Proton Motorsport siar gambar proses homolagasi Iriz R5 di kilang Tanjung Malim oleh para pegawai FIA

Proton Motorsport siar gambar proses homolagasi Iriz R5 di kilang Tanjung Malim oleh para pegawai FIA

Kami bertuah kerana kunjungan Chris Mellors, pengasas Mellors Elliot Motorsport atau MEM (firma kejuruteraan British yang menghasilkan jentera rali Proton Iriz R5 dan Satria Neo S2000) ke Malaysia dua tahun lalu, beliau sudi di temu ramah bagi menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan kereta lumba tersebut.

Selain dari penjelasan mengapa mereka masih memilih Proton bagi menghasilkan jentera R5 walaupun jenama tersebut sudah tidak dijual di UK, Chris turut memperincikan proses homologasi yang sangat ketat dijalan oleh pihak FIA, termasuk bagaimana badan sukan permotoran dunia tersebut perlu datang ke kilang Iriz yang terletak di Tanjung Malim, Perak bagi mengesahkan segala dokumentasi yang diperlukan.

Namun apa yang diceritakan oleh Chris Mellors berkenaan hanya boleh kami bayangkan dalam kepala, kerana tiada langsung foto dikongsikan bersama kami. Walau bagaimanapun, hari ini laman Facebook rasmi Proton Motorsport buat pertama kalinya sudi menyiarkan gambar proses homolagasi di kilang Proton yang dijalankan oleh pegawai-pegawai FIA tersebut.

Proton Motorsport siar gambar proses homolagasi Iriz R5 di kilang Tanjung Malim oleh para pegawai FIA

Dalam set foto berkenaan boleh kita lihat bagaimana pihak FIA memeriksa kesahihan produksi Proton Iriz di kilang Tanjung Malim tersebut. Mereka juga memeriksa ukuran bahagian-bahagian kritikal pada Iriz produksi bagi memastikan ketepatan data yang diberikan.

Kemudian pegawai-pegawai FIA itu juga memeriksa sama ada data CAD dan Iriz produksi berkenaan adalah sama. Wakil-wakil FIA turut dilihat berjumpa dengan staf-staf Proton dari pelbagai jabatan termasuk Kejuruteraan, Prototaip, Pembuatan dan Sukan Permotoran.

Gambar-gambar yang disiarkan ini nampaknya sangat selari dengan apa yang diceritakan oleh Chris Mellors sebelum ini, yang menyatakan bahawa proses tersebut sangat sukar kerana FIA sangat tegas sebelum meluluskan sebarang permohonan homologasi kereta lumba.

Dokumentasi dari FIA menunjukkan Proton Iriz R5 menggunakan enjin 4B11 dari Proton Inspira, bukan Mitsubishi Lancer Evolution X

Menurut Chris, pada peringkat awal Proton bukan sahaja membekalkan kereta kepada mereka, malah segala data-data rekaan dari sistem CAD diberikan sepenuhnya bagi memudahkan mereka memahami sepenuh rekaan asas Iriz tersebut. Jangan tak tahu, Proton R3 di Shah Alam juga menghantar enjin 2.0 liter 4B11 yang diambil dari Proton Inspira untuk disumbatkan ke dalam perut Iriz R5 berkenaan, dan ia bukanlah diambil dari Mitsubishi Lancer Evolution X.

Kemudian, segala kerja-kerja pembangunan kereta ini adalah dipantau oleh FIA. Chris menrangkan bahawa proses homologasi buat masa sekarang adalah jauh lebih sukar berbanding sebelum ini. Segala dokumentasi untuk setiap komponen yang dihasilkan perlu lengkap dengan segala maklumat seperti model dan lukisan CAD serta maklumat seperti dimensi dan berat perlu ditunjukkan kepada badan penyelaras berkenaan.

Gambar setiap komponen juga perlu dirakamkan dengan betul sehinggakan mereka terpaksa menyediakan satu studio khas yang lengkap dengan peralatan fotografi untuk mengambil gambar setiap komponen tersebut kerana FIA begitu terperinci untuk setiap aspek.

