Volvo Car Malaysia sasar 75% jualan kereta elektrik pada 2025; model EV baru akan dilancar setiap tahun

Volvo Car Malaysia sasar 75% jualan kereta elektrik pada 2025; model EV baru akan dilancar setiap tahun

Untuk peringkat global, Volvo telah pun menetapkan bahawa menjelang 2030, kesemua model baharu yang mereka jual adalah kenderaan elektrik penuh (EV). Ini sasaran untuk seluruh dunia, tapi bagaimana dengan pasaran Malaysia? Boleh ke jenama Sweden berkenaan ‘hidup’ dengan hanya menjual kereta elektrik di sini?

Semalam secara rasminya model EV produksi pertama Volvo iaitu XC40 Recharge Pure Electric dilancarkan di Malaysia. Model berkenaan bukan diimport dari luar, sebaliknya dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi fasiliti Volvo yang terletak di Shah Alam dan ia bakal dieksport ke pasaran ASEAN yang lain.

Ini antara bukti bahawa Volvo Car Malaysia (VCM) adalah komited dengan sasaran global Volvo itu sendiri, walaupun fasiliti mengecas kereta elektrik dalam negara dilihat agak tertinggal berbanding negara lain. Dan ketika majlis pelancaran XC40 EV semalam, VCM turut mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk menjual sebanyak 75% EV dari keseluruhan barisan modelnya menjelang tahun 2025.

Menurut VCM, mereka menetapkan sasaran untuk menjadi jenama kereta “eMewah” nombor satu di Malaysia dengan cara menjual kereta elektrik paling banyak berbanding jenama-jenema premium yang lain di sini. Malah sasaran ini juga sebenarnya lebih tinggi dari sasaran global Volvo di mana pada 2025 jenama berkenaan mensasarkan jualan EV mereka adalah sebanyak 50% dari jumlah keselurahan.

VCM yakin sasaran yang mereka tetapkan tersebut tidak mustahil untuk dicapai kerana pelanggan-pelanggan mereka dianggap lebih “beraspirasi” dan lebih bersedia untuk bertukar kepada kereta elektrik. Faktor “pengalaman pemanduan kereta elektrik Volvo yang menakjubkan” juga dikatakan akan memacu model-model lebih mesra alam ini.

Selari dengan sasaran ini, VCM turut mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan model-model baharu EV di Malaysia setiap tahun, dalam tempoh lima tahun akan datang. Untuk tahun ini sahaja, VCM bukan hanya akan menjual XC40 Recharge EV, mereka juga telah mengesahkan versi Coupe untuk SUV elektrik tersebut iaitu C40 Recharge turut akan dilancarkan di Malaysia tahun ini, dan ia juga akan dihasilkan secara CKD di Shah Alam.

Jadi tidak mustahil model EV generasi baharu iaitu versi produksi bagi model Concept Recharge (dilaporkan akan diberi nama Volvo Embla) turut akan tiba di Malaysia secepat mungkin setelah ia didedahkan pada peringkat global tidak lama lagi.

“Volvo Car Malaysia kini bersedia untuk mengimplementasikan rancangan global Volvo untuk menampilkan barisan model elektrik sepenuhnya menjelang 2030, bermula dengan pelancaran XC40 Recharge Pure Elctric hari ini,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

“XC40 Recharge Pure Electric hanyalah salah satu daripada langkah-langkah lain untuk menggalakkan konsumer untuk menggunakan kenderaan elektrik untuk masa hadapan yang lebih mampan. Menjelang pertengahan dekad, kami mensasarkan untuk mengurangkan emisi kitaran hidup CO2 keseluruhan untuk setiap kereta sebanyak 40%. Ini bermaksud ia lebih dari sekadar mengurangkan emisi dari paip ekzos – elektrifikasi semata-mata tidak cukup. Kami mesti mengurangkan emisi CO2 untuk keseluruhan operasi dan rantaian pembekalan,” katanya lagi.

Jadi operasi pemasangan tempatan sememangnya adalah penting untuk VCM. Syarikat itu mendakwa bahawa XC40 Recharge EV merupakan model pertama seumpanya dipasang di Malaysia – ia penting bukan sahaja kerana VCM boleh berbangga dengan status berkenaan, malah ia turut dapat menggunakan sepenuhnya manfaat insentif kerajaan yang diberikan untuk EV.

Dalam pembentangan Bajet 2022 oleh kementerian kewangan, komponen-komponen CKD untuk EV adalah dikecualikan sepenuhnya dari duti imoprt, manakala EV CKD pula adalah dikecualikan sepenuhnya dari duti eksais dan juga cukai jualan – insentif ini berkuatkuasa bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2025.

Sebagai perbandingan, EV yang diimport sepenuhnya (CBU) hanya akan menerima pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais bermula 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2023. Jadi, dengan menghasilkan model EV CKD di Malaysia, VCM bukan sahaja dapat menikmati insentif pengecualian duti import dan eksais dalam tempoh lebih lama, malah mereka juga mendapat pengecualian sepenuhnya terhadap cukai jualan, membolehkan model-model berkenaan dijual pada harga lebih kompetitif.

Sebelum ini, fasiliti Volvo Car Manufacturing di Shah Alam berkenaan turut menjadi kilang Volvo pertama di luar Sweden yang mampu menghasilkan model-model yang dijana unit rangkaian kuasa plug in hybrid (PHEV) Twin Engine. Sehingga kini, kesemua model Recharge PHEV Volvo yang dijual di Malaysia, dari XC40 sehingga ke S90 adalah dihasilkan di Shah Alam, dan ia turut dieksport ke pasaran Asia Tenggara yang lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required