BMW 218i M Sport Gran Coupe F44 yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada Oktober tahun lalu dilihat wajar menjadi pilihan untuk sesiapa yang impikan kereta premium tetapi dengan harga yang berpatutan. Malahan harga yang ditawarkan untuk model ini adalah yang paling murah di antara kesemua model BMW untuk pasaran kita. Dengan ‘cuti SST’ kerana ia merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di Kulim, Kedah, 218i ini berharga sekitar RM211,367 (atas jalan, tanpa insurans) dan jika dengan SST, harganya mencecah RM218,000.

Ia merupakan ahli yang paling kecil dalam famili BMW coupe empat-pintu berbanding abangnya iaitu 4 Series Gran Coupe, 6 Series Gran Turismo dan 8 Series Gran Coupe. Namun 218i ini dilihat lebih berkongsi beberapa persamaan dengan BMW 1 Series. Manakala pencabar terdekatnya ialah Mercedes-Benz CLA 200 yang lebih mahal dalam RM25k. Selain itu, pencabar lain bagi 218i termasuklah Volkswagen Arteon dan Audi A5 Sportback.

Walau pun 218i merupakan model paling murah dalam famili BMW di Malaysia, namun masih banyak keistimewaan dan kelebihannya yang wajar mendapat perhatian. Menerusi PANDU UJI ini, karakter 218i digali secara lebih mendalam untuk dikongsikan Bersama pengalaman ini.

Pertama kali melihat 218i di hadapan mata, ia cukup mempersona. Penampilannya yang bergaya, agresif dan maskulin memang mampu menjadi pengikat mata yang memandang. Rekaan luarannya tidak begitu sarat, namun masih menterjemahkan elemen eksklusif dan mewah, digabungkan dengan bancuhan sporty.

Untuk imejnya, 218i ini kelihatan garang di bahagian hadapan. Ia ditampilkan dengan gril “double kidney” trapezoid dengan dihiasi lampu utama projector LED dan lampu nyalaan siang haksagon dengan rekaan ‘empat-mata’, tipikal bagi BMW, malah hasil dari padanan pakej M Sport, 218i ini turut digayakan dengan bampar hadapan bersama bukaan udara yang lebih besar membuatkan wajahnya lebih maskulin.

Bumbung yang sedikit rendah dan cermin belakang yang landai cukup menyerlahkannya sebagai model Gran coupe. Namun demikian ukuran kepanjangan bagi kereta ini agak pendek, tetapi bahagian but belakang pula melunjur, menampakkan ‘ekornya’ kelihatan tinggi dan mampat.

Selain itu, penampilan tingkap kaca tanpa bingkai memberikan terjemahan lebih sporty dan mewah buat 218i. Manakala skirting sisi yang lebih dalam dan rim 18-inci 819 M aloi didatangkan sebagai standard.

Untuk bahagian belakangnya pula, ciri yang ditampilkan termasuklah lampu LED nipis berbentuk-L melunjur ke belakang dan juga bampar belakang lebih sporty dengan kemasan ala diffuser. Paip ekzos tunggal di sebelah kiri menandakan yang 218i ini merupakan model tiga-silinder. Tetapi entah mengapa, rekaan belakangnya agak ‘kurang’ di mata saya. Ya, kurang berkenan, bagai ia tidak begitu senada dengan imej hadapannya.

Menjengah bahagian kabinnya, 218i ditampilkan dengan ciri yang sederhana dan tidak futuristik, tetapi tidaklah membosankan. Papan pemuka asasnya masih sama dengan model 1 Series, termasuklah rekaan bersegi, tombol dan tuil kawalan dalam warna perak yang dikelompokkan mengikut fungsi serta lampu suasana dalam kemasan perak antara yang menghiasi kabinnya. Kit M Sport pula membawa tambahan balutan kulit pada stereng, scuff plate dengan lencana M dan pedal logam M.

Bagi ciri infotainmen, 218i menerima sistem BMW Live Cockpit Plus dengan skrin sentuh 8.8-inci, kluster instrumen analog dengan paparan multi-info 5.1-inci serta sistem operasi iDrive 6.0 generasi sebelumnya. Selain itu, ia turut diberikan sistem navigasi, pengecas tanpa wayar Qi, enam pembesar suara dan kamera undur datang standard.

Malangnya, fungsi Apple CarPlay tidak disertakan sekali dari kilang, dan jika pembeli mahu menambah ciri ini, kos sebanyak RM1,800 akan dikenakan untuk memasangnya. Mungkin perkara ini akan menimbulkan rungutan di kalangan pembeli, kereta secanggih ini tetapi tidak dilengkapi Apple CarPlay. Hanya BMW Malaysia sahaja yang ada alasan yang tersendiri mengapa fungsi Apple CarPlay tidak disertakan sekali.

Kelengkapan standard lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Start, kawalan pendingin hawa dua-zon dengan corong belakang, kerusi sport dengan larasan kuasa serta fungsi memori untuk pemandu, dan kemasan balutan kulit Dakota.

Mengenai prestasinya, 218i dijana oleh enjin 1.5 liter pengecas turbo tiga-silinder yang mampu menghamburkan output sehingga 140 PS dari 4,600 rpm hingga 6,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,480 rpm hingga 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 8.7 saat, dengan kelajuan maksimum mampu mencecah 213 km/j. Penggunaan bahan api pula pada kadar 5.9 liter bagi setiap 100 km. Ini apa yang tertulis dalam risalah spesifikasinya.

