WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

Nampaknya masih tiada lagi pasukan yang boleh menewaskan penguasaan Lynk & Co Cyan Racing dalam siri FIA World Touring Car Cup (WTCR) – pasukan yang mewakili divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co dalam perlumbaan tersebut sekali lagi menyapu bersih gelaran juara dunia untuk kategori pemandu dan pengeluar untuk tahun kedua berturut-turut!

Kedua-dua gelaran tersebut ditentukan pada pusingan terakhir yang berlangsung di Sochi Autodrom, Rusia hujung minggu lalu. Pemandu Lynk & Co Cyan Racing yang juga juara WTCR tahun sebelum ini, Yann Ehrlancher tiba di Rusia dengan hanya memerlukan 36 mata sahaja lagi bagi sah dinobatkan sebagai juara dunia WTCR buat kali kedua.

Ehrlacher yang baru sahaja berumur 25 tahun (menjadi juara WTCR paling muda dalam sejarah tahun lalu) disahkan sebagai juara hanya pada Race 1 selepas Lynk & Co 03 TCR yang dipandunya melepasi garisan penamat di kedudukan ke-lima. Tambahan mata dikutip lagi pada Race 2 dengan menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-enam, membolehkan ia berada di hadapan Frédéric Vervisch dari pasukan Comtoyou Team Audi Sport dengan kelebihan 21 mata.

WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

Rakan sepasukan Ehrlacher yang juga pakciknya, Yvan Muller turut menyumbang tambahan mata dengan menghabiskan Race 1 di tempat ke-lapan, tetapi tidak bernasib baik kerana terlibat dalam kemalangan pada Race 2 menyebabkan beliau tidak dapat menamatkan perlumbaan. Namun 319 mata yang telah dikutip sudah cukup membolehkan pasukan Cyan Racing Lynk & Co berada 54 mata di hadapan pasukan Comtoyou Audi untuk sekali lagi bergelar juara dunia untuk kategori pasukan.

Untuk rekod, Lynk & Co Cyan Racing turut telah dinobatkan sebagai juara kategori pasukan pada tahun pertama penampilannya dalam WTCR iaitu 2019, menyaksikan ini tahun ketiga berturut-turut pasukan lumba dengan jenama dari China tersebut mempertahankan kejuaraan berkenaan.

Malah, Cyan Racing yang sebelum ini berlumba dengan jenama Volvo telahpun memenangi gelaran juara dunia untuk pemandu (menerusi pemandu Sweden, Thed Bjork) dan pasukan pada 2017, iaitu tahun terakhir kejuaraan Touring Car dunia dilangsungkan dalam format WTCC. Gelaran kategori pasukan untuk WTCR masih dipegang mereka pada 2018 tetapi ketika itu dijenamakan sebagai Yyan Muller Racing (berlumba dengan Hyundai i30 N TCR) sebelum pembangunan jentera lumba Lynk & Co 03 dilengkapkan.

WTCR 2021 – Lynk & Co Cyan Racing sekali lagi sapu bersih juara dunia untuk pemandu dan pengeluar!

“Ia satu perasaan yang menggembirakan apabila menyedari bahawa kami telah merangkul lapan daripada sepuluh gelaran dunia dalam tempoh lima tahun yang lalu. Ini melangkawi jangkaan paling gila yang kami rasa apabila kami mulakan program kejohanan dunia penuh pada 2016. Saya mahu sampaikan ucapan berbanyak terima kasi kepada semua yang terlibat untuk prestasi luar biasa tahun ini,” kata pemilik dan pengasas Cyan Racing, Christian Dahl.

“Sekali lagi juara dunia, rasanya sangat menakjubkan! Berbanyak terima kasih kepada semua orang di Cyan Racing dan Lynk & Co, saya tak mampu lakukan ini tanpa mereka. Terlalu banyak tekanan hujung minggu ini dan untuk menobatkan musim ini dengan gelaran dunia kedua berturut-turut tidak dapat saya digambarkan. Saya akan simpan perasaan ini untuk masa yang lama,” kata Yann Ehrlacher.

Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski Schedvin pula berkata: “Kami sangat gembira dengan keputusan hebat Cyan Racing yang telah dicapai dengan kereta lumba Lynk & Co 03 TCR. Dalam satu lagi musim WTCR yang ultra-kompetitif, Cyan Racing dengan kru dan pemandu mereka telah tampil di atas dan memanjangkan lagi ucapan tahniah kami kepada semua yang terlibat.”

“Tahniah kepada Cyan Racing dan Yann Ehrlancher untuk gelaran dunia 2021. Ini merupakan tahun yang sungguh sukar kerana pandemik dan untuk pasukan bagi mencapai keputusan ini merupakan bukti yang luar biasa atas usaha mereka. Ia sekali lagi membuktikan kekuatan kereta-kereta Lynk & Co. Saya mahu memanjangkan ucapan terima kasih kepada jurutera, mekanik dan pemandu untuk usaha mereka yang telah merealisasikan keputusan ini,” kata Naib Presiden Geely Auto Group, Victor Yang.

Dalam perlumbaan di Rusia semalam, pelumba pasukan Zengo Motorsport, Mikel Azcona dengan memandu jentera Cupra Leon Competición menamatkan Race 1 di tempat pertama, diikuti oleh pemandu pasukan Engstler Hyundai N Liqui Moly, Jean-Karl Vernay yang memandu Hyundai Elantra N TCR. Manakala Gilles Magnus yang memandu Audi RS3 LMS pasukan Comtoyou Team Audi Sport menamakan perlumbaan tersebut di tempat ketiga.

Cupra Leon Competición pasukan Zengo Motorsport sekali lagi memenangi perlumbaan di Rusia berkenaan pada Race 2, kali ini menerusi jentera yang dipandu oleh Robert Huff. Insiden pelanggaran yang berlaku antara Azcona dan Yvan Muller sejurus sahaja Safety Car masuk semula ke pit ketika perlumbaan tersebut berlangusng membolehkan Huff meluru ke depan untuk memimpin perlumbaan berkenaan.

Dua lagi podium untuk Race 2 di Rusia tersebut diisi oleh dua buah Audi RS3 LMS iaitu Frédéric Vervisch dari pasukan Comtoyou Team Audi Sport, diikuti oleh Nathanaël Berthon dari pasukan Comtoyou DHL Team Audi Sport.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required