Honda HR-V 2022 – Sistem Air Diffusion diperincikan

Honda HR-V 2022 – Sistem <em>Air Diffusion</em> diperincikan

Honda Eropah telah banyak melakukan persiapan untuk memasarkan HR-V generasi ketiga yang dijangka tiba di benua berkenaan pada penghujung tahun ini. Ini turut menampilkan pelbagai ciri baharu untuk mempertingkatkan keselesaan dalaman bagi crossover segmen-B ini termasuklah memperkenalkan Sistem Air Diffusion atau Penyebaran Udara baharu.

Dengan adanya sistem ini, corong udara berbentuk-L yang unik yang ditempatkan di sudut papan pemuka, boleh digunakan untuk menyebarkan udara ke bahagian sisi dan bumbung kereta, berbanding terus ke muka penumpang.

Aliran udara juga bertindak sebagai penebat dan menghalang haba panas daripada memasuki ruang kabin menerusi tingkap sisi pada musim panas dan juga rasa dingin pada musim sejuk. Pengguna boleh menukar kawalan untuk pengudaraan secara terus ke hadapan menerusi tombol kawalan yang besar untuk melaras corong udara berkenaan. Malah penumpang belakang juga menerima manfaat daripada corong baharu yang ditempatkan di belakang perehat tangan hadapan, satu ciri baharu untuk HR-V.

Honda HR-V 2022 – Sistem <em>Air Diffusion</em> diperincikan

Diteruskan dengan konsep dalaman “light and wind”, tingkap juga direka untuk membolehkan seberapa banyak cahaya menembusi bahagian kabin. Selain menambah baik penglihatan luaran menerusi bonet yang rata dan pandangan yang jelas, membolehkan pemandu untuk mengendalikan kereta dengan lebih optimum.

Honda turut memfokuskan posisi kawalan yang optimal, mengelakkan susun atur yang kurang kemas bagi menimbulkan rasa yang lebih tenang. Kawalan ventilasi dan audio juga telah diposisi secara lebih rapat dengan penglihatan pemandu dan ia turut direka untuk lebih mudah dikendalikan ketika sedang memandu.

Prinsip “Man-Maximum, Machine-Minimum” yang dipegang oleh Honda tetap digunapakai untuk pembangunan HR-V ini, dengan komponen penjana kuasanya ditempatkan di antara casis dan petak enjin. Malah, tangki bahan api juga diposisikan di bawah tempat duduk hadapan, memaksimumkan ruang dalaman dengan membolehkan rekaan yang lebih “preimum” untuk luaran diketengahkan.

Dengan penambahan dimensi ruang dalaman, tempat duduk belakang telah ditempatkan ke belakang sedikit lebih kurang 30 mm dan mempertingkatkan jarak untuk ia dibaringkan sebanyak dua darjah. Honda turut mendakwa ruang kepalanya juga setanding dengan standard kelas yang setara dengannya tetapi peningkatan sebanyak 35 mm bagi ruang kaki dan ruang bahu membuatkan ia setaraf dengan kelas SUV.

Penambahbaikan untuk keselesaan lain termasuklah tempat duduk hadapan “menstabilkan badan’, di mana ia menggunakan struktur alas berbanding gegelung sebagai sokongan. Ia meningkatkan keselesaan untuk semua penumpang dan mengelakkan kelesuan jika berada dalam perjalanan jauh.

HR-V ini akan ditawarkan di Eropah dengan bentuk e:HEV hybrid sahaja, menggunakan motor elektrik 131 PS/252 Nm dan enjin 1.5 liter kitaran-Atkinson i-VTEC 108 PS/127 Nm yang boleh mengecas bateri dan membantu menyalurkan kuasa yang lebih padu dalam kelajuan yang tinggi. Model ini telah dijual di Jepun, di mana ia lebih dikenali sebagai Vezel dan ditawarkan dengan varian petrol 1.5 liter yang menghamburkan kuasa 118 PS dan tork 142 Nm, dipadankan bersama CVT.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required