Disebabkan Selangor masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi peluang untuk memandu jauh merentas negeri tidak kesampaian. Jadi, penulis mengambil peluang yang ada untuk memandu ke Sabak Bernam-Tanjung Karang-Sekinchan. Cukuplah sekadar untuk menguji 218i ini merentasi Lebuhraya Guthrie-LATAR sebelum melalui jalan pekan dan kawasan kampung.

Ketika melenjan 218i di lebuhraya, karakteristiknya pantas menyerlah. Hamburan kuasa yang diberikan sekadar mencukupi untuk unit enjin yang diberi. Nak kata tak padu, masih juga padu walau pun pada skala sederhana. Enjin 1.5 liter dengan tujahan pengecas turbo memang banyak membantu memberikan prestasi yang diingini. Namun adakalanya terasa enjinnya agak kekurangan energi dan perlukan sedikit kerahan tenaga untuk memberikan kelajuan yang diperlukan.

Padanan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan dilihat sebagai satu kombinasi agak baik untuk enjin ini. Walau pun pergerakan nisbahnya sedikit perlahan pada awal pemanduan dengan kelajuan yang sederhana sebelum memuncak mengikut kelajuan yang diingini. Dalam kelajuan yang tinggi, pergerakan gearnya lebih pantas.

Jika dibandingkan dengan 1 Series, 218i lebih seronok dikendalikan. Kawalan stereng juga terbaik, malah sentiasa berada dalam keadaan siapsiaga dengan keadaan pemanduan. Terasa sedikit ringan tetapi masih mampu memberikan ketepatan dan kawalan yang linear. Apatah lagi bila melalui jalan berselekoh, agak menyeronokkan juga pengendaliannya.

218i juga diberikan tiga mod pemanduan iaitu Sport, Comfort dan ECO Pro. Di mana ketiga-tiga mod pemanduan itu boleh mempengaruhi corak pemanduan anda, dan sudah pasti pilihan mod Sport mampu melonjakkan lagi keghairahan dalam mengendalikan jentera ini. Manakala mod Comfort pula memberikan pemanduan yang lebih selesa dan santai. Untuk penjimatan bahan api yang lebih efisien, pemilihan mod ECO Pro boleh membantu perkara itu tanpa menyingkirkan keseronokan dan keselesaan pemanduan.

Bagi teknologi casis, 218i menerima sistem near-actuator wheel slip limitation yang sama seperti 1 Series, yang merupakan kawalan cengkaman maju yang bersepadu dalam ECU untuk bertindak balas dengan pantas dan tepat.

Turut tersedia ialah BMW Performance Control dan Electronic Differential Lock Control (EDLC) yang menggunakan brek untuk menetapkan torque vector dan LSD.

Suspensi pasif M Sport dan brek M Sport dipasang sebagai standard. Walau bagaimana pun, ada masanya sistem suspensi ini kurang memberikan ketepatan untuk bertindak balas terhadap kuasa input yang kecil dan ini mungkin disebabkan berat kenderaan (1,450 kg) yang banyak memberikan pengaruh dalam pengendaliannya.

Selain itu, jika jentera dipandu dalam kelajuan yang tinggi, bunyi bising agak menyerap masuk ke dalam kabin. Boleh kedengaran bunyi bising jalan raya dan angin selain seretan roda. Kalau berbual dalam kenderaan, adakalanya bunyi bising ini agak merencatkan perbualan. Tetapi tidaklah sampai menyingkirkan keselesaan berada di dalam kabinnya.

Untuk ruang penumpang di belakang, biar pun ia berbentuk Gran Coupe, untuk memuatkan tiga penumpang dewasa bertubuh sederhana tidaklah sukar. Memang ngam-ngam dalam keadaan selesa pada tahap sederhana.

Tetapi jika melibatkan penumpang belakang bertubuh besar dan tinggi, mungkin kurang berada selesa berada di tempat duduk belakang memandangkan garisan bumbungnya yang landai. Memadailah dua penumpang dewasa duduk di belakang untuk keselesaan yang lebih optima.

Ruang kepala pada tempat duduk belakang berukuran 870 mm, di mana ia kurang 40 mm berbanding dengan 1 Series. Tetapi jika dibandingkan dengan CLA 200, ia hanya sekitar 860 mm. Untuk ruang kaki pada tempat duduk belakang, ia berukuran 670 mm, juga kurang 40 mm berbanding 1 Series.

Manakala ruang but pula, 218i diberikan kapasiti sekitar 430 liter, dan tempat duduk belakang juga boleh dibaringkan untuk membuatkan ruang berkenaan lebih besar bagi muatan barangan yang lebih banyak. Berbanding dengan CLA yang menawarkan lebih kurang 460 liter untuk ruang but.

Untuk aspek keselamatan, 218i dilengkapi dengan pakej Driving Assistant, termasuk brek kecemasan sendiri, amaran penukaran lorong, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang. Fungsi Parking Assistant juga ada, lengkap dengan Reversing Assistant.

Sekali lagi, dengan harga RM211,367 (tanpa cukai jualan, harga atas jalan, tanpa insurans) termasuk jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan dan pakej servis percuma lima-tahun, 218i dilihat pilihan yang tepat untuk mereka yang baru ingin merasa memiliki jentera premium. Mungkin ia boleh dianggap sebagai ‘starter’ sebelum memilik jentera premium yang lebih padu dan lebih mahal.