Lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Penang, Kelantan dan Sarawak telah pun diumumkan oleh kerajaan sebentar tadi. Di mana PKPB telah dilanjutkan sehingga 28 April ini bagi negeri-negeri terbabit, kecuali Sarawak yang dinyatakan hingga 26 April 2021.

Sementara itu, negeri yang diletakkan di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula masih kekal hingga 28 April 2021. Ini termasuk Sabah, Perak, Pahang, Terengganu, Melaka, Perlis, Putrajaya, Labuan, Kedah dan Negeri Sembilan.

Walau bagaimana pun, terdapat beberapa daerah yang akan diletakkan di bawah kawalan pergerakan berbeza. Untuk Sabah, daerah yang terlibat iaitu Lahad Datu, Tawau dan Keningau diletakkan di bawah status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sementara, Kuala Muda di Kedah, dan Seremban di Negeri Sembilan diletakkan di bawah PKPB.

Seperti sebelum ini, semua pergerakan merentas negeri tanpa permit kebenaran adalah masih tidak dibenarkan, kecuali untuk pergerakan pelancongan di bawah lokaliti PKPP, namun perlulah dengan agensi pelancongan berdaftar di bawah kementerian pelancongan, kesenian dan kebudayaan (MOTAC).