Penganjuran sulung pameran jual-beli kenderaan Auto Car Expo (ACE) 2021 oleh paultan.org dengan tajaan bersama Carsome akan berlangsung pada hujung minggu 17-18 April nanti bertempat di Pusat Persidangan Setia City (SCCC). Terdapat banyak model kenderaan untuk didekati dan dipandu uji, serta tawaran istimewa menanti pengunjung.

Akan ikut serta dalam pameran ini ialah Nissan, yang akan mempamerkan trak pikap Navara facelift yang akan dilancarkan secara rasmi sehari sebelum itu, pad 16 April nanti. Jangan lupa untuk berkunjung ke ACE 2021 dan menjadi yang terawal untuk mendekati trak pikap ini.

Penampilan terbaru Navara ini mengambil ilham daripada trak pikap saiz besar Titan dari pengeluar yang sama, dan dipersembahkan juga dalam varian Pro-4X yang tampil bergaya dan garang, terutama dengan lanjutan lengkung tayar, tema hitam bagi lencana, gril, pemegang pintu, cermin, landasan bumbung dan pemijak sisi.

Casis yang diperkemas pada model facelift ini juga memperbaiki bukan hanya pengendalian, tetapi juga tampungan beban yang kini menjadi 1.1 tan. Varian Pro-4X juga lengkap dengan ciri keselamatan maju, termasuk brek kecemasan autonomous, amaran penukaran lorong, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan lampu tinggi automatik melengkapkan lagi ciri sedia ada seperti kawalan kestabilan dan enam beg udara.

Terdapat banyak lagi promosi dan tawaran hebat daripada semua jenama terlibat, iaitu seperti Ford, Honda, Hyundai, Proton, Mitsubishi, BMW dan Volkswagen. Sebahagian yang sudah pun diumumkan antaranya bagi 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan kenderaan akan menikmati baucar gabungan bernilai RM2,450.

Ini termasuk baucar RM650 untuk DK SCHWEIZER sebagai tambahan, serta RM500 dari filem penapis haba V-Kool, baucar RM500 penapis udara Blueair, RM300 baucar Dodomat, RM300 baucar kerusi keselamatan kanak-kanak Recaro serta RM200 baucar minyak BHPetrol.

Selain semua ini, tempahan yang disahkan juga membolehkan pengunjung untuk layar menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah seperti 10 telefon pintar bernilai RM2,300 setiap satu dan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM10,000!

Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, kami akan mengambil semua langkah berjaga-jaga yang dirasakan perlu untuk memastikan keselamatan semua. Pengunjung diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang masa dan bacaan suhu badan akan diambil serta dipastikan berada di bawah 37.4ºC sebelum masuk. Anda juga perlu mengimbas kod QR dan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera bagi tujuan memudahkan pengesanan kontak sekiranya perlu.

Sebagai usaha tambahan, semua individu wakil penjual yang ada untuk acara ini akan memakai pelindung muka selain pelitup muka biasa. Semua permukaan sentuhan yang utama, termasuk pada kenderaan yang dipamer serta pandu uji, akan disanitasi secara kerap. Kami akan menyediakan cecair sanitasi tangan di lokasi, dan menggalakkan semua pengunjung untuk membawa cecair mereka sendiri dan juga basuh tangan dengan kerap.

Kami juga akan mengenakan had hanya seramai 1,200 orang di dalam dewan pameran dalam satu-satu masa. Kami mengambil keputusan untuk mengurangkan lagi jumlah berkenaan — berbanding 1,700 orang yang dibenarkan oleh SCCC berpandu kepada 50% orang sebagai pematuhan SOP semasa yang ditetapkan kerajaan — bagi memastikan keselamatan semua. Sebaik memasuki dewan pameran, pengunjung diwajibkan mematuhi panduan jarak sosial selamat. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dan warga emas berusia 60 tahun tidak akan dibenarkan masuk.

Klik di sini untuk maklumat lanjut berkaitan ACE 2021. Kami akan mengumumkan kemaskini promosi dan penyertaan pempamer dari semasa ke semasa. Jadi, teruskan bersama kami!