Seperti yang dipaparkan dalam data penjualan kenderaan mengikut jenama yang diumumkan pada setiap bulan, sebenarnya ia memberikan indikator yang baik untuk menunjukkan perkembangan bagi setiap pemain industri automotif tempatan. Oleh itu, jika ada syarikat yang berhenti melaporkan kepada persatuan, ia membuatkan orang ramai mula tertanya-tanya status jualan yang dicatatkan.

Inilah yang terjadi dalam segmen premium, di mana pada tahun lalu menyaksikan berakhirnya pemantauan bulanan antara dua pesaing iaitu BMW dan Mercedes-Benz. Di mana BMW Malaysia berkata pihaknya telah bertukar ke sistem laporan sukuan bagi angka jualan untuk BMW dan MINI, walau bagaimana pun syarikat ini tetap menghantar laporan penuh untuk jualan tahunan kepada Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Sementara itu, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah membuat keputusan untuk berhenti melaporkan angka jualan serta merta, jadi tiada laporan yang dikeluarkan dari syarikat tersebut untuk tahun 2020. Keputusan ini membuatkan ramai yang tertanya-tanya, jenama mana yang mendahului segmen, sedangkan sebelum ini Mercedes-Benz berada di kedudukan tersebut dari tahun 2015-2019.

Pada Ogos lalu, kami bertanya kepada MBM mengapa mengambil keputusan untuk mendedahkan angka jualan, dan syarikat tersebut berkata ia disebabkan pihaknya mahu melihat laporan angka yang lebih tepat berbanding sekarang. Di mana angka yang dikeluarkan oleh MAA dilaporkan secara terus dari pihak pengeluar.

MBM turut berkata, ia mungkin tidak senada dengan angka sebenar mengikut pendaftaran kenderaan yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), yang dilihat lebih bertepatan.

“Walau pun laporan proaktif mengenai angka jualan oleh jenama kepada MAA adalah pilihan yang mudah, namun kami percaya cara yang lebih tepat untuk menilai jumlah industri (TIV) adalah berdasarkan jumlah kenderaan yang didaftarkan di bawah JPJ. Kami telah berkongsi pandangan ini dengan MAA dan berasa lebih berkeyakinan jika angka pendaftaran JPJ digunakan untuk laporan berkaitan TIV,” ujar presiden dan CEO MBM Claus Weidner pada waktu itu.

Dalam sesi bersama pihak media sempena mesyuarat tahunan yang ke-22 minggu lalu, kami bertanya kepada MAA, apakah perkembangan mengenai perkara ini. Presiden MAA Datuk Aishah Ahmad berkata terdapat beberapa perubahan mengenai proses laporan untuk memastikan ketepatan angkanya.

“Mercedes-Benz berkata (pada tahun lalu), lebih baik MAA menggunakan angka pendaftaran yang dikeluarkan oleh JPJ untuk melihat jumlah jualan yang lebih tepat, dan mahu kami menyemak angkat tersebut dengan JPJ apakah ia sama seperti yang diberikan oleh ahli kami. Kini, apa yang kami lakukan, semua ahli MAA perlu melaporkan angka jualan mereka kepada kami, dan ia harus disokong dengan angka yang dikeluarkan oleh JPJ,” ujarnya.

Aishah turut berkata, cara ini telah menghasilkan peningkatan jumlah yang sebenar walau pun perlu menunggu. “Walau pun kami menerima angka daripada JPJ dalam dua atau tiga hari terakhir setiap bulan, ia tidak jauh beza dengan angka yang dilaporkan oleh ahli kami, dan sebenarnya ia lebih tepat,” jelasnya.

Dengan angka pendaftaran sebenar yang kini digunakan dalam menentukan TIV, ia seharusnya tidak menjadi penyebab untuk MBM tidak kembali melaporkan angka jualan. Menurut Aishah, syarikat terbabit berkata, ia akan berbuat demikian. “Kami telah menyemaknya dengan Mercedes-Benz, dan mereka berkata akan melaporkan (angka jualan) kembali, tetapi tidak berkata bila akan berbuat demikian,” katanya.