Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

Akhirnya, hari ini secara rasminya Honda Civic 2022 dilancarkan ke pasaran Malaysia. Model generasi ke-11 dengan kod casis FE ini muncul buat pertama kali diperingkat global di Amerika Syarikat pada April tahun lalu, bermakna ia sampai ke pasaran tempatan tak sampai setahun dari tarikh berkenaan.

Sama seperti pasaran Thailand dan Indonesia, Civic generasi terkini ini hanya hadir dengan unit rangkaian kuasa 1.5 liter VTEC Turbo, tanpa pilihan enjin 1.8 liter i-VTEC seperti model genarasi ke-10. Walau bagaimanapun Honda Malaysia masih menawarkan Civic 2022 dalam tiga varian berbeza.

Ia dimulakan dengan model asas 1.5 E yang dijual pada harga RM125,635, diikuti model pertengahan 1.5 V dijual pada harga RM138,043. Manakala model spesifikasi tertinggi serta menampilkan rupa lebih agresif iaitu Civic 1.5 RS dijual pada harga RM144,350.

Semua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, termasuk pengecualian cukai jualan oleh kerajaan sehingga 30 Jun 2022. Kesemua model menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan bersama lima servis dengan kos buruh percuma.

Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

Saiz Civic 2022 ini lebih besar dari Civic FC. Panjang keseluruhanya adalah 4,678 mm (30 mm lebih panjang), bersama jarak roda 2,735 mm (33 mm lebih jauh), serta 3 mm lebih lebar dengan ukuran 1,415 mm dan tinggi 1,802 mm (1 mm lebih rendah). Manakala untuk ruang but, model baru ini menampilkan ruang kargo berkapasiti 497 liter, sedikit lebih kecil berbanding Civic FC dengan 519 liter.

Dengan ukuran ini, Honda menyatakan bahawa Civic FE menampilkan ruang kaki yang lebih besar terutamanya untuk penumpang belakang. Ia juga menampilkan tiang-A yang ‘ditolak’ 50 mm kebelakangan berbanding Civic FC yang bukan sahaja membuatkan tiang tersebut tidak lagi nampak seperti bersambung dengan hab roda hadapan, malah turut membuatkan bahagian bonet hadapan menampilkan bayang badan yang lebih menarik serta memberikan sudut pandang keluar pada cermin hadapan yang lebih baik.

Bagi model asas gred E, ia hadir dengan rim aloi 16-inci, lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED penuh, dan juga dua fungsi baharu iaitu pengelap cermin pintar dan juga pembuka penutup but belakang automatik – diberikan penyerap hentak dengan spring torsion bagi membolehkan pergerakan naik sendiri tersebut.

Varian V pula menerima tambahan perician seperti lampu kabus hadapan, serlahan krom pada pembuka pintu serta rim aloi 17-inci dua tona yang dibalut dengan tayar 215/50R17.

Untuk model RS, ia diberikan perincian unik bagi memberikan imej lebih agresif, termasuk lampu hadapan LED reflektor automatik yang digelapkan pada sebelah dalam, tip ekzos berkembar yang diserlahkan pada bampar belakang, lencana RS pada gril dan penutup but belakang.

Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

Ia juga menerima serlahan-serlahan hitam berkilat pada penutup cermin sisi, spoiler but belakang, pembuka pintu dan juga antena sirip yu. Apa yang menarik, Civic RS pasaran Malaysia ini dilengkapkan dengan rim aloi 18-inci jejari-Y dalam kemasan hitam kusam, seiras dengan rim Civic Si pasaran Amerika Syarikat. Untuk pengetahuan anda, Civic RS pasa Thailand hanya diberikan rim aloi bersaiz 17-inci.

Pada bahagian dalaman pula, Civic FE ini tampil dengan rekaan yang lebih minimalis. Papan pemuka model baharu ini direka ringkas – tiada elemen seperti kapal angkasa pada Civic FC, dan ia hanya menampilkan satu panel panjang dengan elemen gril sarang lebah merentangi papan pemuka tersebut, yang menyembunyikan liang pendingin hawa.

Skrin infotainmen tidak lagi ‘ditanam’ papan pemuka, sebalikya diletakkan seakan berdiri sendiri di bahagian paling atas. Kesemua varian Civic 2022 ini diberikan sistem infotainmen Display Audio. Model varian E diberikan skrin sesentuh tujuh-inci, serta datang standard dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay. Model asas ini juga hanya menerima empat pembesar suara, tempat duduk pemandu larasan manual

Manakala varian V dan RS pula diberikan skrin sesentuh sembilan-inci dengan fungsi Apple CarPlay tanpa wayar, lapan pembesar suara termasuk empat unit tweeter, tempat duduk pemandu larasan kuasa, upholsteri kulit (gandingan bersama material sued dan jahitan benang merah untuk RS).

