Geneva International Motor Show kembali pada 2022

Geneva International Motor Show kembali pada 2022

Penganjuran Geneva International Motor Show (GIMS) direncanakan bakal kembali pada tahun 2022, dengan tarikh yang ditetapkan pada 19 hingga 27 Februari, manakala hari untuk pihak wartawan membuat liputan khas pada 17 dan 18 Februari. Dalam kenyataan media rasmi yang diedarkan, pendaftaran untuk para peserta pameran sudah pun bermula, dan mempunyai masa sehingga pertengahan Julai ini untuk mengisi slot yang ada.

“Dengan penghantaran pakej tender, kini secara rasminya kami mula mengaturkan gerak kerja untuk GIMS 2022. Pasukan kami tidak sabar untuk mempersembahkan konsep kami kepada para peserta pameran dan juga orang ramai. Kami sangat berharap agar situasi kesihatan dan juga peraturan polisi berkaitan dengan COVID-19 membenarkan kami untuk meneruskan penganjuran,” ujar Sandro Mesquita, CEO bagi GIMS.

Krisis kesihatan global tersebut telah memberikan impak terhadap GIMS, di mana ia terpaksa membatalkan penganjuran untuk edisi ke-90 pada tahun 2020, selepas kerajaan Switzerland membuat keputusan untuk melarang semua acara umum berskala besar sejak Februari lalu.

Manakala pembatalan acara untuk 2021 pula diumumkan pada Julai 2020, dengan pihak penganjur memilih untuk menjual pertunjukan tersebut kepada Palexpo SA. Acara 2022 pula baru-baru ini diumumkan sebagai penganjuran kali ke-91.

GIMS merupakan salah satu acara automotif terbesar di dunia, dengan kebanyakan jenama pengeluar kenderaan mengambil kesempatan untuk memperkenalkan model terkini mereka pada penganjuran acara berkenaan. Namun buat masa ini, belum ada jenama yang mengesahkan bakal mengambil bahagian dalam acara yang akan datang. Dan ada juga jenama besar yang pernah menyatakan mereka tidak akan mengambil bahagian dalam acara terbabit sebagai usaha untuk mengurangkan kos.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required