AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

Perkhidmatan ride-sharing atau e-hailing sejak beberapa tahun kebelakangan ini terbukti menjadi sebuah perkhidmatan pengangkutan penting terutama di kawasan bandar. Ini menjadikannya sebuah perniagaan yang berbaloi untuk terus dilabur. Sebagai bukti, ini terbukti dengan pengenalan platform terbaru AirAsia Ride (AAR) beberapa hari lalu.

Sejak Uber meninggalkan perniagaan ini dan operasinya di Asia Tenggara digabungkan pada 2018, ia didominasi oleh Grab. Ada juga beberapa pemain kecil yang datang dan pergi dalam tempoh itu, tetapi kehadiran AAR ini nampaknya benar-benar akan memberi persaingan semula kepada perniagaan berkenaan.

Penawaran terbaru syarikat ini, yang dibentuk daripada pembelian penyedia perkhidmatan ride-sharing Dacsee, akan bersaing dengan Grab dan penyedia perkhidmatan sama yang lain. Ia disepadukan ke dalam Super App syarikat itu, yang turut menyediakan khidmat penghantaran makanan dari pengambilalihan DeliverEats, beli-belah serta tempahan hotel dan tiket kapal terbang.

Untuk itu, kami mengambil keputusan untuk mencuba perkhidmatan AAR yang terbaru ini, dan bandingkannya dengan Grab untuk mendapatkan tanggapan awal perbezaan antara kedua-duanya. Adakah AAR dapat menggugat perkhidmatan yang selama ini hanya dipelopori oleh Grab untuk pengguna tempatan?

AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

Memulakan penggunaan

Untuk tujuan ini, empat perjalanan telah dilakukan untuk setiap platform, dengan wakil dari paultan.org, Anthony Lim dan Gerard menggunakan AAR dan Grab sebanyak dua kali sebagai pemerhatian. Masa setiap perjalanan/pengalaman bersama setiap aplikasi itu diambil, bermula dari awal membuat tempahan. Untuk menyelesaikan ujian ini, masa juga diambil ketika pemandu ditugaskan, bila kereta sampai dan ketika tiba ke destinasi.

Kami memilih untuk tidak menggunakan kod promo atau mata ganjaran untuk mengubah/mengurangkan kos, dan tidak membuat cadangan laluan, membiarkannya ditentukan oleh pemandu sendiri. Bagi pemilihan kategori kenderaan, kami ingin mencuba semua segmen kenderaan yang ada untuk melihat perbezaan kos yang lebih meluas, tetapi akhirnya hanya memilih untuk menggunakan kenderaan kompak serta enam-tempat duduk.

Ini kerana, tidak semua kenderaan dalam kategori itu tersedia dalam AAR, setidaknya bukan pada hari pertama perkhidmatan. Apa yang ada hanyalah kenderaan kompak, enam-tempat duduk, teksi dan “anyride”, yang bermaksud memilih apa saja kenderaan yang ada, tetapi tidak dinyatakan pilihan sama ada untuk premium atau MPV premium yang tersedia.

Perjalanan pula dihadkan kepada jarak yang tidak terlalu jauh untuk meminimumkan masa pergerakan dan pendedahan, dan kami mematuhi semua SOP yang ada — kedua-dua orang ini juga sudah lengkap dua dos vaksin, dan lebih 14 hari daripada suntikan kedua — tetap mengenakan dua penutup muka sepanjang masa, tanpa sebarang sentuhan fizikal. Kami terus masuk ke dalam kereta, bertemu semula sebaik tiba di lokasi sebelum bergerak ke lokasi seterusnya.

AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

Perincian perjalanan

Perjalanan pertama: UOA Business Park, Glenmarie (pejabat Driven) ke Sunway Pyramid

    AirAsia Ride

  • 3:17 pm: Buat tempahan melalui Air Asia Super App menggunakan kategori AnyRide. Tambang RM7.
  • 3:22 pm: Masih tiada pemandu ditugaskan. Aplikasi memaklumkan tiada pemandu di sekitar kawasan itu
  • 3:23 pm: Tambah upah RM3 untuk menarik perhatian pemandu.
  • 3:24 pm: Seorang pemandu ditugaskan (Perodua Axia tanpa jenama AAR).
  • 3:29 pm: Pemandu tiba.
  • 3:40 pm: Sampai di Sunway Pyramid. Tambang RM10.
  • Grab

  • 3:17 pm: Buat tempahan melalui aplikasi Grab menggunakan kategori JustGrab. Tambang RM9.
  • 3:18 pm: Pemandu ditugaskan (Proton Saga tanpa jenama Grab).
  • 3:24 pm: Pemandu tiba.
  • 3:35 pm: Sampai di Sunway Pyramid. Tambang RM9.

