BMW sebelum ini telah mengesahkan bahawa nanti akan terdapat satu versi prestasi untuk sedan elektrik i4, dan ia akan didedahkan secara rasmi 1 Jun di Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, sebelum ia berlaku, satu gambar yang dikatakan sebagai i4 M50 xDrive telah bocor di internet.
M50 xDrive akan menjadi model M Performance dengan kuasa elektrik yang pertama, dan dikatakan bakal menggunakan tetapan dua motor yang memberikan sistem pacuan empat roda, 530 PS (523 hp) dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa empat saat. Varian paling tinggi ini akan diletakkan atas eDrive40 dan eDrive50 yang mana masing-masing menghasilkan kuasa 334 PS (330 hp) dan 272 PS (268 hp).
Ada laporan yang memberi petunjuk bahawa kedua-dua M50 xDrive dan eDrive40 akan dilengkapi dengan bateri 80 kWh, dan varian pertengahan boleh memberi jarak gerak sehingga 590 km sekali cas penuh. BMW masih belum mendedahkan jarak gerak model M Performance itu, tetapi ia dijangka lebih rendah kerana prestasi yang lebih tinggi.
Model M50 xDrive ini juga akan datang dengan BMW IconicSounds Electric, iaitu satu portfolio bunyi yang dibangunkan kerjasama dengan Hans Zimmer untuk memberikan pengalaman bunyi penuh rasa bagi yang memandu. Model i4 versi M ini nanti akan mendapat profail bunyi yang berbeza demi memastikan ia lebih menyerlah berbanding varian biasa.
Untuk rupa luaran, penampilan EV prestasi ini hampir sama seperti pakej M Sport yang didedahkan April lalu, dengan bampar hadapan yang agresif bersama bukaan udara besar, side skirt lebih sporty, rim lebih bergaya dan elemen diffuser di belakang. Perhatikan lebih lagi dan anda akan dapat melihat pakej Shadow Line serta bahagian yang dihitamkan seperti gril, lencana dan kemasan lain.
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.