BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

BMW 1 Series generasi ketiga dengan kod F40 kini telah didedahkan secara rasmi, dan seperti apa yang digembar-gemburkan sebelum ini, tiada lagi pacuan roda belakang untuk model ini, sebaliknya dibina sebagai sebuah hatchback pacuan roda hadapan seperti saingan terdekatnya, Mercedes-Benz A-Class. Model ini juga hanya tampil dengan bentuk badan hatchback lima-pintu.

Pembinaan 1 Series F40 ini diasaskan dari platform FAAR (Frontantriebsarchitektur). Menurut BMW, konfigurasi baharu tersebut memberikan faedah praktikaliti disamping menjanjikan “ketajaman dinamik yang tidak pernah ada pada kereta-kereta pacuan roda hadapan lain.”

Berbanding model generasi F20 sebelum ini, F40 adalah lima mm lebih pendek dengan panjang keseluruhan 4,319 mm dengan jarak roda juga 20 mm lebih pendek dengan 2,670 mm. Walau bagaimanapun, F40 adalah 34 mm lebih lebar (1,799 mm) dan 13 mm lebih tinggi (1,434 mm) dari model pacuan roda belakang sebelumnya.

Dengan penggunaan bonet dan pintu tailgate belakang aluminium, dan juga logam-logam berketegaran tinggi, model baharu ini adalah 30% lebih ringan dari F20. Badan dan kerangka kereta ini juga kini mempunyai kadar ketegaran torsi dan melentur lebih tinggi, yang dibantu oleh penggunaan strut berbentuk boomerang pada bahagian belakang.

BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

Dengan enjin dialihkan melintang bagi memacu roda belakang membolehkan bonet hadapan direka lebih pendek. Jika dilihat dari sisi, 1 Series baharu ini menerima muncung hadapan “hidung jerung” yang lebih menyerlah, manakala garis tingkap pula ditarik naik keatas, bersambung dengan ‘Hofmeister kink’ pada tiang-C bagi memberikan rupa yang tajam kedepan.

Muka 1 Series ini menerima rekaan seperti model-model BMW terkini, menampilkan hidung ‘gril buah pinggang’ bersaiz besar. Varian M135i xDrive pula diberikan elemen gril yang lebih tersendiri. Lampu hadapan pula direka lebih bersegi, di mana model asas hadir standard dengan lampu halogen bersama lampu nyalaan siang LED, dengan opsyen lampu adaptif LED penuh.

Pada bahagian belakang, kluster lampu kini direka lebih tirus dan diberikan grafik berbentuk-L. Sama seperti hadapan, varian rendah diberikan lampu dengan mentol biasa, manakala versi lebih tinggi menerima lampu LED.

Empat kemasan ditawarkan pada model baharu ini. Model paling asas Advantage diberikan gril hadapan dengan kemasan sekeliling krom bersama elemen utama hitam berkilat, bersama kemasan liang udara dan grafik sekeliling tingkap hitam matte dan juga penutup cermin sisa serta apron belakang kemasan warna badan.

BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

Model Sport Line pula ditambah dengan elemen hitam pada liang udara, bar gril, penutup cermin sisi dan apron belakang. Pada bahagian sekeliling tingkap pula menampilkan kemasan Shadow Line berkilat BMW Individual. Manakala bagi varian Luxury Line, ia ditambah dengan kemasan aluminium satin pada bahagian-bahagian seperti gril, keliling tingkap bersama penutup cermin sisi dan liang udara hadapan diberikan kemasan warna badan.

Model paling sporty M Sport pula menerima bampar hadapan dan belakang yang lebih agresif, bersama kemasan-kemasan hitam berkilat, termasuk kemasan sekeliling tingkap BMW Individual. Ia juga diberikan kemasan aluminium satin seperti pada Luxury Line pada bahagian gril. 1 Series F40 ditawarkan dengan pelbagai rekaan rim dari saiz 16- hingga 19-inci, bergantung pada varian yang dipilih.

Pada bahagian dalaman, papan pemuka model baharu ini turut menerima rekaan berbeza, tetapi mengekalkan BMW Live Cockpit Professional (dengan BMW Operating System 7.0), terdiri dari dua skrin paparan masing-masing bersaiz 10.25-inci – satu berfungsi sebagai paparan instrumen digital, dan satu lagi untuk sistem infotaimen dan kawalan fungsi lain.

Ia turut dibekalkan dengan sistem BMW Intelligent Personal Assistant yang pertama kali ditampilkan pada 3 Series G20, serta sistem kunci digital BMW Digital Key.

BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

Model-model lebih rendah pula diberikan sistem BMW Live Cockpit dan BMW Live Cockpit Plus, menampilkan suis kawalan analog serta skrin paparan format-potret 4:3 bersaiz 5.1-inci, yang turut menyokong Apple Carplay navigation plus.