Kelebihan Grab, lebih pantas lima minit dan juga jimat sedikit kos. Kos asas AAR sebetulnya kurang RM2, tetapi dengan pertambahan upah menjadikannya lebih RM1.

Perjalanan kedua: Sunway Pyramid ke Oasis Square Ara Damansara

    AirAsia Ride

  • 3:51 pm: Buat tempahan melalui AirAsia Super App, tetapi kini kategori enam-tempat duduk. Tambang RM19.
  • 3:57 pm: Tiga percubaan, masih tiada pemandu ditugaskan.
  • 3:58 pm: Tambah upah RM3 untuk tarik perhatian pemandu.
  • 3.59 pm: Masih tiada apa-apa. Naikkan upah hingga RM6.
  • 4:00 pm: Masih tiada apa-apa. Naikkan upah sekali lagi kepada RM10.
  • 4:05 pm: Masih tiada apa-apa. Naikkan upah kepada maksimum RM20.
  • 4:08 pm: Putus asa. Beralih ke Grab. Tambang RM22.
  • 4:09 pm: Pemandu ditugaskan. (Perodua Alza tanpa jenama Grab).
  • 4:25 pm: Tiba di Oasis Square Ara Damansara. Tambang RM22.
  • Grab

  • 3:51 pm: Buat tempahan melalui aplikasi Grab, kini dalam kategori enam-tempat duduk. Tambang RM22.
  • 3:52 pm: Pemandu ditugaskan (Perodua Alza tanpa jenama Grab).
  • 3:59 pm: Pemandu tiba.
  • 4:12 pm: Sampai di Oasis Square Ara Damansara. Tambang RM22.

Kelebihan Grab, mungkin disebabkan lokasi pusat beli-belah tersebut, perjalanan jadi 13 minit lebih cepat. Untuk hal ini, AAR masih ketinggalan. Ambil maklum juga, walaupun hanya seorang penumpang dibenarkan menaiki perkhidmatan e-hailing, tiada masalah untuk mendapatkan MPV.

Perjalanan ketiga: Oasis Square Ara Damansara ke The School di Jaya One (tukar aplikasi)

    AirAsia Ride

  • 5.00 pm: Buat tempahan menggunakan kategori AnyRide. Tambang RM15, tetapi naik jadi RM17 sejurus selepas itu, mungkin kerana harga waktu puncak.
  • 5:01 pm: Pemandu ditugaskan (Toyota Vios dengan jenama AAR).
  • 5:06 pm: Pemandu tiba.
  • 5:28 pm: Sampai di The School di Jaya One. Tambang RM17.
  • Grab

  • 5:00 pm: Buat tempahan melalui aplikasi Grab dengan kategori JustGrab. Tambang RM16.
  • 5:01 pm: Pemandu ditugaskan (Toyota Avanza tanpa jenama Grab).
  • 5:05 pm: Pemandu tiba.
  • 5:29 pm: Sampai di The School, Jaya One. Tambang RM16.

Ini agak mengejutkan bagi AAR — selepas kecewa di Sunway Pyramid, kami jangkakan situasinya akan lebih rumit di Oasis Square, tapi sebaliknya. Kami mendapatkan pengesahan tempahan AAR 15 saat lebih awal berbanding Grab, dan kedua-duanya tiba pada masa yang hampir sama. AAR bahkan tiba lebih awal seminit.

Perjalanan keempat: The School, Jaya One ke UOA Business Park (pejabat Driven)

    AirAsia Ride

  • 7:10 pm: Buat tempahan dengan AirAsia Super App untuk kategori AnyRide. Tambang RM15.
  • 7:14 pm: Ditugaskan pemandu yang dipilih dari senarai cadangan (Perodua Bezza dengan pelekat AAR).
  • 7:23 pm: Pemandu tiba.
  • 7:45 pm: Sampai di UOA Business Park. Tambang RM15.
  • Grab

  • 7.10 pm: Buat tempahan Grab menggunakan kategori JustGrab. Tambang RM19.
  • 7:11 pm: Ditugaskan pemandu (Perodua Bezza disewa dari program sewa kenderaan).
  • 7:12 pm: Pemandu tiba.
  • 7:34 pm: Sampai di UOA Business Park. Tambang RM19.

Kelebihan Gran adalah lebih cepat, manakala AAR pula dari sudut harga. Sejurus selepas menerima tempahan, pemandu AAR membuat panggilan memaklumkan dia memerlukan tujuh hingga lapan minit untuk datang; satu tindakan yang menyenangkan.

AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

Antaramuka aplikasi pengguna

Kedua-dua aplikasi mudah dan lancar dicapai bila diperlukan, dan lokasi yang tertera pada kedua-duanya juga tepat, dan tempahan dibuat tanpa sebarang masalah. Berkaitan antaramuka, Grab lebih mudah digunakan, dan itu bukanlah kerana kami telah terbiasa dengannya. Tataletaknya terasa lebih organik.

