MForce Bike Holdings Sdn Bhd hari ini melakukan pra tonton tiga model sports permulaan kepada media, bagi mendapatkan maklum balas sebelum dibawa masuk ke dalam pasaran. Ia terdiri daripada dua model QJMotor, iaitu 250 RS dan 250 RR, serta satu model WMoto, iaitu Voge 250 RR. Setiap model ini mempunyai kelebihan tersendiri yang berbeza.
Bermula dengan WMoto Voge 250 RR yang berwarna biru, ia adalah sebuah motosikal yang dipacu enjin satu silinder 249 cc SOHC daripada Loncin, bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 27 hp dan 23 Nm tork.
Keistimewaan model ini adalah ia datang dengan panel meter TFT berwarna penuh, yang selain memaparkan informasi penting motosikal, juga boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui fungsi Bluetooth. Melalui demonstrasi yang ditunjukkan oleh wakil MForce, skrin ini boleh memaparkan apa sahaja daripada telefon anda (seperti fungsi mirroring), termasuk video.
Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera depan dan belakang dengan fungsi ABS dual-channel, fork USD di hadapan, monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang, soket USB, dua mod tunggangan, tuil klac jenis kabel, serta lampu LED.
Pergi pula kepada QJMotor 250 RS (warna kelabu), ia juga menggunakan enjin satu silinder 249 cc dan transmisi enam kelajuan, tetapi dilengkapi dengan sistem DOHC dan mampu menghasilkan 27 hp dan 22.5 Nm tork. Ia sebenarnya adalah model yang sama seperti QJMotor SRK250RS yang dipasarkan di China.
Panel meter model ini cuma menggunakan unit digital LCD, dan bukannya TFT seperti WMoto Voge 250 RR, tetapi ia mempunyai kelebihan lain iaitu lengan ayun jenis tunggal (single sided) dan rim dua tona warna. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera, dan dilengkapi dengan ABS dual-channel.
Kelengkapan lain pada model ini adalah termasuk fork USD, monoshock dengan pelarasan pra beban, pengecas USB, lampu LED, tangki bahan api 12.5 liter, berat keseluruhan 159 kg, tinggi tempat duduk 780 mm dan rim 17 inci yang dibalut tayar masing-masing 110/70 di hadapan dan 140/60 di belakang.
Apabila ketiga-tiga model ini dihidupkan, paling sedap didengar adalah QJMotor 250 RR (warna hitam). Ini kerana ia datang dengan enjin dua silinder sebaris 249 cc DOHC, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan. Dalam laman web QJMotor, model yang mempunyai bentuk sama dengan 250 RR ini adalah QJ400GS-G, tetapi ia datang dengan enjin 400 cc. Berkemungkinan kapasiti enjinnya telah diturunkan untuk dijadikan sebagai 250 RR, dan MForce memberitahu, ia boleh menghasilkan 27 hp dan 21 Nm tork.
Ia juga cuma menggunakan panel instrumen LCD seperti 250 RS (bukannya TFT seperti WMoto Voge 250 RR), dan dilengkapi lengan ayun biasa (bukan single sided), sementara kelengkapan lainnya adalah termasuk brek cakera dengan ABS dual-channel, lampu LED, fork USD, monoshock dengan pelarasan pra beban serta pengecas USB. Jika betul 250 RR ini menggunakan badan sama dengan QJ400GS-G, tangki bahan apinya mungkin berkapasiti 14 liter dan berat keseluruhan yang mungkin kurang sedikit daripada 187 kg.
Harga serta tarikh pelancaran tiga model ini masih belum didedahkan, dan seperti yang dinyatakan tadi, MForce cuma mahu mendapatkan maklum balas daripada orang ramai mengenainya. Bayangan yang diberikan, jika QJMotor 250 RR boleh dijual pada harga sekitar RM20k, berapa pula harga yang boleh diterima untuk model QJMotor 250 RS dan WMoto Voge 250 RR? Adakah spesifikasinya cukup bagus bagi anda?
GALERI: QJMotor 250 RR
GALERI: QJMotor 250 RS
GALERI: WMoto Voge 250 RR
Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.