Enjin hidrogen Toyota 5.0L V8 dibangunkan oleh Yamaha – hasilkan 455 PS dan tork maksima 540 Nm!

Enjin hidrogen Toyota 5.0L V8 dibangunkan oleh Yamaha – hasilkan 455 PS dan tork maksima 540 Nm!

Ramai yang sudah tahu bahawa pembuat motosikal dari Jepun iaitu Yamaha seringkali membantu Toyota untuk membangunkan enjin-enjin prestasi seperti membina kepala silinder untuk enjin-enjin kod ‘G’ Toyota (aci sesondol berkembar dengan sudut luas) dan juga enjin V10 untuk supercar Lexus LFA.

Terbaharu, Yamaha telah pun membina satu lagi enjin prestasi bentangan V8 untuk Toyota, tetapi kali ini digerakkan dengan bahan api hidrogen! Bukan lagi rahsia bahawa Toyota kini serius untuk menghasilkan enjin hidrogen memandangkan enjin pembakaran dalaman janaan bahan api fosil akan diharamkan di pelbagai negara di dunia kerana undang-undang pencemaran yang semakin ketat, dan pembangunan enjin baharu ini adalah salah satu dari usaha berkenaan.

Enjin hidrogen ini diasaskan dari enjin petrol V8 2UR-GSE dengan kapasiti 5.0 liter yang boleh ditemui dalam perut model-model produksi seperti Lexus IS 500 F Sport Performance, LC 500, GS F dan RC F. Menurut Yamaha, modifikasi yang dibuat bagi membolehkan ia beroperasi menggunakan hidrogen adalah termasuk pada penyuntik bahan api, kepala silinder, manifold kemasukan dan banyak lagi.

Enjin hidrogen Toyota 5.0L V8 dibangunkan oleh Yamaha – hasilkan 455 PS dan tork maksima 540 Nm!

Yamaha turut menyatakan bahawa enjin hidrogen ini mampu menghasilkan kuasa 455 PS pada takat 6,800 rpm dan tork maksima 540 Nm pada takat 3,600 rpm. Sebagai perbandingan, untuk enjin yang sama menggunakan bahan api petrol dalam model produksi Lexus RC F, ia menjana 477 PS pada takat 7,100 rpm dan tork maksima 530 Nm bermula pada takat 4,800 rpm sehingga 5,600 rpm.

“Enjin hidrogen mempunyai rasa mesra semula jadi yang menjadikannya mudah digunakan tanpa menggunakan alat bantuan pemanduan elektronik. Setiap orang yang datang untuk memandu uji kereta prototaip ini biasanya akan ragu-ragu pada permulaan, tetapi kemudian akan keluar dari kereta dengan senyuman lebar di wajah mereka,” kata Takeshi Yamada dari Bahagian Pembangunan Automotif, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknikal Yamaha.

Salah satu kualiti yang dinilai oleh Yamada dan pasukannya sepanjang proses pembangunan enjin ini digelar sebagai Kanno Seino, yang boleh ditafsirkan sebagai “prestasi sensual atau keghairahan.”

Salah satu punca datangnya Kanno Seino pada enjin hidrogen tersebut adalah dari bunyi ekzos berfrekuensi tinggi dihasilkan dari manifold ekzos 8 kepada 1, yang bukan sahaja memberikan cabaran kepada jurutera untuk mengejar prestasi, malah turut memberikan “tarikan baharu untuk enjin pembakaran dalaman yang masih belum dilihat oleh dunia,” kata Yamada lagi.

Bagi yang belum mengetahui, konsep enjin pembakaran dalaman yang menggunakan hidrogen ini adalah berlainan dengan konsep sel bahan api hidrogen pada model-model produksi Toyota seperti Mirai yang menggunakan sel bahan api hidrogen bagi menjana kuasa elektrik, membolehkan motor elektrik memacu roda.

Enjin hidrogen ini pula berfungsi sama seperti enjin pembakaran biasa, tetapi bahan api fosil seperti petrol atau diesel digantikan terus dengan hidrogen. Selain dari enjin V8 ini, Toyota sudah pun membangunkan versi hidrogen untuk enjin G16E-GTS 1.6 liter tiga-silinder turbo (enjin yang sama pada GR Yaris) dan disumbatkan pada Corolla Sport yang berlumba dalam perlumbaan endurance Super Taikyu di Jepun, serta pada unit prototaip GR Yaris yang telah didedahkan kepada umum sebelum ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required