Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

Julai lalu kami telah menemuramah prinsipal pasukan Proton R3, Gary Lee bagi mengetahui perkembangan Proton R3 yang kini merupakan satu badan di bawah Geely Motorsport Group setelah jenama dari China tersebut mengambil alih pegangan saham sebanyak 49.9 peratus dari Proton.

Hujung minggu lalu, berlangsungnya pusingan terakhir World Touring Car Cup (WTCR) 2019 di litar antarabangsa Sepang – salah satu ahli kumpulan Geely Motorsport, Lynk & Co Cyan Racing datang ke Malaysia dengan sasaran untuk menjadi juara dunia WTCR dalam kategori pasukan, dan mereka berjaya melakukannya.

Dalam kesempatan tersebut, kami berpeluang untuk berjumpa sendiri dengan Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski bagi mengetahui rancangannya terhadap Proton R3.

Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

Ketua Geely Group Motorsport, Alexander Murdzevski

Menurut Alex, Geely amat menghormati warisan sejarah setiap jenama yang berada di bawahnya dan sebab itu mereka mewujudkan Geely Motorsport setelah berjaya memiliki Volvo, bagi memastikan bakat-bakat yang sudah sedia ada dalam Polestar Cyan Racing tidak terbiar begitu sahaja.

Geely juga memberikan kebebasan kepada arah tuju jenama-jenama di bawahnya – Alex menyatakan bahawa Geely Motorsport sendiri tidak ‘berperangai seperti Abang besar’ dengan memberikan arahan kepada Proton R3. “Setiap kali kami turun ke Malaysia, kami akan duduk bersama keluarga kami di sini iaitu Gary dan pasukan Proton R3, dan sentiasa mendengar apa rancangan mereka, apa yang mereka boleh lakukan untuk kebaikan jenama Proton.”

“Dalam Geely, kami mempunyai banyak rekod komersil yang positif apabila terlibat dalam sukan permotoran, dan diberikan sokongan yang banyak berkenaan apa yang kami lakukan sekarang. Jadi saya rasa, sikap dan minat ada di situ. Dan kami tiada sikap seperti ‘Abang Besar’ untuk mengarah buat itu dan ini. Buat pilihan sendiri masing-masing, dan jika kita mempunyai kereta yang sesuai dalam masa dua hingga tiga tahun, dan ia sesuai untuk Proton berlumba dalam Touring Car, sudah tentu apa yang kami ada akan kami kongsikan bersama,” jelas Alex.

Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

“Saya rasa apa yang unik berkenaan Proton R3, ia satu pasukan yang mempunyai warisan sukan permotoran yang lama. Jika anda fikirkan, anda perlu berbangga kerana tidak banyak pasukan lumba dalam dunia ini yang beroperasi terus di bawah jenama utama dengan warisan sejarah yang lama, dan mereka juga mempamerkan prestasi yang baik untuk jenama.

“Gary dan pasukannya adalah orang-orang yang baik. Saya gembira dapat bersamanya sebagai salah satu anggota keluarga,” tambah Alex lagi, menzahirkan apa yang dia sendiri rasa terhadap pasukan Proton R3.

Ketika ditanya adakah kita berpeluang untuk melihat Proton Motorsport kembali semula ke kancah sukan permotoran antarabangsa terutamanya dalam disiplin rali, ini jawapan Alex: “Sukan permotoran adalah 90 peratus berkenaan masa yang tepat. Apabila satu-satu kejohanan bermula, anda mempunyai produk yang sesuai yang baru dilancarkan, anda boleh gunakannya sebagai pelaburan R&D yang paling lama. Jadi ia adalah berkenaan masa bagi meneruskan program (sukan permotoran yang berjaya).”

