Proton Satria Neo R3 Lotus Racing – 6 buah dihimpun semula selepas lebih 10-tahun di Genting Highland

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing – 6 buah dihimpun semula selepas lebih 10-tahun di Genting Highland

Seperti yang ramai tahu, Proton Satria Neo R3 Lotus Racing yang dilancarkan pada 2010 hanya dihasilkan sebanyak 25-unit sahaja di dunia. Namun hanya 22 unit yang dijual kepada umum, manakala tiga-unit lagi yang dihasilkan sebagai unit pembangunan dan tidak dijual.

Hujung minggu lalu, seramai enam orang pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing ini berkumpul untuk satu sesi “Sunday Drive” dari Kuala Lumpur ke Genting Highland. Menurut pengasas bersama Dream Street Restoration (DSR) yang bukan sahaja salah seorang pemilik model istimewa ini, malah merupakan ketua projek Satria Neo R3 Lotus Racing berkenaan ketika masih bertugas dengan Proton R3 iaitu Suriya Sankaran, ini kali pertama model berkenaan dihimpunkan dalam jumlah yang banyak selepas kesemua unit meninggalkan fasiliti Proton R3 di Shah Alam sekitar 10-tahun lalu.

Menurut Suriya, walaupun sesi kali ini disertai hanya oleh enam buah kereta, buat masa sekarang seramai 17 orang pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing ini telah pun dikesan dan berhubung sesama mereka, dan kesemua unit kereta berkenaan masih disahkan wujud.

Tiga dari 22-unit sudah tidak lagi berada di atas jalan raya – sebuah telah dijelmakan sebagai kereta lumba sepenuhnya, sebuah lagi telah di’convert’ sebagai kereta konsep Proton Artiga, dan sebuah lagi sudah pun ‘total lost’ kerana terlibat dalam kemalangan.

Suriya menyatakan bahawa dia kini sedang mencari dua lagi pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing tersebut yang masih belum dapat dikesan semula.

Dengan terkumpulnya komuniti pemilik Satria Neo R3 Lotus Racing ini, Suriya menyatakan dia dapat menyelesaikan banyak perkara tentang kegusaran pemilik-pemilik kereta berkenaan. Antaranya masalah pemilik-pemilik tersebut bagi mendapatkan alat ganti terutamanya komponen badan sekiranya ia rosak. Ini kerana kereta ini hanya dihasilkan sebanyak 25-unit seumpanya di dunia, dan Proton tidak lagi membekalkan komponen-komponen gantian tersebut.

Suriya berjaya menenangkan kesemua pemilik berkenaan kerana DSR masih mendapat khidmat tenaga kerja iaitu bekas staf R3 yang memasang dan mengecat semasa proses produksi Neo R3 Lotus Racing tersebut, dan masih berhubung dengan pembekal yang menghasilkan komponen-komponen gentian karbon pada badan kereta tersebut.

Malah dia kini berjaya mendapatkan insuran khas untuk Satria Neo R3 Lotus Racing ini dengan menawarkan perlindungan sehingga RM75,000 untuk kereta yang telah berusia lebih dari 10-tahun tersebut.

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing – 6 buah dihimpun semula selepas lebih 10-tahun di Genting Highland

Menerusi acara ini, Suriya menyatakan bahawa dia terharu melihat sejumlah Satria Neo R3 Lotus Racing ini berkumpul semula di hadapannya dalam jumlah yang agak banyak. “Macam jumpa balik anak-anak saya yang dah terpisah lama”, katanya dan menambah akan ada lagi perhimpunan lebih besar antara pemilik akan dibuat selepas ini.

Ketika dilancarkan pada 2010, Satria Neo R3 Lotus Racing ini dijual pada harga RM115,000. Ia masih dijana oleh enjin 1.6 liter CPS, namun dengan aci sesondol durasi lebih tinggi bersama pulley boleh laras, sistem ekzos logam tahan karat dan kemasukan rekaan semula, kotak komputer enjin talaan khas – kesemuanya dari R3, enjin tersebut mampu menghasilkan 145 hp dan tork maksima 168 Nm (125 hp/150 Nm untuk CPS standard).

Bukan sahaja lebih berkuasa, sistem injap bervariasi CPS ala-VTEC pada enjin ini juga dibuka lebih cepat iaitu pada 4,000 rpm (4,400 rpm bagi CPS biasa) dan ia tidak mempunyai masalah untuk menjerit sehingga 7,000 rpm.

Kotak gear manual lima kelajuan pada Neo R3 Lotus Racing ini juga disentuh semula oleh R3 dengan diberikan nisbah gear lebih rapat, bersama nisbah akhir 4.625 yang lebih besar dari standard. Ini membolehkan model istimewa tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.2 saat sebelum mencapat kelajuan maksima 205 km/j.

Proton Satria Neo R3 Lotus Racing – 6 buah dihimpun semula selepas lebih 10-tahun di Genting Highland

Antara kelengkapan mekanikal lain yang dipadankan pada Neo R3 Lotus Racing ini termasuk sistem suspensi perlumbaan boleh laras sepenuhnya dari Ohlins, sistem brek hadapan dengan cakera larik dan angkup empat omboh dari AP Racing, rim aloi ringan 16×7 inci dari Advanti dengan tayar Bridgestone Adrenalin RE001 bersaiz 205/45 R16, dan pelbagai lagi.

Untuk rupa luaran, model ini diberikan kit badan R3 yang dihasilkan untuk perlumbaan Asian Touring Car Series (ATCS), fender sisi hadapan khas dari material FRP dengan liang dan logo Lotus Racing, penutup bonet enjin dan door sach gentian karbon, serta layangan warna hijau Lotus Racing Green bersama jalur perlumbaan kuning dari bonet hingga pintu hatch belakang.

Manakala dalam kabin, Satria Neo R3 Lotus Racing ini diberikan tempat duduk bucket R3 balutan kulit Nappa dan sulaman logo Lotus Racing pada perehat kepala, roda stereng balutan kulit dengan tanda pukul 12 berwarna kuning serta perincian-perincian asli R3 seperti tombol gear, set pedal aloi dan juga butang penghidup enjin.

Selain itu ia juga diberikan kemasan-kemasan hijau pada papan pemuka, serta panel pintu yang diberikan upholsteri kulit istimewa bersama panel-panel hijau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required