Civic RS juga menerima pelbagai perincian lebih sporty termasuk pelapik bumbung hitam, serlahan jahitan benang merah pada roda stereng dan tombol gear, set pedal aloi, jalur lampu suasana untuk kabin yang bersepadu dengan kemasan hitam berkilat serta lampu pada bahagian ruang kaki.

Kit-kit standard untuk semua varian termasuk sistem kemasukan tanpa kunci (dengan fungsi kunci walk away dan penghidup enjin jarak jauh), suis penghidup enjin, paparan instrumen digital dengan skrin tujuh-inci (bersama meter kelajuan analog), sistem pendingin hawa automatik zon tunggal bersama liang penghembus belakang.

Manakala model V dan RS, ia menerima tambahan kit seperti servis telematik Honda Connect, cermin pandang belakang auto-malap dan juga cermin solek dengan sistem pencahayaan.

Seperti yang diberitahu tadi, kesemua varian Civic 2022 di Malaysia tampil dengan unit rangkaian kuasa yang sama. Ia dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder VTEC Turbo, menghasilkan kuasa 182 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 240 Nm bermula 1,700 rpm sehingga 4,500 rpm.

Honda Civic 2022 dilancar di M’sia – RM126k-RM144k, tiga varian, hanya 1.5L VTEC Turbo 182 PS/240 Nm

Jadi berbanding enjin yang sama dalam perut Honda Civic FC, unit penjana VTEC Turbo pada Civic generasi baharu ini adalah 8 PS dan 20 Nm lebih bertenaga. Kuasa dari enjin masih memacu roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik. Ia adalah kotak gear yang sama dari Civic FC namun diberikan talaan baharu yang menjadikan ia lebih responsif dan seronok dipandu, serta varian V dan RS turut menerima tujuh kelajuan maya serta mod manual yang boleh dioperasikan dengan pedal penukar gear.

Untuk keselamatan, semua varian Civic 2022 ini hadir dengan enam beg-udara, brek parkir elektronik dengan fungsi auto hold, sistem kestabilan elektronik dan juga sistem torque vectoring yang diaktifkan oleh brek digelar sebagai Agile Handling Assist.

Kesemua varian Civic 2022 ini hadir dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif bersama stop & go, bantuan pengekal tengah lorong, bantuan kekal lorong dan juga lampu tinggi automatik.

Sistem Honda Sensing pada Civic generasi baharu ini juga tampil dengan sistem Lead Car Departure Notification yang memberikan amaran kepada pemandu bahawa kereta hadapan sudah pun mula bergerak. Kamera pemantau titik buta Honda LaneWatch turut diberikan pada varian V dan RS ini.

Lima warna badan ditawarkan untuk Honda Civic 2022 termasuk dua warna baharu Meteoroid Grey Metallic dan Ignite Red Metallic, bersama tiga warna dari model sebelumnya iaitu Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl dan Platinum White Pearl. Untuk warna terakhir dengan efek mutiara berkenaan, pembeli perlu menambah bayaran sebanyak RM300.

Setaakt ini, Honda Malaysia telah pun menerima tempahan sebanyak 1,200 unit untuk sedan segmen-C generasi baharu ini selepas ia dibuka pada Disember lalu. Penghantaran kepada pelanggan terawal akan bermula minggu hadapan, namun tempoh menunggu dijangka akan berada pada tahap satu atau dua bulan bergantung kepada varian. Walaupun harganya dilihat lebih tinggi berbanding versi generasi sebelum ini, syarikat berkenaan mensasarkan sebanyak 900 unit Civic 2022 dapat dijual setiap bulan di Malaysia.

GALERI: Honda Civic 1.5 RS 2022

GALERI: Honda Civic 1.5 V 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Semerah Padu on Jan 19, 2022 at 3:00 pm

    Saya teruja Dan Cuba hendak membeli 3 buah untuk kegunaan keluarga saya…tapi mampu nengok dulu la…

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • Ghani fariz on Apr 07, 2022 at 3:52 pm

    Minat untuk tempah civic 1.5Rs

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
  • nadia on May 11, 2022 at 10:13 am

    kenapa design lama lagi cantik,look more dynamic,sharp character,

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required