Didi Automotive Sdn Bhd menambah satu lagi jenama di bawah pengurusannya apabila dilantik menjadi pengedar rasmi motosikal Royal Enfield di Malaysia, menggantikan SNH Bhumi Corporation Sdn Bhd sebelum ini, dan ia akan terus berkuatkuasa secara serta merta.
Mula ditubuhkan pada tahun 1901, Royal Enfield kini merupakan jenama motosikal dengan pengeluaran berterusan paling lama dan barisan model yang ditawarkan di serata dunia sekarang antaranya terdiri daripada Interceptor 650, Continental GT 650, Himalayan 400, Classic 500 dan Bullet 500.
“Malaysia adalah satu pasaran yang penting bagi Royal Enfield dan kami percaya bahawa motosikal kami adalah sesuai untuk ditunggang melalui landskap menarik di negara ini dan menawarkan pelanggan satu pengalaman menunggang yang berbeza. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Didi Automotive untuk pasaran strategik ini,” kata ketua bahagian perniagaan untuk pasaran APAC Royal Enfield, Vimal Sumbly.
“Sasaran kami adalah untuk meletakkan kehadiran Royal Enfield di seluruh negeri dalam Malaysia dan menyediakan pengalaman pemilikan terbaik, daripada jualan, selepas jualan dan tunggangan. Dengan Royal Enfield, kami berharap dapat memacu perkara ini lebih lagi dengan menyediakan gaya hidup motosikal yang mudah didekati dan berkualiti, termasuk dengan pelbagai aktiviti dan pusat pameran di seluruh negara,” kata pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.