Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022 didedah secara rasmi!

Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022 didedah secara rasmi!

Walaupun nampak kucar-kacir setelah prinsipal pasukannya, Andrea Adamo meletakkan jawatan secara tiba-tiba bulan lalu, pasukan rali dunia jenama automotif Korea yang berpangkalan di Alzenau, Jerman iaitu Hyundai Shell Mobis World Rally Team menjadi pasukan pertama yang melancarkan jentera mereka untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) tahun ini. Memperkenalkan, Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022!

Seperti yang diketahui sebelum ini, WRC akan mula menggunakan undang-undang baharu untuk kejohanan musim ini, iaitu regulasi Rally1 bagi menggantikan regulasi WRCar yang digunakan sejak 1997 sehingga 2021 sebagai kategori utama. Undang-undang baharu ini memerlukan semua pasukan yang bertanding menghasilkan jentera rali generasi seterusnya yang dibangunkan baharu sepenuhnya.

Ini kerana menerusi regulasi Rally1, kesemua pengeluar diberikan kebebasan sama ada menggunakan casis produksi atau casis jenis spaceframe, serta enjin 1.6 liter turbo dari jentera sebelum ini perlu berfungsi bersama sistem hibrid elektrik yang dipadankan pada gandar belakang.

Menurut Hyundai, i20 N Rally1 ini dihasilkan berasaskan hot-hatch segmen-B i20 N. Tiada sebarang perincian teknikal didedahkan menerusi pelancaran ini. Namun menerusi perincian undang-undang yang telah diumumkan oleh FIA, untuk jentera Rally1 ini pengeluar masih disyaratkan untuk menggunakan enjin 1.6 liter turbo bersama unit restrictor 36 mm dari jentera WRCar sebelum ini (menghasilkan sekitar sekitar 380 hp, nisbah berat kepada kuasa 3.1 hp/kg).

Hyundai i20 N Rally1 WRC 2022 didedah secara rasmi!

Ia digandingkan dengan kit hibrid elektrik dari Compact Dynamic (semua pasukan perlu menggunakan kit yang sama) yang terdiri dari bateri lithium ion 3.9 kWj, motor elektrik (Motor Generator Unit atau MGU) berkuasa 100 kW (134 hp) dan tork 180 Nm, serta unit inverter dan unit pengurusan kuasa – kesemuanya diletakkan dalam perumah yang diperbuat dari gentian karbon.

Kit hibrid elektrik tersebut mampu memberikan kuasa tambahanan kepada enjin petrol membolehkan jentera Rally1 ini memecut dengan bekalan 500 hp pada masa-masa tertentu. Selain dari dicas menggunakan pengacas seperti kereta elektrik atau PHEV di service park, bekalan kuasa bateri juga turut boleh dicas semula dengan pemulihan tenaga kinetik ketika membrek.

Dengan sistem hibrid elektrik baharu ini juga, kesemua jentera Rally1 perlu bergerak dalam road stage (pergerakan dalam jalan raya awam/kawasan bandar dari service park ke SS, atau dari SS ke SS) menggunakan 100% kuasa elektrik dengan enjin pembakaran dalaman dimatikan terus.

Jentera Hyundai i20 N Rally sebenar yang sudah menerima homologasi FIA ini menampilkan rupa berbeza dari unit prototaip awalan yang didedahkan oleh pasukan tersebut pada bukan Mei tahun lalu. Ia masih menampilkan rupa badan i20 lima pintu seperti model produksi jalan i20 N, tetapi dengan kit aerodinamik yang jauh lebih agresif.

Dapat diperhatikan juga pembuka pintu belakang telah dibuang, manakala cermin quater pada pintu belakang telah digantikan dengan corong udara untuk menyejukkan kit hibrid elektrik yang terletak di kabin belakang jentera tersebut.

Hyundai masih mempertaruhkan tiga jentera Rally1 untuk pasukan utamanya bagi WRC musim 2022 ini, dengan membariskan empat pemandu. Kereta utama masih dipandu oleh Thierry Neuville bersama juruarahnya Martijn Wydaeghe, dan kereta kedua juga masih dipandu oleh juara WRC 2019 iaitu Ott Tänak bersama juruarahnya Martin Järveoja.

Manakala kereta ketiga akan dikongsi bersama oleh anak bekas juara WRC 2003 Petter Solberg iaitu Oliver Solberg, dan juga pemandu berpengalaman Dani Sordo, bergantung kepada pusingan-pusingan tertentu yang telah ditetapkan oleh pasukan.

“Kami teruja untuk menjadi sebahagian dari era baharu WRC hibrid ini bagi mendemonstrasikan komitmen Hyundai terhadap sukan bermotor antarabangsa. WRC adalah berkenaan membawa kereta dengan aspek teknikal termaju, dipandu dan dinavigasi oleh kru terbaik, di atas pentas paling lasak di dunia: musim 2022 bersedia untuk mengangkat semua perkara ke tahap seterusnya,” kata Scott Noh, presiden Hyundai Motorsport yang kini menyandang sementara tugas sebagai prinsipal pasukan sebelum ketibaan pengganti Adamo.

“Tambahan pula, dari perspektif korporat, adalah penting untuk Hyundai dikaitkan dengan teknologi berkaitan jalan raya; peralihan WRC kepada hibrid menyatukan aktiviti sukan permotoran dan kereta jalan raya jenama ini. Kami yakin kami mempunyai pakej untuk bersaing merebut gelaran pengeluar ketiga kami – dan juga untuk menyokong krew kami bagi memburu gelaran pemandu/juruarah,” tambahnya lagi.

Pusingan pertama WRC 2022 akan bermula tak sampai dua minggu dari sekarang, iaitu Rally Monte Carlo yang akan dilangsungkan bermula 21 sehingga 23 Januari nanti. Kesemua pasukan yang bertanding dalam kategori Rally1 iaitu Hyundai, Toyota dan Ford akan membawa jentera Rally1 masing-masing ketika perasmian WRC musim 2022 di Austria 15 Januari ini.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required