Turut dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah berkenaan biodiesel serta rancangan untuk meningkatkan penggunaannya pada masa hadapan.

Sebelum pergi lebih lanjut, kita tengok dulu situasi semasa. Sekarang ini, di semua stesen minyak, anda boleh mendapatkan biodiesel B10 Euro 5, yang telah menggantikan diesel Euro 2M di seluruh negara sejak 1 April. Minyak ini melibatkan campuran 10% metil ester sawit dan 90% diesel biasa, dan merupakan diesel permulaan yang dijual pada harga seperti Euro 2M sebelumnya dan ditanda dengan muncung pengisi warna hitam.

Satu lagi pilihan diesel yang disediakan adalah biodiesel B7 Euro 5, yang dijual pada harga lebih 10 sen dan menggunakan muncung pengisi berwarna biru. Minyak ini menggunakan campuran 7% metil ester sawit dan 93% diesel biasa, dan ditawarkan sebagai pilihan tambahan di kebanyakan stesen, sementara di Cameron Highlands, Genting Highlands dan Kundasang, ia disediakan sebagai pilihan utama.

Kemudiannya pada tahun 2020, kerajaan telah melancarkan biodiesel B20 untuk sektor pengangkutan, dan ia dilaksanakan terlebih dahulu di Langkawi dan Labuan. Penawaran bahan api dengan campuran metil ester sawit 20% dan diesel biasa 80% ini sepatutnya dikembangkan lagi ke seluruh negara bermula Jun 2021, tetapi ia telah dilanjutkan ke awal 2022 sementara menteri perusahaan perladangan dan komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali pula berkata, ia mungkin hanya akan berlaku pada hujung tahun 2022.

Di bawah RMK-12, kerajaan telah mengesahkan komitmen untuk mengembangkan lagi program biodiesel B20 di seluruh negara secara berperingkat. Pada penghujung tempoh rancangan ini, iaitu pada tahun 2025, biodiesel B30 (30% metil ester sawit dan 70% diesel biasa) bakal diperkenalkan.

Tiada garis masa terperinci serta cara pelaksanaan yang disediakan dalam rancangan ini, tetapi ia ada memberitahu bahawa bagi sektor pengangkutan, campuran biodiesel yang akan digunakan “akan terus dipertingkat daripada B15 kepada B20 dan seterusnya kepada B30. Ini adalah pertama kali B15 disebut, kerana sebelum ini cuma diberitahu tentang B10 dan B20.

Seterusnya, rancangan itu turut menyatakan bahawa kerajan akan menjalankan penilaian yang perlu untuk “mengenal pasti jurang keupayaan dan kos yang diperlukan untuk menaik taraf depoh adunan bagi mematuhi piawaian B30.” Kerajaan juga akan membuat lebih banyak kerjasama dengan pihak berkepentingan untuk menangani isu keyakinan pengilang terhadap B30.

Jika dibandingkan dengan sektor pengangkutan, sektor industri adalah berbeza kerana di situlah terdapat lebih banyak pengguna biasa. Menurut RMK-12, program biodiesel akan dikembangkan dari B7 ke B10 untuk sektor industri demi mempromosi penggunaan bahan api yang lebih bersih. Sekali lagi, tiada perincian masa yang disediakan, tetapi nampaknya biodiesel B7 Euro 5 akan dikeluarkan terus dan diganti dengan B10 Euro 5 sebagai satu-satunya pilihan untuk pelanggan.