Selepas EC-05, Yamaha Taiwan kini melancarkan satu lagi model skuter elektrik, dipanggil sebagai EMF. Harga pasarannya adalah 102,800 NT (RM15,526), namun bagi tempoh awal sehingga 31 Mac ini, ia dijual pada harga diskaun 99,800 NT (RM15,073). Satu lagi promosi yang diadakan adalah 100 pembeli awal diberikan dengan set lima aksesori tambahan pada skuter mereka.

Dengan badan yang kecil seperti Q-bix, EMF dipacu oleh motor elektrik yang mampu menghasilkan 10.3 PS pada 3,000 rpm, dan 26 Nm tork pada 2,500 rpm, dan mendapat kuasa daripada dua pek bateri yang kelihatan seperti boleh dicabut keluar. Saiz serta waktu mengecas bateri ini bagaimanapun tidak didedah kepada umum.

Luar daripada kebiasaan bagi sebuah skuter kecil, EMF tidak menggunakan sistem pacuan tali sawat untuk menghantar kuasa ke belakang, sebaliknya menggunakan tetapan rantai dan lengan ayunnya pula menggunakan unit yang dibuat daripada aluminium tuang.

Walaupun tempat duduk EMF ini nampak seperti skuter biasa, ia sebenarnya dicipta hanya untuk satu orang sahaja dan anda boleh melihat tiada tempat peletak kaki bagi penumpang. Rim menggunakan saiz 10 inci sementara brek pula kedua-duanya adalah unit cakera dengan angkup empat piston radial di hadapan.

Satu lagi ciri unik EMS adalah ia menggunakan sistem tanpa kunci dan motosikal dihidupkan dengan menggunakan kad pintar khas. Di hadapan penunggang pula terdapat skrin digital yang boleh disambung dengan aplikasi khas Y-Connect untuk motosikal elektrik.

Kelengkapan lain yang terdapat pada EMS adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang dan semua lampu LED. Tinggi tempat duduk skuter elektrik ini adalah 785 mm dan berat keseluruhannya adalah 114 kg termasuk dua pek bateri di bawah tempat duduknya.