Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Singapura tidak lama lagi, pendaftaran minat dibuka

Honda Civic generasi ke-11 akan dilancarkan di Singapura tidak lama lagi, pendaftaran minat dibuka

Honda Civic generasi ke-11 baru sahaja membuat pendedahan sulungnya di Amerika Syarikat akhir bulan lalu, dan ini satu berita yang agak mengejutkan – Singapura bakal menjadi antara negara terawal di dunia untuk menerima model berkenaan di mana wakil pengedar Honda di seberang tambak tersebut, Kah Motor sudah pun mengumumkan ia bakal dilancarkan tidak lama lagi, serta mula membuka pendaftaran untuk pelanggan yang berminat!

Namun sebarang pengumuman rasmi berkenaan harga mahupun spesifiksi masih belum dibuat. Ketika didedahkan di Amerika Syarikat, Civic generasi ke-11 ini ditawarkan dalam dua versi penjana; 2.0 liter NA DOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo, kedua-duanya digandingkan dengan kotak gear CVT – Singapura mungkin akan menerima salah satu atau kedua-dua pilihan ini. Untuk rekod, bagi model generasi ke-10, pelanggan di Singapura ditawarkan dengan model 1.6 liter NA dan juga 1.5 liter VTEC Turbo.

Civic generasi baharu ini menampilkan rupa yang sangat berbeza dari model sedia ada. Ia tidak lagi tampil dengan rekaan tajam yang agresif, tetapi diberikan rupa lebih matang serta garis badan yang lebih mirip kepada Accord.

Saiz Civic baharu ini juga lebih besar dari generasi FC sebelumnya. Panjang keseluruhan model ini adalah 4,674 mm (33 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,736 mm (36 mm lebih jauh). Namun lebar dan tinggi model baharu ini masih sama seperti model sedia ada, masing-masing 1,415 mm dan 1,801 mm.

Bahagian kabin Civic generasi baharu ini juga menampilkan rekaan lebih matang seiring dengan rekaan luarannya. Ia direka ringkas dengan menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Pemandu juga kini menerima roda stereng dengan rekaan baharu serta paparan instrumen digital sepenuhnya untuk model varian lebih tinggi.

Pelancaran Honda Civic generasi ke-11 ini di Singapura semakin hampir, jadi bagaimana pula dengan Malaysia? Menerusi petunjuk yang diberikan oleh presiden dan COO Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum, ia mungkin akan mendarat di sini pada tahun ini juga. Namun pada jangkaan kami, ia mungkin hanya akan diprebiu di Malaysia tahun ini, dan hanya akan dilancarkan pada pasaran tempatan tahun hadapan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required