Pada tahun 2021, Volvo Cars teleh mencatatkan jualan sebanyak 698,693 unit di seluruh dunia, iaitu lebih 5.6% berbanding tahun sebelumnya. Menurut pengeluar kereta Sweden ini, XC60 masih kekal menjadi model paling laris, dengan merangkumi 30% daripada keseluruhan jualan, sementara XC40 dan XC90 masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Disebabkan populariti SUV jenama tersebut, CEO Volvo Håkan Samuelsson memberitahu Autocar, model S (sedan) dan V (wagon) yang berada dalam barisan modelnya akan terus dikekalkan untuk masa akan datang. Ini bermakna peminat Volvo masih boleh mendapatkan model generasi baharu bagi S60, V60, S90 dan V90.
“Ya, ia (S dan V) akan digantikan dengan sesuatu yang lebih menarik untuk pengguna. Kami memerlukan kereta yang lebih rendah dengan saiz badan yang lebih konvensional tetapi mungkin sedikit kurang persegi (daripada sebelumnya). Kereta rendah ini akan menjadi tambahan kepada SUV berposisi tinggi kami. Kena tunggu,” kata Samuelsson.
Sedikit yang diketahui tentang model S dan V baharu, ia mungkin hadir dalam pacuan elektrik sepenuhnya mengukit strategi elektrifikasi Volvo. Setakat ini, apa yang telah disahkan ialah model masa hadapan jenama ini akan menerima nama “yang lebih emosi” dan bukannya mengikut gaya alphanumeric yang telah lama wujud. Ini termasuklah dengan pengganti XC90 yang akan datang yang bakal dinamakan sebagai “Embla”, iaitu nama wanita pertama dalam mitologi Norse.