Proton R3 bebas lakukan apa sahaja, kami sentiasa beri sokongan – bos Geely Motorsport, A. Murdzevski

Bagi mereka yang masih belum mengetahui, Lynk & Co adalah divisi mewah Geely, seperti Lexus dari Toyota. Cyan Racing pula adalah rakan teknikal Volvo Polestar dan telah berlumba bersama sejak sekian lama – Thed Bjork telah bergelar juara Scandinavian Touring Car Championship (STCC) dari 2013 hingga 2015, dan juara dunia World Touring Car Championship (WTCC) 2017 – semuanya dengan Volvo S60 Polestar Cyan Racing.

Namun pada 2018, pelbagai perkara telah berlaku – FIA telah mengubah WTCC kepada WTCR di mana pengeluar perlu beralih dari jentera TC1 kepada jentera TCR dan Volvo belum membangunkan sebarang jentera TCR, manakala Polestar telah dipisahkan dari Volvo bagi menjadi sebuah jenama pengeluar kereta sport dengan teknologi elektrifikasi.

Nama Cyan Racing tidak muncul sepanjang musim WTCR 2018, tetapi mereka sebenarnya masim berlumba dalam pasukan Yvan Muller Racing dengan Hyundai i30 N TCR, dipandu Yyan Muller dan Thed Bjork – juga berjaya menjadi juara kategori pasukan untuk musim berkenaan.

Sedan Lynk & Co 03 hanya diperkenalkan dalam pasaran pada September 2018, manakala projek membangunkan kereta lumba TCR berkenaan bermula Oktober tahun yang sama, dan ia perlu siap sebelum bermulanya WTCR musim 2019. Ia diasaskan dari Lynk & Co 03+, dalam spesifikasi produksi menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) Volvo/Geely (platform sama dengan Volvo XC40), dan dijana oleh enjin turbo 2.0 liter Drive-e menghasilkan 254 hp/350 Nm sama seperti yang terdapat pada model-model T5 Volvo.

Menurut Alex, kereta lumba ini masih menggunakan kerangka produksi, dan menggunakan enjin yang sama – ia masih menggunakan komponen dalaman yang sama sepenuhnya seperti model produksi, cuma diberikan pengecas turbo lebih besar bagi menghasilkan kuasa 350 hp/450 Nm

Kereta ini berjaya disiapkan dalam masa yang cukup singkat dan ia mula membuat ujian awalan di litar Mantorp, Sweden dan Estoril, Portugal pada Disember 2018, kemudian mula berlumba pada pusingan pertama WTCR 2019 di litar antarabangsa Moulay El Hassan, Maghribi April lalu.

Dalam perlumbaan pusingan terakhir WTCR 2109 yang berlangsung di Sepang hujung minggu lalu, dan selepas 10 pusingan serta 30 perlumbaan, pasukan Lynk & Co Cyan Racing berjaya menjadi juara dunia dalam kategori pasukan, menewaskan pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse dengan kelebihan 14 mata, dan Münnich Motorsport Honda di tempat ketiga dengan ketinggalan 52 mata.

Ini bermakna, Lynk & Co Cyan Racing yang berlumba dengan sedan Lynk & Co 03 TCR berjaya merangkul gelaran tersebut hanya dalam percubaan tahun pertamanya, dan menjadi jenama dari China pertama yang berjaya dinobatkan sebagai juara dunia dalam pentas sukan permotoran antarabangsa.

Dalam kategori pemandu, pelumba pasukan BRC Hyundai N Squadra Corse Norbert Michelisz dinobatkan sebagai juara dunia, diikuti oleh Esteban Guerrieri yang memandu Honda Civic Type R TCR dari pasukan Münnich Motorsport.

Pemandu berpengalaman Cyan Racing, Yvan Muller berada di tempat ketiga, manakala juara WTCC 2017 juga masih memandu untuk Cyan Racing, Thed Bjork berada di tempat keempat secara keseluruhan – prestasi konsisten kedua-dua pemandu ini membolehkan pasukan yang berpengkalan di Sweden tersebut berjaya meletakkan mereka sebagai juara kategori pasukan.

GALERI: Pit Lynk & Co Cyan Racing di WTCR Race of Malaysia 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required