Volkswagen Polo facelift nampaknya sudah bersedia untuk diperkenalkan pada 22 April ini. Menurut pengeluarnya, rekaan, teknologi dan spesifikasi Polo Mk6 telah diberikan naik taraf yang menyeluruh. Model generasi semasa muncul pertama kali pada 2017, dan wajar diberikan facelift pertengahan hayat. Tetapi ini bukanlah Polo yang familiar di Malaysia, kerana di sini masih dengan versi Mk5.
Satu-satunya imej teaser yang ada ini menunjukkan wajah depan hatchback ungu yang telah diberikan sentuhan baru. Kluster lampu utamanya tampil lebih tirus dan tajam, dan di dalamnya menempatkan lampu LED berkembar. DRL LED-nya juga kali ini menempati keseluruhan lebar penuh — tiada lagi bahagian krom yang sebelum ini menyambungkannya. Ada satu lagi jalur DRL di bahagian sisi.
Menjadi antara model penting Volkswagen sejak 1975 (terjual 18 juta unit setakat ini), Polo tidak pernah sebesar ini. Versi Mk6, yang menggunakan platform MQB, ialah 81 mm lebih panjang (4,053 mm), 94 mm lebih lebar (1,751 mm) dan 7 mm lebih rendah (1,446 mm) berbanding versi Mk5 yang kita ada di sini. Jarak antara rodanya pula 94 mm lebih panjang (2,564 mm).
“Teknologi baru juga diterapkan pada model ini. Panel instrumen lebih digital dan terangkum dalam rangkaian yang lebih luas. Ini akan melanjutkan lagi peningkatan dan penerimaan terhadap model popular ini,” ujar Volkswagen.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.