Ia juga diberikan rekaan roda setereng baharu, bumbung panaromik, paparan head-up 9.2-inci bersama jalur latar belakang hitam dan juga lampu suasana dengan larasan enam-pilihan warna. Seleksi pilihan upholsteri juga lebih luas dari model sebelumnya.

Konfigurasi pacuan roda hadapan pada platform baharu ini membolehkan kabinnya direka lebih luas. Model ini menawarkan ruang lutut 33 mm lebih luas bersama luang lega kepala 19 mm lebih besar pada bahagian belakang. Ruang siku juga 42 mm lebih besar di hadapan, dan 13 mm lebih luas untuk penumpang belakang.

Ruang kargo dibina dengan kapasiti 380 liter, 20 liter lebih besar dari sebelum ini, dan memberikan 1,200 liter secara keseluruhan sekiranya tempat duduk belakang direbahkan. Ruang ini juga direka 67 mm lebih lebar, dan pintu tailgate belakang diberikan fungsi bantuan kuasa elektrik bagi memudahkan pengguna.

BMW 1 Series F40 didedahkan – model generasi baharu guna pacuan roda hadapan buat pertama kali

Dua enjin diesel dan dua enjin petrol ditawarkan untuk BMW 1 Series generasi baharu ini. Model paling rendah untuk diesel adalah 116d yang dijana enjin 1.5 liter tiga-silinder turbodiesel berkuasa 116 PS (114 hp) dan tork maksima 270 Nm. Ia ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau klac berkembar Steptronic automatik tujuh-kelajuan.

Versi dengan enjin empat-silinder 2.0 liter pula datang dengan dua talaan iaitu 118d berkuasa 150 PS (147 hp) dan tork maksima 350 Nm, manakala 120d xDrive pula menjana 190 PS (188 hp) dan tork maksima 400 Nm. Versi 118d tampil dengan kotak gear manual enam-kelajuan sebagai ciri standard, bersama opsyen transmisi automatik konvensional lapan-kelajuan Steptronic. 120d pula hanya diberikan pilihan kotak gear automatik.

Bagi versi petrol, model paling rendah 118i dijana enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder berkuasa 140 PS (138 hp) dan tork maksima 220 Nm. Pilihan kotak gear untuk model ini adalah sama seperti 116d.

Model tertinggi pula adalah M135i xDrive, dikuasakan enjin yang sama pada BMW X2 F39 M35i iaitu enjin produksi empat-silinder BMW paling berkuasa pernah dihasilkan setakat ini, unit 2.0 liter turbo menjana 306 PS (302 hp) dan tork maksima 450 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Steptronic Sport dengan sistem pacuan semua roda BMW xDrive.

Ini meletakkan model berkenaan untuk bersaing terus dengan Mercedes-AMG A 35 4Matic, dan ia mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 250 km/j.

Kesemua varian 1 Series ini dilengkapkan dengan sistem suspensi multilink pada gandar belakang. Tiga pilihan suspensi diberikan, termasuk suspensi M Sport yang merendahkannya 10 mm dari model standard. Sistem suspensi adaptif juga diberikan bersama Variable Damper Control (VDC), membolehkan pemandu memilih mod pemanduan Comfort dan Sport.

Teknologi actuator contiguous wheel slip limitation (ARB) yang diadaptasi dari model i3s juga dipadankan pada setiap varian. Sistem ini beroperasi bersama sistem DSC dengan mengurangkan power understeer tanpa ganguan kestabilan.

Menurut BMW, sistem berkenaan dikawal sendiri oleh kotak komputer enjin dan bukannya oleh kotak komputer sistem DSC, membolehkan isyarat dihantar dan diterima tiga kali lebih pantas, dan pemandu dapat mengelakkan dari berlakunya tayar yang menggelangsar, seterusnya dapat mengawal kereta sehingga 10 kali lebih cepat.

Sistem ARB ini turut dibantu oleh BMW Performance Control iaitu sistem torque vectoring yang diberikan semasa membrek bagi membolehkan model pacuan roda hadapan ini lebih lincah. Kesemua kawalan oleh sistem DSC boleh dinyah aktifkan, dan pemandu boleh melaras sistem Dynamic Traction Control (DTC) bagi memberikan pemanduan yang tidak bergantung kepada komputer.

Untuk keselamatan pula, 1 Series pasaran Eropah didatangkan standard dengan kelengkapan seperti Amaran Pelanggaran dan Pejalan Kaki dengan fungsi City Braking, dan juga sistem Amaran Keluar Laluan dengan active lane return yang berfungsi pada kelajuan 70 hingga 210 km/j.

Pembeli turut boleh memilih untuk memadankan sistem Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, dan juga pakej Driving Assistant yang terdiri dari Amaran Tukar Laluan dan Bantuan Pemanduan Proaktif, amaran pelanggaran belakang serta amaran lintasan trafik belakang.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required