VIDEO: Proton X50 1.5T Executive F Tuned X RaceChip catat masa lap terpantas 2 minit 51.1 saat di Sepang!

VIDEO: Proton X50 1.5T Executive F Tuned X RaceChip catat masa lap terpantas 2 minit 51.1 saat di Sepang!

Bulan lalu kita dah tengok kemampuan SUV segmen-B Proton X50 dalam varian paling berkuasa iaitu Flagship yang berjaya mencatatkan masa satu lap terpantas di Litar Antarabangsa Sepang dengan masa 2 minit 47.94 saat. Itu untuk model yang menggunakan enjin 1.5L T-GDI, jadi agaknya bagaimana pula prestasi model yang dijana oleh enjin 1.5L Turbo MPI?

Ini ada satu contoh – X50 yang anda lihat ini adalah jentera ‘demo’ yang dibangunkan bersama jenama suspensi tempatan, F Tuned Racing Suspension dan modul kotak komputer talaan semula prestasi, RaceChip (menerusi pengedar tempatan, RaceChip Malaysia), berasaskan varian 1.5T Executive.

Menerusi satu video yang disiarkan oleh F Tuned mendakwa bahawa X50 tersebut kini mampu mencatatkan masa lap terpantas 2 minit 51.1 saat di Sepang! SUV tersebut dipandu oleh pelumba profesional dan juga pemandu uji F Tuned Racing sendiri iaitu Syahrizal Jamaludin.

Menurut RaceChip Malaysia, catatan masa yang dibuat ini sekaligus melengkapkan pembangunan produk bagi Proton X50 yang dihasilkan oleh kedua-dua jenama prestasi aftermarket berkenaan.

Berbanding enjin 1.5 T-GDI yang diberikan sistem suntikan bahan api terus dengan kuasa standard dari kilang 177 PS dan tork maksima 255 Nm pada model Flagship, enjin 1.5 Turbo MPI pada model Exec ini hanya menerima sistem suntikan bahan api pelbagai titik biasa dengan kuasa asal 150 PS dan tork maksima 226 Nm.

Menerusi satu graf dyno yang ditunjukkan pada kami, kuasa yang dihasilkan pada roda hadapan (whp) Proton X50 1.5 Exec tersebut adalah 140 hp dan tork maksima 221 Nm. Manakala dengan penggunaan RaceChip GTS tanpa sebarang pengubahsuaian lain, angka berkenaan melonjak kepada 161 hp dan tork maksima 243 Nm yang diambil pada tayar hadapan, atau 190 hp pada aci engkol!

Untuk rekod, X50 1.5 T-GDI Flagship ‘Militank’ yang mencatatkan masa lebih pantas tempoh hari juga menerima talaan semula dari RaceChip GTS, dan kini mampu menghasilkan 200 hp dan tork maksima 310 Nm, juga bacaan pada roda hadapan.

Bagi mereka yang masih blur, catatan masa 2 minit 50 saat bagi sebuah SUV ini sebenarnya adalah sangat-sangat laju kerana julat masa berkenaan biasanya dicatatkan oleh jentera-jentera hot-hatch sebenar di Sepang. X50 ini bukan sahaja SUV, malah juga bukan sebuah model yang dilabelkan sebagai ‘prestasi tinggi’.

VIDEO: Proton X50 1.5T Executive F Tuned X RaceChip catat masa lap terpantas 2 minit 51.1 saat di Sepang!

Selain enjin yang kini menghasilkan kuasa sekitar 15% lebih berkuasa dari asal, satu lagi faktor penyumbang bagi mendapatkan catatan lap berkenaan sudah tentulah berkenaan suspensi. Ia dipadankan dengan set suspensi F Tuned GT Series, dan seperti yang anda boleh lihat menerusi video onboard, olengan badan X50 berkenaan kelihatan begitu minimal seakan kereta walaupun ‘dihenyak’ ketika mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Perincian lain yang boleh dilihat pada X50 ini termasuk set rim Asga 18-inci yang dibalut dengan tayar Hankook Ventus RS4 bersaiz 245/40ZR18, bersama set brek hadapan lebih besar dengan angkup 4 omboh F50 dan cakera berdiameter 355 mm yang ditebuk dari Brembo.

