BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

Tiga bulan selepas BMW Group Malaysia mempertontonkan model BMW X7 G07 pemasangan tempatan (CKD), ia akhirnya mula dijual secara rasmi hari ini. Sama seperti versi CBU, SUV flagship tujuh-tempat duduk ini ditawarkan dalam varian tunggal xDrive40i Design Pure Excellence, dengan sedikit perubahan spesifikasi.

Harga juga jadi lebih rendah berbanding harga yang dianggarkan sebelum ini iaitu pada RM708,800. Harga rasmi versi CKD ini ialah RM673,324 atas jalan tidak termasuk insurans atau SST. Ini bersekali dengan jaminan lima-tahun, tanpa had perbatuan serta lima tahun servis percuma; dengan jaminan standard selama dua-tahun, X7 dijual pada harga RM648,934.

Berbanding model CBU, yang sebelum ini yang masing-masing dijual pada harga RM861,847 dan RM837,457, versi CKD ini melibatkan penjimatan sehingga RM188,523 — melibatkan juga senarai kelengkapan yang ada, tentunya. Harga ini sah sehingga 30 Jun 2021. Selepas itu, harganya akan naik kepada RM674,410 dengan SST, atau RM698,800 dengan pakej waranti dan servis yang dinyatakan.

BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

Secara visual, secara umumnya X7 kekal sama. Tingkat kemasan Design Pure Excellence libatkan pertambahan kemasan krom di depan, pada tingkap, grafik sisi “kayu hoki” dan bampar belakang, termasuk skid plate depan dan belakang warna perak, body cladding warna badan serta landasan bumbung aluminium satin. Turut hadir ialah lampu utama BMW Laserlight dan juga rim aloi dua-tona jejari Y 21-inci.

Di dalam, kerusi larasan kuasa (dengan pemanas untuk kerusi depan dan memori untuk sebelah pemandu) dibalut dengan kulit Vernasca, sementara papan pemuka menggunakan kemasan kulit buatan Sensatec dan dirias bersama kayu berkilat Fineline Stripe. X7 ini juga datang dengan bumbung panoramik Sky Lounge, tuil gear warna perak dan butang kawalan kristal.

Bagi kelengkapan teknologi pula, ia hadir dengan ciri BMW Live Cockpit Professional dengan skrin berkembar 12.3-inci bagi panel instrumen dan infotainment, serta kawalan gerak-geri, pengecas tanpa wayar dan sistem bunyi Harman Kardon 464-watt 16-pembesar suara. Juga ada ciri Parking Assistant Plus yang termasuk sistem kamera 360-darjah (dengan mod 3D, boleh dilihat di telefon) serta Reversing Assistant.

BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

Kelengkapan standard lain termasuklah sistem tanpa kunci, butang Push Start, pintu tutup sendiri, kawalan pendingin lima zon, pengilap dan lampu automatik, cermin anti-silau automatik, stereng larasan kuasa, penghadang matahari belakang larasan kuasa serta pintu belakang tanpa kendalian tangan.

Namun, terdapat juga beberapa perbezaan kelengkapan antara model CBU dan CKD. X7 CKD kini dilengkapi dengan rear-wheel steering, sebagai tambahan kepada suspensi udara, penyerap hentak adaptif dan penstabil olengan aktif Executive Drive Pro yang turut ditawarkan pada model CBU.

Versi CKD turut dikurangkan dari sudut keselamatan, dengan ketiadaan fungsi Driving Assistant Professional. Sistem Driving Assistant biasa bagaimanapun tetap menampilkan ciri seperti AEB, bantuan mengekalkan lorong dan peninjau titik buta, tetapi menggugurkan ciri bantuan ke tengah lorong, bantuan menukar lorong, penghindaran perlanggaran titik buta dan Crossroads Warning. Kawalan melayar adaptif dengan STOP/GO, satu lagi ciri pada Driving Assistant Professional, disertakan kembali.

BMW X7 G07 CKD dilancar — xDrive40i Design Pure Excellence murah RM189k dari CBU pada RM648,934

Mekanikalnya, model xDrive40i kekal dengan enjin 3.0 liter turbocas B58 enam-silinder sebaris, menghasilkan 340 PS daripada 5,500 hingga 6,500 rpm dan 450 Nm tork dari 1,500 hingga 5,200 rpm. Transmisi pula menggunakan jenis ZF automatik lapan-kelajuan, membolehkan X7 memecut 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat hingga laju maksimum 245 km/j. Kadar penggunaan minyak ialah 9.5 liter bagi setiap 100 km.

BMW X7 CKD datang dalam tujuh warna luaran — Sapphire Black dan Sophisto Grey dengan ruang dalaman balutan kulit Cognac, Phytonic Blue dan Manhattan dengan kulit hitam serta Mineral White dengan kulit Coffee.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required