Sebagai contoh, pemilihan jenis kenderaan pada AAR memerlukan anda untuk skrol kiri ke kanan berbanding atas dan bawah, yang dirasakan kurang natural. Namun, ada sebab untuk semua itu; sebahagian besar laman muka berkenaan adalah untuk memaparkan pilihan pemandu yang dicadangkan (Gold-, Platinum-tier, lengkap dengan profil peribadi) untuk pengguna pilih (berbanding platform berkenaan yang tentukan).

Ketika uji-guna yang kami lalukan, ini cuma muncul dua kali, menjadikannya banyak ruang kosong. Apapun, senarai cadangan itu kami jangkakan bakal bertambah baik dari semasa ke semasa. Bagi paparan maklumat untuk tempahan pula (ID pemandu, model/warna/plat kereta dll), agak jelas terpampang bagi kedua-dua platform. Resit bagi Grab bagaimanapun mengandungi maklumat tambahan seperti laluan yang diambil.

Bagi kedua-dua perkhidmatan, bayaran boleh dibuat secara tunai, kad kredit atau kad debit, dan dalam kes Grab, melalui GrabPay e-dompet. Jika anda bayar guna kad, sistem akan mengingat itu sebagai kaedah bayaran pilihan. Anehnya, bayaran AAR akan kembali kepada kaedah tunai walaupun perjalanan terakhir dibayar menggunakan kad, tetapi kami telah menetapkan itu kepada kaedah kad. Perlu ambil perhatian tentang ini.

AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

Keadaan kereta, luar dan dalam

Semua kereta yang kami naiki berada dalam keadaan baik, dan tiada masalah, walaupun bagi kereta yang berusia lima-tahun yang sempat kami naik, dengan bacaan odometer 460,000 km. Maksudnya, semua pemandu memberi perhatian kepada hal ini.

Sama juga dengan bahagian dalaman, semua berada dalam keadaan bersih dan baik. Ini mungkin didorong oleh pandemik, yang memerlukan pemandu sentiasa melakukan sanitasi dan membersihkan kenderaan mereka. Botol pembersih sanitasi juga ada kelihatan di ruang tempat duduk belakang. Tidak lupa, begitu juga dengan cecair sanitasi tangan untuk kegunaan penumpang, serta kod MySejahtera untuk kemudahan semua.

Perbualan dengan pemandu

Semua pemandu yang kami temui sudah melakukan kerja ini untuk tempoh beberapa waktu, dengan pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun. Tidak semua pemandu Grab yang ditemui tahu kewujudan AAR, dan tetap gembira untuk beroperasi dalam platfrom mereka untuk capaian yang lebih meluas. Seorang pemandu pula memaklumkan dia akan memanfaatkan mana-mana platform yang akan menyediakan hal itu, tidak hanya dengan Grab.

Pemandu Grab yang lebih lama pula berkata manfaat yang ada sebelum ini lebih baik berbanding sekarang. Bonus masih ada, tetapi pemandu perlu mencapai kriteria tertentu seperti beroperasi dalam tempoh spesifik, misalnya dalam waktu puncak (7-9 am, 5-8 pm). Yang melegakan sedikit, program sewa kenderaan Grab kini lebih rendah pada RM35 sehari berbanding RM50 sehari sebelum PKP dulu.

Kebanyakan pemandu AAR adalah dari platform Dacsee, yang telah dibeli oleh AirAsia. Kelebihan utama mungkin kadar potongan yang diambil oleh AAR dari pemandu adalah RM15%. Ini lebih rendah daripada Grab yang mengambil RM20%; membolehkan pemandu AAR membawa pulang 85% daripada tambang.

Pemandu AAR juga ada yang menyatakan sitausinya hampir sama saja ketika beroperasi di bawah Dacsee, walaupun mereka kini menerima lebih banyak tugasan KLIA2. Semua kelebihan ini bagaimanapun hanya akan dapat dinikmati dengan jelas apabila kadar pengguna bertambah di masa hadapan.

Menariknya, walaupun syarikat itu memaklumkan mereka tidak akan mendenda pemandu yang menolak tugasan perjalanan, pemandu AAR yang kami temui tetap percaya bahawa menolak tugasan bukanlah sesuatu yang baik untuk mereka. AAR akan menggunakan model galakkan yang memberikan memandu lebih banyak ganjaran dan manfaat untuk mengambil lebih banyak tugasan, sebagai pemangkin untuk pemandu.

