Perodua Aruz dilancarkan di Singapura, RM286,409!

Perodua Aruz dilancarkan di Singapura, RM286,409!

Selepas dua tahun diperkenalkan, kini MPV tujuh tempat duduk dengan gaya SUV Perodua Aruz mula tembusi pasaran seberang tambak Johor, Singapura. Di Republik tersebut, Aruz hanya ditawarkan dalam varian 1.5X, dijual pada harga SGD92,999 (RM286,409), termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan juga sijil kelayakan memiliki (COE).

Jadi, model pasaran Singapura ini adalah setara dengan varian asas Aruz di Malaysia yang tampil tanpa lampu kabus hadapan, rel bumbung serta skid plate dalam kemasan perak pada sebelah luar, serta ciri keselamatan ASA 2.0.

Perincian standard yang diberikan pada Perodua Aruz 1.5X pasaran Singpura ini adalah sama dengan model pasaran tempatan termasuk lampu hadapan LED, rim aloi dwi-tona 17-inci, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sistem infotainment skrin sesentuh dengan paparan kamera undur.

Selain itu, ia juga menerima barisan tempat duduk kedua yang dibahagi 60:40 serta barisan ketiga yang dibahagi 50:50 boleh dilaras, dilipat dan digolek untuk menghasilkan pelbagai konfigurasi. Manakala untuk keselamatan pula, Aruz di Singapura menerima Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), cagak tempat duduk ISOFIX dan enam beg udara.

Perodua Aruz dilancarkan di Singapura, RM286,409!

Juga tiada perubahan dari segi kelengkapan mekanikal pada Aruz ini, dengan dijana enjin 1.5 liter Dual DVVT menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 136 Nm pada 4,200 rpm, digandingkan dengan kotak gear automatik empat kelajuan bagi memacu roda belakang.

Empat warna badan ditawarkan pada Aruz bagi pasaran Singapura ini iaitu Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White.

“Aruz merupakan kenderaan tujuh-tempat duduk pertama yang ditawarkan oleh Perodua di Singapura,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Dengan jualan hampir 58,000 unit di Malaysia sejak pelancarannya pada 2019, Perodua Aruz merupakan SUV terlaris di Malaysia pada 2019 dan 2020.

“Kami berbesar hati dapat berkongsi kelebihan Aruz – antaranya ruang yang luas, tahap keselamatan yang tinggi, serba boleh, praktikal dan cekap bahan api – dengan jiran selatan kita,” tambah beliau.

Perodua Aruz dijual oleh Perocom Auto Pte Ltd yang juga pengedar sah tunggal Perodua di Singapura sejak 1997, yang turut pernah menjual Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama dan ketiga, Viva, Axia dan Bezza di sana.

Selain Singapura, Perodua juga mengeksport ke Brunei, Sri Lanka, Mauritius, Seychelles, Fiji dan Indonesia (di mana Myvi dijual sebagai Daihatsu Sirion).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required