Peugeot nampaknya mempunyai sinar baharu di bawah pengedar baharunya di Malaysia iaitu Bermaz, pihak yang sama memegang franchise Mazda di sini – selain model facelift 3008 dan 5008 yang telah pun dilancarkan, jenama dari Perancis tersebut turut bakal memperkenalkan pelbagai model baharu tahun hadapan termasuk model elektrik penuh dan juga trak pikap.
Ya, trak pikap Peugeot Landtrek nampaknya benar-benar akan dilancarkan di Malaysia, dijadualkan pada suku ketiga 2022, menurut laporan analisa RHB Investment Bank. Trak pikap berkenaan sebelum ini telah dilihat diuji di atas jalan raya Malaysia pertengahan tahun lalu.
Walaupun pernah menghasilkan trak pikap berasaskan kereta pada era 80’an dahulu, Peugeot sebenar sudah lama tidak memperkenalkan kenderaan dalam kelas berkenaan. Jadi untuk Landtrek ini, ia sebenarnya diasaskan dari trak pikap China, iaitu Changan Kaicheng F70 yang (diperkenalkan pada 2019) dan dihasilkan untuk pasaran benua Afrika serta Amerika Latin.
Untuk pasaran Malaysia, Landtrek dijangka hanya akan dijual dalam versi double cab, sementara di pasaran lain ia turut hadir dengan pilihan badan chassis cab dan single-cab. Trak pikap ini direka dengan muka signatur Peugeot menampilkan gril berbentuk mangkuk, bersama skrip ‘Peugoet’ di atas serta logo Singa pada bahagian tengah. Namun rekaan jalur LED ‘cakar singa’ tidak disertakan pada trak ini.
Bagi pasaran Malaysia, kita dijangka akan menerima Landtrek dalam hanya satu pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin 1.9 liter turbodiesel VGT berkuasa 150 hp dan tork maksima 350 Nm bersama kotak gear automatik dari Punch. Pada pasaran lain, Landtrek turut ditawarkan kotak gear manual enam-kelajuan dari Getrag, pilihan pacuan roda belakang atau 4X4, dan juga pilihan enjin petrol 2.4 liter turbo berkuasa 210 hp/320 Nm.
Dalam kabin, Landtrek diberikan gaya Peugeot sebenar dengan perincian-perincian yang berbeza dari Kaicheng F70. Papan pemuka Peugeot Landtrek ini direka dengan inspirasi dari sedan Peugeot 508, serta diberikan roda stereng rata di bawah. Ia turut menerima spesifikasi premium seperti sistem pendingin hawa automatik dua-zon, dan juga sistem infotaimen dengan skrin sesentuh 10-inci definasi tinggi serta sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan hard drive 10 GB.
Untuk kelengkapan keselamatan, Peugeot Landtrek ini dilengkapi enam beg udara, ESP, Hill Descent Control, ASR untuk kedua-dua versi 4×2 dan 4×4, Lane Departure Warning, Trailer Swing Control dan dua cagak Isofix di tempat duduk belakang.
Sudah diketahui, syarikat induk Peugoet iaitu Stellantis (entiti selepas PSA bergabung dengan FCA) kini turut telah memiliki sepenuhnya kilang Naza Automotive Manufacturing (NAM) di Kedah, iaitu hab produksi syarikat berkenaan di ASEAN. Jadi Peugeot Landtrek versi pemanduan sebelah kanan ini hampir pasti akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) dan turut akan dieksport ke Thailand, iaitu pasaran trak pikap terbesar di dunia.
Jadi untuk peminat trak pikap serta pemilik-pemilik model-model mainstream seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max diluar sana, apa pendapat anda tentang trak pikap dengan jenama Perancis ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.