Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan turut menyediakan inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia kepada rakyat terjejas akibat banjir. Ia adalah sebahagian daripada Kemudahan Bantuan Bencana di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang komprehensif.
Jelas beliau, inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia sehingga RM1,000 kepada warganegara yang layak adalah untuk pembaikan atau penggantian kenderaan penumpang persendirian termasuk motosikal, trak pikap dan van bertingkap yang rosak akibat banjir.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan menerusi usaha sama antara kerajaan dan syarikat automotif di mana syarikat terbabit menawarkan diskaun sekurang-kurangnya diskaun 15% bagi kerja pembaikan serta kos tunda kenderaan secara percuma dan kerajaan akan menyediakan baucar diskaun sehingga RM1,000 yang sah sehingga 31 Mac 2022, laporan Malaymail.
“Bagi memanfaatkan baucar diskaun itu, pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, tidak perlu membuat sebarang permohonan, selain boleh menebus baucar berkenaan di pusat servis atau pengedar sah syarikat automotif yang terbabit.
“Pengurangan kos pembaikan dinikmati secara potongan terus daripada kos keseluruhan pembaikan atau kos penggantian kenderaan baharu melalui invois yang akan dikeluarkan oleh pusat servis dan pengedar sah. Baucar ini sah digunakan sehingga 31 Mac ini dan pengguna dinasihatkan untuk segera membuat tuntutan dari pusat servis/pengedar sah yang berdaftar bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.
Tambah beliau lagi, setakat ini sebanyak 19 syarikat automotif dengan rangkaian lebih daripada 1,000 pusat servis berdaftar di seluruh negara, telah bersetuju untuk menyertai inisiatif Baucar Diskaun Automotif Keluarga Malaysia. Walau bagaimana pun, senarai syarikat yang terbabit bersama dengan pendaftaran pusat servis sah serta bengkel, terutama untuk motosikal akan dikemaskini sepanjang tempoh pelaksanaan.
19 syarikat automotif yang turut mengumumkan program bantuan baikpulih kenderaan dengan kadar diskaun sekurang-kurangnya 15% adalah termasuk Perodua, Proton, UMW Toyota Motor, Tan Chong Motor, Honda Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) dan Volvo Car Malaysia.
Selain itu TC Euro Cars (Renault), Mercedes-Benz Malaysia, BMW Malaysia, Sime Darby Motor Group (untuk Ford, Hyundai dan lain-lain), Bermaz (Mazda, Peugeot dan KIA), TC Subaru, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM), Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd, Boon Siew Honda Sdn Bhd, MODENAS, Mofaz Motorsikal Sdn Bhd dan KMSB Motors Sdn Bhd (Suzuki) turut mengambil bahagian.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.