but itu sendiri juga mempunyai bentuk yang menjongket dan bertindak sebagai spoiler kedua. Lampu menggunakan bentuk nipis dan melengkung, dan bersambung dengan jalur kemasan krom di bawah, dengan perincian seperti berlian.

Untuk bahagian dalam, Kia menjanjikan ruang yang lebih luas dengan platform E-GMP ini, berbanding EV mereka yang menggunakan platform sedia ada sekarang. Skrin melengkung untuk panel instrumen digital dan sistem infotainmen duduk di atas papan pemuka yang nipis, dan di bawahnya terdapat corong pendingin hawa yang menggunakan bentuk jalur melintang dari tengah sehingga ke tepi.

Kia EV6 – gambar rasmi didedah sebelum pelancaran

Pada bahagian lain, anda akan dapat melihat konsol tengah bertingkat, dengan bahagian atas menempatkan kawalan pendingin hawa, butang pemula enjin, pemilih mod pemanduan, tempat cawan, pengecas tanpa wayar, tempat meletak barangan dan pengecas USB.

Perincian halus berbentuk segi tiga pada papan pemuka turut digunakan pada bahagian perehat tangan, sementara warna yang terang memberikan sedikit kontras untuk menghidupkan suasana di kabin. Bagi pemandu, roda stereng dua cabang yang digunakan seakan mengingatkan kepada kenderaan Genesis dan Kia menyatakan terdapat beberapa bahagian yang menggunakan plastik kitar semula. Perincian teknikal masih belum didedahkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required