Nilai jualan semula bagi kenderaan Hyundai di Malaysia kini nampaknya hampir setara dengan pesaingnya oleh pengeluar Jepun. Menurut Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM), Low Yuan Lung, andaian bahawa kereta Hyundai mempunyai nilai jualan semula yang jauh lebih rendah adalah tidak berasas sama sekali.
“Perbezaan harga ketika menjual model kenderaan Hyundai yang berusia lima tahun berbanding model setara dari pengeluar Jepun adalah tidak begitu ketara. Hal yang sama berlaku bagi nilai penyusutan bagi kedua-dua keluaran itu selepas lima tahun, melibatkan kira-kira 10% setahun,” ujar beliau, dan menambah yang permintaan bagi kenderaan terpakai Hyundai semakin bertambah sejak lima tahun lalu.
“Setelah sekian lama, Hyundai telah berhasil membuktikan kereta keluarannya boleh diharap dan ditawarkan dalam kualiti yang tinggi. Model Hyundai kini tidak hanya tampil dengan rekaan menawan, tetapi turut dilengkapi dengan inovasi terkini yang setanding dengan penawaran jenama premium Eropah, yang menyumbang kepada permintaan terhadapnya,” tambah beliau.
Beliau juga menyatakan, semua model terpakai Hyundai yang tersenarai dalam program kereta terpakai Hyundai Promis akan terjual dalam masa singkat, kemungkinan disebabkan semuanya diperiksa secara menyeluruh dan diservis menggunakan alat ganti tulen sebelum diluluskan untuk jualan.
Pusat Hyundai Promise boleh dikunjungi di Lot 33, Temasya Industrial Park, Glenmarie. Premis dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang setiap hari bekerja, dan 9 pagi hingga 12.30 tengahari pada Sabtu. Hyundai Promise dimiliki dan dikenalikan oleh HSDM, dan disokong oleh Sime Darby Auto Selection.