2021 Sportster S – Scotland Photo Shoot

Harley-Davidson telah mendedahkan model RH1250S Sportster S 2021, model kedua dalam barisan motosikal yang menggunakan enjin Revolution Max 1250T V-twin. Enjin berkenaan pertama kali digunakan pada Pan America 1250 2021 (yang dijual dari harga RM99,900 di Malaysia).

Penggayaannya kekal dengan imej streetbike seperti yang pernah ditunjukkan oleh Harley-Davidson sebelum ini, dengan mambawa kembali penampila ala motosikal cruiser dari siri VR. Enjin berkenaan juga adalah yang terkini dari aspek teknologi. Dengan kapasiti 1,250 cc dan menghasilkan 121 hp pada 7,500 rpm dan 127 Nm tork pada 9,000 rpm. Ia juga memanfaatkan ciri DOHC, empat-injap setiap silinder dengan pacuan rantai dan variable valve timing (VVT).

Suspensi pula menggunakan tetapan moden, dengan unit fork terbalik Showa 43 mm larasan penuh serta monoshock Showa di belakang, yang juga jenis larasan penuh. Brek depan dan belakang menggunakan brek hidraulik cakera tunggal, dengan bahagian depan menggunakan angkup empat-omboh, serta ciri angkup monoblock condong dengan ABS di selekoh sebagai standard.

Saiz tayar digunakan ialah 17-inci di depan dan 16-inci di belakang, dengan saiz tayar 160/70 dan 180/70. Ketinggian pelana pula 753 mm, dengan kapasiti tangki minyak 11.8 liter, menjadikan beratnya ialah 228 kg. Kelengkapan lain yang ada termasuklah skrin TFT-LCD empat-inci dengan sambungan Bluetooth. Maklumat yang dipaparkan pula termasuk tunjuk arah. Kemudahan lain yang tersedia termasuk slot pengecas USB-C dan sistem lampu LED keseluruhannya. Tidak ketinggalan ialah sistem penggera.

Empat mod tunggangan disediakan — Road, Sport, Rain dan mod Custom. Ada tiga pilihan warna ditawarkan, termasuk Vivid Black, Stone Washed White Pearl dan Midnight Crimson.