Sementara perlumbaan Isle of Man (IoM) TT telah dibatalkan tahun ini disebabkan pandemik, BMW Motorrad France telah mengeluarkan 50 unit model edisi khas S1000RR Isle of Man Edition. Harganya ditetapkan pada 33,005 euro (RM162,465) dan hanya akan dijual di Perancis sahaja.

BMW juga pernah mengeluarkan model edisi seperti ini, tetapi pada model kereta, iaitu BMW M3 Competition G80. Perincian sama digunakan pada S1000RR Isle of Man Edition, termasuk warna badan Isle of Man Green serta rim M warna tembaga (warna sama digunakan pada angkup brek M Carbon Ceramic M3 Competition Isle of Man Edition).

Turut diberikan terus pada S1000RR keluaran khas ini adalah pakej Carbon Pack, serta kemasan gentian karbon pada tangki bahan api (untuk memberikan persamaan seperti M3 Competition yang menggunakan bumbung gentian karbon). Kemudiannya, lencana nama model diwarnakan hitam.

Tempat duduk S1000RR Isle of Man Edition dibalut dengan kulit Alcantara dan di tepinya terdapat kemasan berwarna kelabu, seperti konsep balutan kulit Merino Silverstone pada M3 Competition edisi sama. Satu lagi ciri istimewa S1000RR Isle of Man Edition ini adalah lampu LED utama hadapan yang berwarna kuning – dibenarkan untuk kegunaan atas jalan biasa di Perancis.

Melengkapkan perincian motosikal ini adalah sistem ekzos titanium penuh daripada Akrapovic yang diperkemaskan dengan warna seramik hitam. Di Malaysia, BMW S1000RR dijual dalam dua versi iaitu Standard berharga RM121,500 dan S1000RR M Package RM138,500.