Kunjungan pegawai FIA ke kilang Proton di Tanjung Malim bagi menjalankan pelbagai proses bagi melengkapkan homologasi Iriz R5 pada 2019

Tambahan pula, tidak seperti pasukan-pasukan ‘works‘ rasmi seperti Volkswagen dan Skoda yang bukan sahaja mempunyai kakitangan yang ramai, malah dekat dengan ibu pejabat jenama masing-masing, MEM adalah sebuah pasukan yang jauh lebih kecil, serta terpaksa berhubung secara jarak jauh dengan kilang yang membuat Iriz di Malaysia

Faktor-faktor ini yang melambatkan proses homologasi kerana mereka sentiasa perlu berhubung. Ini kerana untuk langkah pertama sebelum kereta ini dibina, proses homologasi perlu dijalankan kepada kerangka asas kereta itu sendiri. Untuk ini MEM dan FIA perlu turun sendiri ke kilang Proton Tanjung Malim untuk memastikan Iriz memang sebuah model produksi yang dijual di bilik pameran dan ia dihasilkan sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun di kilang berkenaan.

Kemudian barulah kerja-kerja untuk mentransformasi sebuah Iriz biasa ke Iriz R5 dijalankan, dan dari masa ke masa FIA akan melawat proses pembangunan setiap komponen dan memberitahu apa yang boleh, apa yang perlu diperbetulkan dan apa yang perlu dibuat semula. Dalam masa yang sama mereka memastikan setiap perkara asas yang tidak boleh disentuh contohnya geometri suspensi hadapan sentiasa dipatuhi oleh MEM.

Proton Motorsport siar gambar proses homolagasi Iriz R5 di kilang Tanjung Malim oleh para pegawai FIA

FIA juga akan memastikan bahawa MEM menggunakan peralatan yang diluluskan oleh mereka, terutamanya komponen suspensi dan gandar sistem 4WD sebelah belakang di mana komponen-komponen tersebut adalah dari jenis yang sama digunakan oleh setiap jentera R5 yang menerima kelulusan FIA.

Menerusi pembangunan ini, MEM turut akan menyalurkan segala maklumat dan pengetahuan yang mereka perolehi kepada Proton, dan input tersebut akan digunakan oleh Proton untuk pembangunan model-model akan datang yang lebih baik, sama seperti apa yang dilakukan oleh pasukan Proton R3.

Setelah kereta ini siap dan setiap komponen yang telah dipadankan pada kereta tersebut diluluskan oleh FIA, badan penyelia sukan permotoran dunia berkenaan turun semula ke kilang Proton Tanjung Malim. Mereka sekali lagi melihat proses produksi Iriz di kilang tersebut, dan memeriksa kesemua nombor casis yang direkodkan adalah benar, dan sekali lagi memeriksa adakah Iriz dibuat dengan jumlah sekurang-kurangnya 2,500 unit setahun.

Proton Motorsport siar gambar proses homolagasi Iriz R5 di kilang Tanjung Malim oleh para pegawai FIA

Dan selepas itu, wakil-wakil dari FIA tersebut pergi semula ke ibu pejabat MEM di UK untuk sekali lagi memeriksa setiap komponen pada kereta tersebut. Akhirnya selepas tiga tahun, Proton Iriz R5 menerima kelulusan homologasi penuh pada bulan Mac 2019.

Homologasi Proton Iriz R5 ini akan terus kekal boleh digunakan sehingga tahun 2025 nanti. Dan menerusi regulasi yang telah dirombak oleh FIA dan bakal digunakan pada tahun hadapan, spesifikasi bagi jentera-jentera R5 masih lagi sama dengan spesifikasi Rally2, dan Iriz R5 masih layak untuk bertanding dalam WRC dalam kategori WRC2.

Jadi, siapa kata Iriz R5 tu kulit je Proton, tapi asas dia dah tak sama? Bukan senang ye nak lepas proses homologasi dari FIA ni, bukan jenis boleh ‘hulur-hulur’!


GALERI: Proton Iriz R5 yang diuji oleh Marcus Gronholm

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required