April lalu kerajaan Malaysia telahpun menukar kenderaan rasmi untuk menteri-menteri dalam kerajaan Malaysia dari Proton Perdana kepada Toyota Vellfire 2.5L. Perkara berkenaan baru sahaja dibawa ke persidangan parlimen semalam.
Menjawab persoalan ahli parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dalam satu kenyataan bertulis bertarikh 2 November, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menyatakan bahawa kerajaan membayar kos pajakan Toyota Vellfire 2.5L berkenaan sebanyak RM5,759.35 sebulan.
“Kos pajakan bulanan ini terdiri dari kos sewaan bulanan sebanyak RM4,851.61 dan kos selenggaraan bulanan RM907.74.
“Sehingga September 2021, kerajaan telah membayar kos pajakan sebanyak RM1.42 juta kepada syarikat konsesi,” katanya.
Untuk rekod, sebelum ini menteri-menteri kabinet menerima Proton Perdana dalam versi yang dipanjangkan untuk kegunaan rasmi, sebelum digantikan dengan Toyota Vellfire. Manakala Proton Perdana biasa untuk kegunaan pegawai kerajaan pula kini telah digantikan dengan Proton X70, juga dibekalkan oleh Spanco.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.