VIDEO: Tak bagi signal, Sebastien Ogier kemalangan sebelum mula berlumba di SS17, WRC Croatia 2021

Perlumbaan rali, selain dari uniknya ia hanya perlumbaan catatan masa, rali juga biasanya diadakan di kawasan awam, bukan litar lumba. Sebab itulah kereta-kereta rali perlu ada nombor plat pendaftaran dan cukai jalan, serta mengenakan set lampu sama dengan kereta produksi kerana perjalanan dari service park ke special stage (SS), ia perlu dipandu sendiri meredah trafik jalan raya awam.

Hujung minggu ini, pusingan ketiga Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2021 berlangsung di Zagreb, Croatia. Nasib kurang baik menimpa juara dunia tujuh-kali, Sebastien Ogier kerana dia terlibat dalam kemalangan, bukan dalam perlumbaan tetapi di trafik jalan raya awam.

Insiden berkenaan terjadi pada Ahad, hari terakhir WRC Croatia, ketika Ogier dalam perjalanan ke permulaan SS17, iaitu SS keempat terakhir perlumbaan tersebut. Menerusi video yang dirakam orang awam, kejadian tersebut terjadi pada sebatang jalan tiga lorong, dan ia disebabkan Ogier yang berada di lorong tengah dan ingin ke bahu jalan secara tiba-tiba dilanggar oleh kereta yang memotongnya dari sebelah kanan kerana tiada lampu isyarat membelok berkelip dari Toyota Yaris WRC berkenaan.

Kemalangan tersebut menyebabkan panel-panel aerodinamik pada sisi kanan jentera lumba tersebut rosak teruk, tetapi tidak melibatkan sebarang kecederaan. Kejadian itu kemudiannya dilihat turut melibatkan campur tangan polis tempatan. Namun selepas itu Ogier secara tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian dan perkara tersebut diselesaikan oleh seorang wakil Toyota Gazoo Racing World Rally Team (TGR WRT).

VIDEO: Tak bagi signal, Sebastien Ogier kemalangan sebelum mula berlumba di SS17, WRC Croatia 2021

Ketika kejadian berkenaan berlaku, Ogier sebenarnya berada pada kedudukan pertama keseluruhan selepas berakhirnya SS16, tetapi masih tidak selesa kerana rakan sepasukannya Elfyn Evans sedang mencucuk rapat hanya 6.9 saat di belakang, diikuti Thierry Neuville dari pasukan Hyundai pula hanya tertinggal 10.4 saat di belakang.

Juruarah Ogier, Julien Ingrassia juga dilhat terpaksa memakai gogel pada SS18 bagi mengelakkan serpihan dan kotoran dari luar terkena mata kerana pintu kanan Yaris tersebut sudah tidak lagi kedap. Kerosakan yang dialami oleh Ogier ini cukup membuatkan dia jatuh ke tempat kedua, dipintas oleh Evans selepas berakhir SS18 dengan kelebihan 2.8 saat.

Evans masih mengekalkan kedudukannya sebagai pendahulu perlumbaan pada SS19 dengan berada 3.9 saat di hadapan Ogier, sementara Neuville yang berjaya mencatatkan masa terpantas pada SS tersebut masih hanya berada di tempat ketiga keseluruhan dengan jarak lapan saat di belakang Evans.

Pertarungan sengit antara tiga pemandu ini berterusan sehingga SS terakhir, menyaksikan Ogier membuat kejutan dengan menang WRC Croatia menerusi kelebihan hanya 0.6 saat di hadapan Elfyn Evans! Thierry Neuville pula hanya mampu berpuas hati di tempat ketiga ketinggalan 8.1 saat berbanding Sebastien Ogier.

Prinsipal pasukan TGR WRT, Jari-Matti Latvala menyifatkan apa yang dilakukan oleh Ogier selepas berlakunya kemalangan tersebut adalah “profesional dan kerja yang mengkagumkan.”

“Jurutera dan pereka, mereka sudah banyak berusaha bagi membolehkan aerodinamik berfungsi pada kereta, jadi sudah tentu (kemalangn ini) sesuatu yang mengecewakan,” kata bos pasukan Toyota tersebut kepada portal Motorsport.com.

“Aerodinamik tersebut sekarang – bagaimana aliran udara sepatutnya mengalir – tidak menjadi lebih baik. Sudah tentu, ia sangat sukar untuk mengatakan berapa banyak kelajuan yang akan terjejas tetapi sudah jelas ia tidak akan membuatkan kereta lebih baik atau lebih laju.

“Tetapi saya kenal sangat dengan Sebastien dan insiden ini sudah tentu tidak memberikan anda rasa yang bagus untuk memulakan perlumbaan – tetapi dia profesional dan dia telah buat kerja yang mengkagumkan dalam situasi [selepas kemalangan]” kata Latvala lagi.

Kemaskini: Sebastien Ogier sudahpun di saman oleh pihak polis dengan jumlah RM35k, serta digantung satu perlumbaan oleh FIA. Anda boleh baca perinciannya pada PAUTAN INI.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required