Keselamatan diutamakan

Kadar penumpang menurun dengan drastik sepanjang tempoh pandemik ini, terutama disebabkan oleh PKP, yang menyaksikan orang ramai tidak dibenarkan untuk ke mana-mana. Seorang daripada pemandu AA memaklumkan sebelum tahun 2020, jumlah penumpangnya sehari boleh mencecah 20 orang. Kini, untuk dapat tiga penumpang sahaja sudah cukup bernasib baik.

Pemandu berkata mereka mengambil langkah ketat untuk melindungi diri mereka dan penumpang. Semua hal seperti dinyatakan sebelumnya menjadi amalan, misalnya kerap melakukan sanitasi terhadap kenderaan, serta menyediakan cecair sanitasi tangan untuk penumpang. Sebelum mengambil tugasan juga, pemandu diminta untuk menjawab dan mengesahkan beberapa soalan tentang kesihatan mereka.

AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

Membandingkan kedua-dua perkhidmatan

Ujian yang kami lakukan ini mungkin singkat dan ringkas, tetapi dalam beberapa hal Grab masih menyediakan yang terbaik, setakat ini. Rangkaiannya lebih meluas, untuk mendapatkan pemandu lebih mudah dan untuk ke destinasi dalam bandar, ia lebih pantas.

Bagi AAR pula, ketersediaan pemandu masih rendah, bergantung kepada kawasan dan lokasi — mungkin juga sebab ini sebuah perkhidmatan baru. Ketika ini, AAR memiliki 1,500 rakan pemandu berdaftar, tetapi syarikat itu menjangkakan akan ada 5,000 pemandu dalam tempoh enam bulan ke hadapan dengan matlamat untuk diperluaskan di seluruh negara.

Dari segi harga, perjalanan dengan AAR pada dasarnya sedikit lebih murah berbanding percubaan kami — melainkan anda perlu menambah upah untuk menarik perhatian pemandu. Mungkin, bila jumlah pemandunya lebih ramai nanti, aspek ini akan jadi lebih menyenangkan dan menjimatkan untuk penumpang.

Terakhir, perlu juga disebutkan yang perjalanan Grab akan datang dengan mata ganjaran. Ketika ini, belum ada manfaat yang sama untuk AAR — mungkin platform itu akan menggunakan BIG sebagai ganjaran perjalanan di masa hadapan.

AirAsia Ride vs Grab di Malaysia — tanggapan awal untuk lihat platform mana lebih pantas dan jimat

Sangat menjanjikan

Tanggapan pertama menggunakan AAR ini menunjukkan ia bermula dengan cara yang agak baik sebenarnya. Kecuali berkaitan sukar untuk mendapatkan pemandu, ia menyediakan perkhidmatan yang boleh menjadi alternatif kepada Grab ketika ini.

Namun ini juga sukar dijangka, kerana ia tertakluk sepenuhnya kepada kawasan dan lokasi. Apa pun, ini dijangka akan bertambah baik dari semasa ke semasa, sesuai dengan usia perkhidmatan yang masih baru ini. AAR ketika ini hanya meliputi Kuala Lumpur dan Selangor, dan akan diperluas ke Pulau Pinang, Kelantan, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak menjelang hujung tahun.

Secara umumnya, ia perkembangan yang bagus untuk Grab tidak lagi bergerak secara monopoli dalam industri ini. Persaingan dalam perniagaan biasanya akan memberikan lebih banyak kelebihan kepada pengguna. Jadi, apa pandangan anda tentang AAR? Adakah anda juga akan mencubanya dalam masa terdekat? Silakan berbuat demikian, dan kongsi pandangan anda dengan kami.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • Johari Mohd Zuki on Aug 29, 2021 at 11:16 am

    Ketampilan AAR tepat pada waktunya terhadap ramai rakan pemandu Grab yang tertindas dek kesilapan kecik sewaktu penebusan vaucher shop now pay later yang langsung tidak digunakan oleh rakan pemandu tetapi pemotongan tetap diteruskan walaupun telah dipatuhi segala arahan. Itulah salah satunya tekanan yang telah dibuat oleh Grab terhadap rakan pemandunya sendiri ketika ini. Kami akan memastikan ramai akan meninggalkan Grab kerana isu seumpama itu.

    Like or Dislike: Thumb up 3 Thumb down 0
  • MAHFUDZ on Aug 29, 2021 at 10:05 pm

    If food delvry – Kpntasan d sbbkn oleh kedua belah pihak restaurant(Vendor) & Staff yg ramai (rider) if salah seorg lmbt maka akn jdi lmbt + dua2 lmbt jdi super duper lmbt 4 cmplete the dlvry circle

    Driver – Kpntsan 100% depends on driver & ramai rider

    Tpi effect -ve pd rider/driver if trlalu ramai mereka krg gembira sbb margin mngecil dpt sseorg sdikikk tpi ❌pd cmpny lgi ramai rider/driver lgi bagus❗

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required