Honda Civic Type R 2023 – imej bocor sebelum dilancarkan secara rasmi pada 21 Julai nanti!

Honda Civic Type R 2023 – imej bocor sebelum dilancarkan secara rasmi pada 21 Julai nanti!

Pelbagai teaser telah disiarkan sebelum ini bagi menghangatkan suasana sebelum Honda Civic Type R generasi baharu didedahkan secara rasmi. Honda telah mendedahkan imej awalan hot-hatch berkenaan, dan pelbagai video ujian serta time attack di litar Suzuka dan Nürburgring, namun kesemua imej unit prototaip tersebut masih dilindungi pelekat penyamaran.

Minggu ini Honda telah membuat pengumuman rasmi bahawa Civic Type R 2023 berkenaan akan membuat kemunculan sulung global pada 21 Julai nanti. Namun sebelum pendedahan rasmi tersebut, imej sebenar model berkenaan nampaknya telah bocor di internet!

Imej ini dijumpai oleh seorang ahli Civic11Forum dengan nama Palmer8 – gambar Civic Type R tersebut disiarkan bersama beberapa model lain yang akan ditayangkan di laman web pelawat Honda (Honda Welcome Plaza Aoyama). Namun hanya satu gambar yang disiarkan iaitu imej berdefinisi rendah menayangkan bahagian suku hadapan Civic Type R tersebut.

Model generasi baharu ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback – berdasarkan apa yang dibuat pada model generasi FK8 sebelum ini, rupa untuk model 2023 ini sememangnya sudah boleh diagak. Gambar yang bocor ini jelas menunjukkan bahawa ia diberikan fender yang lebih gemuk bagi menjadikan ia lebih lebar, serta bampar hadapan yang lebih agresif menampilkan liang pengambilan udara lebih besar dengan gril atas dan bawah diberikan elemen sarang lebah.

Berbanding FK8 yang menampilkan liang udara bonet yang direka sebagai skup udara, liang pada bonet model 2023 ini nampaknya berada di kedudukan lebih hadapan, dan ia tenggelam seakan untuk mengalirkan udara panas dari ruang enjin keluar. Juga terdapat liang aliran udara di belakang ruang roda hadapan, dengan skirt sisi seakan direka sebagai splitter udara, serta spoiler belakang bersaiz besar kini direka ala GT-Wing.

Unit “hero” untuk Civic Type R ini masih menerima warna tradisi Championship White. Manakala kesemua fender yang lebar berkenaan melindungi set roda dengan rim kemasan hitam dan tayar yang lebar dan besar (mungkin sama dengan FK8 dengan saiz 245/30R20), bersama angkup brek berwarna merah yang juga lebih besar dari biasa.

Honda masih belum memberikan sebarang pembayang berkenaan spesifkasi teknikal Civic Type R 2023 ini. Namun ia berkemungkinan masih menggunakan unit rangkaian kuasa sama seperti Type R FK8 tetapi diberikan beberapa tingkat taraf.

Pada model sedia ada, Honda Civic Type R dijana oleh enjin K20C1 2.0L turbo empat silinder berkuasa 320 PS (306 hp) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan hanya dengan kotak gear manual enam-kelajuan bersama unit LSD untuk memacu roda hadapan. Boleh diagak model generasi baharu ini masih tetap akan ditawarkan dengan kotak gear manual.

Walaupun masih belum diperkenalkan secara rasmi, Honda Civic Type R ini sudahpun memecahkan rekod lap kereta pacuan roda hadapan terpantas di Litar Suzuka dengan catatan masa 2 minit 23.120 saat. Masa yang dicatatkan ini cukup untuk memecahkan rekod yang dibuat oleh versi paling hardcore dan paling ringan untuk FK8 iaitu Type R Limited Edition yang mencatatkan masa 2 minit 23.993 saat – hampir satu saat lebih perlahan! – pada tahun 2020.



GALERI: Honda Civic Type R 2023 Prototype

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required