“Misi hari ini adalah segalanya berkenaan menguji ketahanan kedua-dua produk kami dan bukan tertumpu berkenaan memecahkan rekod lap. Lagipun, X50 MPI kami masih menggunakan enjin dan komponen standard selain modul talaan RaceChip dan suspensi GT Series F Tuned Racing, jadi masa lap yang wajar sudah memadai, tetapi yang paling penting adalah untuk lebih belajar bagaimana prestasi dan ketahanan produk-produk kami,” kata Syahrizal.

“Reaksi awalan saya apabila saya pertama kali memandu X50 di litar adalah ketinggian kedudukan saya dari permukaan jalan berbanding kereta-kereta lain yang pernah saya pandu di sini. Namun semua jangkaan bahawa ia akan kurang stabil atau mungkin perlu membuat beberapa larasan untuk disesuaikan dengan gaya pemanduan saya lenyap sebaik sahaja saya memandu dengan laju sebuah SUV yang terasa melekat ke permukaan jalan, memberikan lebih keyakinan.

VIDEO: Proton X50 1.5T Executive F Tuned X RaceChip catat masa lap terpantas 2 minit 51.1 saat di Sepang!

“Ketika mengambil selekoh terutamanya yang berkelajuan tinggi, dengan suspensi F Tuned GT Series, X50 memberikan respon yang baik dan sangat lincah dengan membolehkan saya membuat pembetulan kecil pada sudut stereng atau input pendikit tanpa sebarang drama, walaupun dengan ketinggian dan berat yang lebih bagi sebuah SUV,” katanya lagi.

Syahrizal turut menyatakan bahawa dengan gandingan bersama modul talaan Racechip, X50 menjadi lebih mudah untuk dikendalikan terutamanya ketika keluar dari selekoh 4, 8, 9 dan 14 di Sepang yang memerlukan jumlah tork dan kelajuan yang mencukupi, membuatkan dia sangat kagum dengan X50 berkenaan.

“Kami mungkin boleh lebih laju jika bukan kerana trafik pada point-point kritikal pada litar berkenaan dan dengan sistem kawalan kestabilan yang diaktifkan secara automotik walaupun telah dimatikan sebelumnya. Namun secara keseluruhan X50 menunjukkan prestasi yang baik hari ini tanpa sebarang kerosakan selepas dipandu dalam jumlah lap yang banyak, di mana kedua-duanya merupakan matlamat utama kami dan telah kami capai hari ini,” simpul Syahrizal.

VIDEO: Proton X50 1.5T Executive F Tuned X RaceChip catat masa lap terpantas 2 minit 51.1 saat di Sepang!

“Ini merupakan pencapaian buat kami semua dengan keputusan hari ini menunjukkan kedua-dua produk kami telah terbukti boleh menerima asakan pemanduan yang lebih lasak. Matlamat kami apabila mula bekerjasama dengan F Tuned Racing Suspension adalah untuk menghasilkan produk prestasi untuk X50 yang mudah untuk dipasang, dihasilkan tahan lama dan paling penting, sesuai untuk pemanduan seharian, dan sekarang saya yakin kami sudahpun mencapai semua itu,” kata pengurus teknikal RaceChip Malaysia, Khairul Azhar yang mengetuai sepasukan jurutera bagi menghasilkan talaan khusus terhadap X50 di Malaysia.

Tahukah anda, ketika Proton melancarkan model hardcore edisi terhad Satria R3 pada tahun 2004, kereta berkenaan telah dipandu oleh Tengku Djan Ley di Sepang dan mencatatkan rekod lap terpantas 2 minit 55 saat. Manakala Satria Neo R3 Lotus Racing pula dikhabarkan mencatatkan masa berberapa saat lebih lambat dari Satria R3 kerana hanya menggunakan enjin 1.6 liter.

Sekarang Proton sudahpun mempunyai hak bagi membangunkan model tempatan menggunakan platform BMA (platform sama yang digunakan pada X50), dan juga enjin 1.5L MPI bersama kotak gear DCT tujuh-kelajuan – bayangkan kalau sebuah hatchback atau sedan dibangunkan dengan resipi berkenaan, tentu sedap kan?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

 

Add a comment

required

required