Selepas kemunculan sulungnya untuk pasaran Asia Tenggara yang dibuat di Thailand minggu lalu, Honda Civic generasi ke-11 bakal dilancarkan di satu lagi negara jiran iaitu Singapura yang akan berlangsung esok, 12 Ogos. Pengedar Honda di republik berkenaan, Kah Motor sudah pun membuka pendaftaran minat terhadap model ini pada Mei lalu.
Segala perincian untuk Civic 2022 pasaran Singapura tersebut akan didedahkan ketika pelancarannya nanti. Di Thailand, Civic berkenaan kini hanya ditawarkan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo, manakala pilihan enjin 1.8L NA i-VTEC sudah tidak lagi ditawarkan.
Walaupun enjin empat silinder turbo berkenaan masih lagi sama dengan enjin pada Civic FC terdahulu, ia kini ditala bagi menghasilkan 178 PS dan tork maksima 240 Nm, atau 5 PS lebih besar dari sebelum ini, tetapi 4 PS lebih kecil berbanding Civic yang didedahkan di Amerika Syarikat April lalu.
Bagi model terdahulu, Civic pasaran Singapura ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan juga enjin 1.6 liter NA SOHC berkuasa 125 PS dan 152 Nm yang sama seperti pada Civic generasi ke-lapan (FD) dan ke-sembilan (FB). Kedua-dua enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.
Sistem bantuan pemandua keselamatan Honda Sensing juga tidak ditawarkan pada Civic di Singapura sebelum ini, tetapi ia mungkin akan diberikan pada model generasi ke-11 ini nanti, memandangkan di Thailand ia diberikan secara standard untuk kesemua varian.
Bagaimana dengan Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.
GALERI: Honda Civic generasi ke-11 pasaran Thailand
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.