Selepas lebih kurang setahun muncul diperingkat global, model generasi baharu BMW 1 Series kini secara rasmi masuk kepasaran Malaysia. Walau bagaimanapun, model dengan kod F40 ini hadir ke pasaran tempatan hanya dengan satu varian iaitu M135i xDrive iaitu model yang akan berhadapan terus dengan Mercedes-AMG A 35 dan Volkswagen Golf R, dijual pada harga RM355,646, dengan pengecualian SST. Jika tamat cuti cukai dari insentif PENJANA ini kelak, ia akan dijual pada harga RM368,800.

Seperti yang telah diketahui umum, model ini diasaskan dari platform baharu sepenuhnya, dikenali dengan nama FAAR (Frontantriebsarchitektur). Tidak seperti model generasi sebelum ini yang menggunakan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR), platform ini menampilkan enjin yang diletakkan melintang bagi memacu roda hadapan, atau pacuan semua roda sekiranya diberikan sambung pacuan ke gandar belakang, sama seperti Mercedes-Benz A-Class.

Varian M135i xDrive yang di terima pasaran Malaysia ini dijana oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter produksi paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW buat masa sekarang iaitu unit B48 dengan pengecas turbo twin-scroll menghasilkan 306 PS dan tork maksima 450 Nm.

Ia digandingkan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik Steptronic Sport, dan dengan lencana xDrive sudah tentu ia turut datang standard dengan sistem pacuan semua roda. Gandingan ini membolehkan BMW M135i xDrive memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

1 Series generasi baharu ini tampil dengan sistem suspensi multilink pada bahagian belakang. Model paling berkuasa ini turut menerima suspensi M Sport yang lebih rendah 10 mm dari versi standard, bersama penyerap hentak adaptif, membolehkan talaan dipilih pemandu dalam lima mod iaitu Eco Pro, Normal, Sport, atau Sport+. Ia turut hadir dengan teknologi actuator contiguous wheel slip limitation (ARB) dan juga sistem Torque Vectoring BMW Performance Control.

Varian paling sporty ini juga dilengkapi dengan pakej brek M Sport, LSD jenis torsen pada kotak gear dan juga sistem Active Sound Design yang akan menghasilkan bunyi enjin yang lebih menarik.

Berbanding model generasi F20 sebelum ini, F40 adalah lima mm lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,319 mm dengan jarak roda juga 20 mm lebih pendek dengan 2,670 mm. Walau bagaimanapun, F40 adalah 34 mm lebih lebar (1,799 mm) dan 13 mm lebih tinggi (1,434 mm) dari model pacuan roda belakang sebelumnya.

Dengan kedudukan enjin dialihkan melintang membolehkan bonet hadapan direka lebih pendek serta membolehkan kabinnya direka lebih luas. Model ini menawarkan ruang lutut 33 mm lebih luas bersama luang lega kepala 19 mm lebih besar pada bahagian belakang. Ruang siku juga 42 mm lebih besar di hadapan, dan 13 mm lebih luas untuk penumpang belakang.

Ruang kargo dibina dengan kapasiti 380 liter, 20 liter lebih besar dari sebelum ini, dan memberikan 1,200 liter secara keseluruhan sekiranya tempat duduk belakang direbahkan. Ruang ini juga direka 67 mm lebih lebar, dan pintu tailgate belakang diberikan fungsi bantuan kuasa elektrik bagi memudahkan pengguna.

Untuk perincian, bahagian luaran BMW M135i xDrive ini diberikan serlahan-serlahan kemasan Cerium Grey, gril kidney dengan elemen mesh, rim aloi ringan Style 557 M dengan tayar Bridgestone Potenza S005 235/35R19, lampu hadapan LED adaptif bersama gegelang corona berbentuk-heksagon, lampu belakang LED penuh, pakej M Aerodynamic, spoiler belakang M dan juga tip ekzos berkembar dalam kemasan Cerium Grey.

Pada bahagian dalaman pula, pelanggan diberikan dua pilihan kemasan upholsteri kulit, sama ada hitam sepenuhnya atau Magma Red dua-tona bersama serlahan kelabu dan hitam. Perincian unik M Performance juga diberi sekali seperti pelapik bumbung antrasit dan juga tali pinggang keledar M.

Sistem BMW Live Cockpit Professional dan BMW Operating System 7.0 hadir sebagai ciri standard, menampilkan dua paparan 10.25-inci; satu untuk paparan instrumen dan satu lagi skrin sesentuh untuk sistem infotainmen yang turut boleh dioperasikan dengan kawalan BMW iDrive Controller.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem bunyi Harmann Kardon 464-watt bersama 16-pembesar suara, sistem kunci digital BMW dengan hanya menggunakan telefon pintar, sokongan Apple CarPlay, tingkat taraf Remote Software, dan juga fungsi BMW Intelligent Personal Assistant.

Manakala untuk keselamatan pula, model ini diberikan pakej sistem bantuan pemanduan BMW Driving Assist secara standard dengan ciri seperti cruise control dengan fungsi membrek, amaran keluar lorong, amaran tukar lorong, amaran pelanggaran hadapan dengan bantuan membrek (AEB), amaran lintasan trafik belakang, pengelak pelanggaran belakang, parkir automatik dan juga kamera undur.

Setakat ini, BMW Malaysia belum lagi ada perancangan untuk memperkenalkan varian lebih rendah 118i untuk pasaran tempatan. Jadi sekarang bagaimana? Anda pilih BMW M135i ini, Mercedes-AMG A 35, VW Golf R, atau hot-hatch pacuan hadapan dengan kuasa 310 PS Honda Civic Type R FK8?