Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia – catat 190 km/j di kawasan 90km/j

Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

Thierry Neuville (BEL) Martijn Wydaeghe (BEL) of team Hyundai Shell Mobis are seen performing during the World Rally Championship Estonia in Tartu, Estonia on 18,July // Jaanus Ree/Red Bull Content Pool // SI202107180044 // Usage for editorial use only //

Uniknya perlumbaan rali, ia tidak berlangsung dalam litar, tetapi ia dibuat secara ‘time attack’ dijalan awam yang dikenali sebagai laluan Special Stage (SS). Dan bagi bergerak dari service park ke SS atau dari satu SS ke SS yang lain, kereta-kereta rali ini perlu dipandu sendiri melalui jalan raya awam dan perlu mengikut peraturan trafik sama seperti kereta lain – sebab itulah kereta rali mempunyai nombor plat pendaftaran yang sah serta perlu membayar cukai jalan.

Jadi ketika bergerak atas jalan raya awam, kereta-kereta rali ini tidak kebal dari undang-undang yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Ketika berlangsungnya Rali Estonia, iaitu pusingan ketujuh Kejohanan Rali Dunia (WRC) hujung minggu lalu, pemandu Hyundai Motorsport, Thierry Neuville telah disaman setelah dikesan memandu jentera Hyundai i20 Coupe WRC melebihi had laju yang ditetapkan di jalan raya awam.

Neuville dikesan mencatatkan kelajuan 190 km/j pada jalan raya dengan had laju maksima 90 km/j ketika bergerak dari SS ke-22 menuju ke garis permulaan SS ke-23 pada hari terakhir Rali Estonia 2021. Ini menyebabkan dia didenda sebanyak €2,500 (RM12k) dari FIA serta akan digantung satu perlumbaan untuk musim ini. FIA turut memberi amaran bahawa dia boleh digantung terus selepas ini sekiranya sekali lagi melakukan kesalahan yang sama dengan kelajuan melebihi 30% had maksima yang ditetapkan.

Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

Keputusan dari pegawai pengelola FIA tersebut menyatakan bahawa Neuville dan juruarahnya Martijn Wydaeghe memberitahu mereka lewat tiba di tempat kawalan masa “kerana menghadapi masalah teknikal pada kereta”.

Dalam sidang media selepas berakhirnya Rali Estonia, Neuville memberitahu bahawa mereka menghadapi masalah berkenaan motor penghidup enjin, dan kerana mereka “sedang berentap untuk kedudukan podium mereka tidak dapat mengelak kesalahan memandu melebihi had laju tersebut kerana tidak mahu lewat tiba di TC23”.

Dokumen pegawai pengelola tersebut turut menyebut bahawa Neuville dan Wydaeghe menyatakan “keadaan trafik ketika itu adalah lengang”.

Walau bagaimanapun, FIA masih menganggap insiden berkenaan sebagai “pelanggaran yang serius” terhadap Kod Sukan Antarabangsa FIA 2021 dan juga Undang-undang Kesukanan WRC – secara spesifiknya Artikel 34.3.1 yang menyatakan bahawa “sepanjang berlangsungnya rali, kedua-dua ahli kru perlu patuh kepada undang-undang trafik nasional”.

Thierry Neuville terima saman RM12k sebab pandu laju di Rali Estonia –  catat 190 km/j di kawasan 90km/j

“Dalam kes ini kelajuan yang dicatatkan adalah melebihi 100% dari had laju, dan ketiadaan lalu lintas tidak boleh diambil kira bagi mendakwa bahawa kesalahan tersebut tidak dapat dielakkan,” tulis laporan tersebut lagi. Ia juga memetik kempen Action for Road Safety yang dijalankan oleh FIA dan menambah “keselamatan kekal menjadi cabaran utama dan FIA komited untuk melakukan segala yang boleh bagi memperbaiki sikap pemanduan”.

Dalam insiden yang sama, Thierry Neuville turut dikenakan penalti 10-saat terhadap catatan masa keseluruhan mereka kerana tiba lambat di garis permulaan, namun tetap berjaya mencatatkan masa terpantas di SS ke-23 berkenaan.

Rali Estonia dimenangi oleh Kalle Rovanpera yang baru berumur 20-tahun dari pasukan Toyota Gazoo Racing, yang juga mencatatkan rekod baharu sebagai pemenang WRC termuda dalam sejarah. Ia diikuti oleh pemandu Itali, Craig Breen dari pasukan Hyundai Motorsport di tempat kedua, manakala Neuville berjaya menduduki podium tempat ketiga.

Thierry Neuville bukan satu-satunya pelumba yang dikenakan hukuman gantung satu perlumbaan untuk WRC musim ini. Rakan sepasukannya, Ott Tanak dikenakan hukuman yang sama selepas memandu keretanya dengan hanya tiga tayar semasa pulang ke service park di Rali Monte Carlo. Manakala pendahulu kejuaraan Sebastien Ogier juga diberikan hukuman serupa selepas terlibat dalam kemalangan dengan trafik awam dan meninggalkan kejadian tersebut secara tergesa-gesa ketika berlangsungnya Rali Croatia April lalu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required