Lotus Evija mungkin adalah model paling pantas pernah dihasilkan pembuat kereta sport British berkenaan – ia dibekalkan dengan kuasa 2,000 PS dan tork maksima 1,700 Nm, membolehkan ia memecut dari pegun hingga 300 km/j dalam masa tak sampai 9 saat.

Namun apa yang mungkin menrencatkan keseronokan memandunya ialah, kereta ini ‘bisu’ kerana Evija adalah hypercar yang digerakkan oleh kuasa elektrik sepenuhnya menerusi empat motor elektrik. Tapi, Lotus tidak akan membiarkan Evija akan terus bisu seperti kereta elektrik lain kerana mereka kini telahpun menghasilkan “bunyi enjin” palsu dengan bantuan Patrick Patrikios, produser muzik terkenal dari Britain.

Patrikios pernah berkerjasama dengan ramai penyanyi antarabangsa seperti Olly Murs, Sia, Britney Spears, Pixie Lott dan ramai lagi. Untuk projek ini, dia memilih untuk menghasilkan bunyi enjin Evija yang diinspirasikan dari jentera Formula 1 ikonik, Lotus Type 49.

Type 49 adalah kereta lumba F1 yang direka sendiri oleh pengasas Lotus, Colin Chapman untuk kejohanan musim 1967. Kereta yang pernah dipandu oleh pelumba lagenda British seperti Jim Clark dan Graham Hill berkenaan dikuasakan oleh enjin Cosworth-Ford DFV 3.0 liter V8 tanpa turbo yang dibangunkan oleh Lotus.

“Ada keaslian pada V8 berkenaan, ia mempunyai had yang asli serta emosi yang memainkan sesuatu dalam jiwa anda, seperti lagu terbaik,” jelas Patrikios.

Proses menghasilkan bunyi enjin palsu ini bermula dengan proses merekod bunyi Type 49 sebenar, kemudian dimasukkan ke dalam komputer bagi dimanipulasi secara digital. Dengan memperlahankan not enjin berkenaan, Patrikios berjaya menghasilkan frekuensi yang sama seperti bunyi pemanduan asli yang dihasilkan oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya Evija.

“Saya melaras kelajuan main semula dan penuras digital dari Type 49 bagi menghasilkan bunyi suasana untuk Evija – ia merupakan proses yang sangat organik. Kami semua mahukan sesuatu untuk meletuskan hubungan emosi antara kereta dan pemandu. Bunyi adalah sangat mempengaruhi apabila menyentuh hal bagi mewujudkan dan membentuk emosi, untuk memperkaya hubungan yang menjadi bahagian kritikal pada pengalaman memandu Lotus,” kata produser muzik itu lagi.

Tugas utama Patrikios bukan sahaja untuk menghasilkan bunyi luaran untuk Evija, namun sebenarnya dia turut bertanggungjawab bagi menghasilkan bunyi-bunyi lain untuk kereta sport berkenaan dari bunyi flasher ketika lampu isyarat membelok dipasang sehingga bunyi amaran pemakaian tali pinggang keledar.