Kemalangan tak bagi signal – Sebastien Ogier disaman Polis RM35k, digantung satu perlumbaan oleh FIA

Susulan kemalangan yang kami laporkan berkenaan Sebastien Ogier yang terlibat dalam kemalangan trafik di jalan raya awam pada Rally Croatia semalam (anda boleh baca pada PAUTAN INI), juara dunia Kejohanan Rali Dunia (WRC) tujuh kali berkenaan telah pun menerima hukumannya – dia disaman sejumlah 8,000 euro (RM35k) oleh pihak polis tempatan, serta digantung satu perlumbaan oleh FIA sendiri.

Perlumbaan rali biasanya diadakan di kawasan awam, bukan litar lumba. Sebab itulah kereta-kereta rali perlu ada nombor plat pendaftaran dan cukai jalan, serta mengenakan set lampu sama dengan kereta produksi kerana perjalanan dari service park ke special stage (SS), ia perlu dipandu sendiri meredah trafik jalan raya awam.

Insiden berkenaan terjadi pada Ahad lalu, hari terakhir WRC Croatia, ketika Ogier dalam perjalanan ke permulaan SS17, iaitu SS keempat terakhir perlumbaan tersebut. Menerusi video yang dirakam orang awam, kejadian itu terjadi pada sebatang jalan tiga lorong, dan ia disebabkan Ogier yang berada di lorong tengah dan ingin berhenti ke perhentian bas di tepi jalan secara tergesa-gesa tiba-tiba dilanggar oleh kereta yang memotongnya dari sebelah kanan kerana tiada lampu isyarat membelok berkelip dari Toyota Yaris WRC berkenaan.

Kemalangan tersebut menyebabkan panel-panel aerodinamik pada sisi kanan jentera lumba tersebut rosak teruk, tetapi tidak melibatkan sebarang kecederaan kepada mana-mana pihak. Kejadian itu kemudiannya dilihat turut melibatkan campur tangan polis tempatan. Namun selepas itu Ogier secara tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian dan perkara tersebut diselesaikan oleh Jarmo Lehtinen, ketua acara Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT).

Kemalangan tak bagi <em>signal</em> – Sebastien Ogier disaman Polis RM35k, digantung satu perlumbaan oleh FIA

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh FIA berhubung insiden berkenaan, Sebastien Ogier telah melakukan berberapa kesalahan antaranya melanggar lampu isyarat merah serta meninggalkan kawasan kejadian kemalangan ketika pihak polis masih berada di lokasi tersebut.

Antara apa yang ditulis oleh laporan kejadian tersebut oleh FIA adalah seperti berikut. “Kereta No.1 terlibat dalam kemalangan pad 25 April antara posisi Road Book 3 posisi muka surat 21 kotak 5 dan muka surat 22 kotak 6. Selepas kemalangan, ketika pegawai polis berdiri di hadapan kereta, pemandunya Sebastien Ogier memandu pergi dari kawasan kemalangan.”

“Encik Ogier menerangkan bahawa selepas mereka meninggalkan service park, mereka menyedari mereka perlu berhenti untuk memeriksa sesuatu pada kereta. Sebaik sahaja mereka bergerak dari lampu isyarat, mereka nampak perhentian bas yang sesuai pada sebelah kanan dan menukar lorong untuk sampai ke perhentian bas.

“Ada kereta lain menghampiri pada masa yang sama laju dari belakang pada lorong yang sama dan berlanggar dengan bahagian kanan kereta No.1. Sejurus selepas kemalangan Encik Ogier berhenti di tepi jalan untuk memeriksa dan mendapati tiada sesiapa yang tercedera serta memberikan informasi untuk berhubung dengannya kepada pemandu tersebut.

Kemalangan tak bagi <em>signal</em> – Sebastien Ogier disaman Polis RM35k, digantung satu perlumbaan oleh FIA

“Apabila polis sampai ke lokasi kejadian dan mereka tidak tahu berbahasa inggeris, ahli pasukan diminta untuk membuat kertas kerja pada tempat tersebut.

“Setibanya Encik Lehtinen di tempat kejadian, ada perbualan telefon antara pusat kawalan rali dan pegawai polis di lokasi kemalangan. Sangat jelas kru boleh meneruskannya, tetapi menurut Encik Ogier, informasi ini tidak dikongsi dengan pegawai polis yang berdiri di hadapan kereta. Kerana kru telahpun memberikan semua informasi dan wakil pasukan ada pada lokasi kejadian, Encik Ogier merasakan bahawa dia boleh pergi.

“Encik Ogier juga menambah bahawa dia memahami sepenuhnya perkara tersebut sepatutnya tidak berlaku dan ia membuatkan kelakuannya nampak sangat teruk dalam klip video yang telah tular di media sosial. Encik Ogier memohon maaf untuk kesalahan ini dan berjanji untuk menghubungi pemandu yang terlibat dengan kemalangan tersebut dan juga pegawai polis yang berdiri di hadapan kereta bagi memohon maaf kepada mereka.

“Pegawai pengelola menyimpulkan kemalangan trafik tidak melanggar peraturan (perlumbaan). Namun, kelakuan Encik Ogier tidak boleh diterima. Dengan memandu kereta dan menolak pegawai polis ketepi, Encik Ogier telah menyebabkan situasi yang tidak selamat. Insiden ini menjejaskan kepentingan sukan permotoran.”

Kemalangan tak bagi <em>signal</em> – Sebastien Ogier disaman Polis RM35k, digantung satu perlumbaan oleh FIA

Untuk kesalahan kemalangan ini, pihak polis tempatan mengenakan denda sebanyak 5,000 euro (RM25k) kepada Ogier. Dia juga sebenarnya melakukan satu lagi kesalahan selepas kemalangan itu berlaku iaitu melanggar lampu isyarat merah. Untuk itu, pihak polis memberikannya tambahan denda sebanyak 2,000 euro (RM10k).

“Pemandu menyatakan bahawa selepas berlakunya kemalangan dia masih lagi terkejut dan tidak memerhatikan lampu isyarat seperti yang sepatutnya. Dia memohon maaf atas kesilapannya,” tulis satu lagi laporan dari Pegawai pengelola FIA berhubung perkara tersebut.

Pegawai pengelola turut menegur pasukan Toyota Gazoo Racing kerana membenarkan Lehtinen pergi ke kereta dalam jarak satu kilometer dari service park – ia melanggar undang-undang perlumbaan 56.2.1.

Walau bagaimanapun, FIA tidak membatalkan kemenangan Sebastien Ogier pada Rally Croatia 2021, dan dia kekal sebagai pendahulu kejohanan dengan 61 mata, meninggalkan pemandu Hyundai Thierry Neuville di tempat kedua dengan beza hanya 8 mata.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required