Apakah perkara penting bagi pemanduan autonomous? Bagi Nissan, ia adalah kemampuan untuk mengelak kemalangan dalam apa jua keadaan. Demi membawa syarikat ke arah itu, Nissan telah membangunkan satu sistem penghindaran perlanggaran versi dipertingkat.
Sistem baru yang dikatakan sebagai “teknologi penglihatan permukaan sebenar” ini dapat membenarkan kenderaan Nissan melakukan pergerakan mengelak perlanggaran secara automatik, dengan ketepatan tinggi. Ia menggunakan kombinasi teknologi LiDAR generasi seterusnya (bahagian paling penting), radar serta kamera.
Menurut Nissan, sistem baru ini dapat mengesan bentuk dan jarak objek, serta struktur kawasan sekeliling kenderaan pada waktu sebenar. Ia menggunakan informasi yang diperoleh untuk mengenal pasti keadaan secara pantas, membuat penilaian dan melakukan pergerakan mengelak.
Selain daripada itu, ia juga dapat mengesan trafik yang semakin perlahan serta halangan atas jalan dari jauh, serta melakukan penukaran lorong yang bersesuaian. Nissan berkata, ciri ini adalah berguna bagi kawasan yang tidak mempunyai informasi peta yang terperinci seperti dalam terowong ataupun kawasan letak kereta bawah tanah.
Dalam membangunkan sistem ini, Nissan telah bekerjasama dengan syarikat teknologi gergasi, Luminar (juga terlibat dengan Mercedes-Benz dan Volvo) untuk bahagian perkakas, serta Applied Intuition untuk simulasi canggih.
Nissan meletakkan sasaran untuk melengkapkan pembangunan teknologi baru mereka ini pada pertengahan dekad ini dan ia dijangka digunakan terus pada model terpilih selepas itu, dan seterusnya dijadikan sebagai ciri standard bagi setiap model yang dikeluarkan bermula 2030.


Nissan Serena e-Power
dari RM 154,800
Nissan Kicks e-Power
dari RM 113,800
Nissan Navara
dari RM 98,600
Nissan Almera
dari RM 83,888
Nissan Leaf
dari RM 168,888
Nissan X-Trail
dari RM 133,888
Nissan NV200
dari RM 79,800