PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium grey importer?

PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

Yang mendominasi pasaran MPV premium atau mewah di sini secara umumnya adalah model-model terpakai daripada pengimport persendirian. Paling tidak, ini merupakan situasinya bagi model-model MPV besar yang popular — sebagai contoh, Toyota Estima, Alphard/Vellfire (walaupun antaranya ada yang pernah ditawarkan oleh pengedar rasmi di sini sebelum ini) misalnya.

Sangat jarang ada penawaran yang menempati segmen ini daripada pengedar rasmi; yang banyak di atas jalan dari kelompok ini pula adalah kenderaan MPV untuk kegunaan komersial, bukan MPV premium untuk penumpang. Itu cerita lain. Tetapi, dengan Kia Carnival 2022 CKD yang ditawarkan dalam pasaran ketika ini, ia secara tak langsung menjadi sebuah model yang cukup menarik dan penting untuk diperhatikan.

Walaupun tidak duduk dalam satu kelompok yang setara dengan Alphard/Vellfire dari segi saiz dan penawarannya, namun dengan harga jualannya yang berada di dalam kurungan yang hampir sama dengan model-model grey import yang dinyatakan itu menjadikannya sebagai pesaing yang tidak langsung, yang sangat wajar dipertimbangkan oleh mereka yang sedang mencari sebuah MPV besar, premium dan mewah.

Lebih setanding dengan penawaran Kia Carnival 2022 ini di Malaysia sebenarnya adalah penawaran dari jenama “saudara” dari Korea Selatan sendiri, mana ada yang lain selain Hyundai. Ini kerana, jika dilihat daripada kapasiti atau konfigurasi tempat duduk, Hyundai Grand Starex pernah hadir dengan 11-tempat duduk juga. Tetapi ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, serta tempoh penawarannya untuk pasaran tempatan juga sudah agak lama. Tetapi ada satu lagi model MPV Hyundai yang terbaru, dengan nama Staria, sebagai ganti lawannya.

PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

Hyundai Staria pertama kali diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada Oktober 2021 dengan hanya satu varian Premium sahaja, dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk. Dan minggu ini pula, tiga lagi varian terbarunya diperkenalkan di sini — Lite, Plus dan Max, dengan konfigurasi 10-tempat duduk pula.

Ini menjadikan penawaran dua jenama kenderaan Korea Selatan yang bernaung di bawah kumpulan yang sama itu sangat mirip: cuma melibatkan keterbalikan antara penawawan varian antara mereka — Staria dengan tiga varian untuk konfigurasi 10-tempat duduk (sebaliknya hanya ada satu varian Carnival 11-tempat duduk) manakala tiga varian untuk model 7/8-tempat duduk bagi Carnival (sementara hanya ada satu varian tujuh-tempat duduk untuk Staria).

Perlu dimaklumkan, dengan kehadiran Staria sekarang, inilah model yang menggantikan Grand Starex sebelum ini. Hyundai Staria Lite ditawarkan pada harga bermula RM179,888, manakala Plus dengan RM196,888 dan bagi spesifikasi tertinggi Max pula berharga RM209,888.

Kia Carnival dalam generasi terbaru ini pula mula diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada Januari 2022. Ketika itu, hanya satu varian ditawarkan: CBU dari Korea Selatan dengan konfigurasi 11-tempat duduk. Harga bagi varian ini juga agak menarik untuk nilai yang diberikan sebenarnya, dengan dijual pada harga RM196,341 (termasuk pengecualian cukai CBU 50% sebelum ini).

PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

Jika anda perasan, model CBU ini harganya agak ketara lebih rendah berbanding versi CKD yang akan kita lihat dalam tulisan ini. Hal ini adalah kerana, dengan jumlah 11-tempat duduk itu, ia diklasifikasikan sebagai kenderaan komersial, dan bukannya kategori kenderaan penumpang biasa. Itu sebabnya.

Selepas itu, ada pula beberapa pertambahan yang diberikan bagi model tahun 2022. Pertama, ia merupakan model pemasangan tempatan (CKD) dan bukan lagi CBU dari Korea Selatan. Kedua, ia ditawarkan dengan tambahan tiga varian terbaru, melibatkan pilihan konfigurasi tujuh atau lapan tempat-duduk. Bagaimanapun, model 11-tempat duduk juga masih tetap dijual kepada yang berminat. Jika ada yang berminat, kami juga pernah memandu uji varian ini yang boleh dibaca di sini.

Tiga varian yang dimaksudkan itu terdiri daripada varian 2.2D 8-tempat duduk yang dijual pada harga RM231,229 atas jalan tidak termasuk insurans; 2.2D 8-tempat duduk High pada harga RM247,229; dan 2.2D 7-tempat duduk High dengan harga RM261,229. Semua harga ini termasuk SST. Dapat dilihat, perbezaan harga berbanding model 11-tempat duduk sebelum ini adalah sangat ketara. Namun, varian terbaru ini juga banyak kelebihan lain yang cukup menarik.

Kita lihat dulu ukuran dimensi MPV premium ini. Ia memiliki ukuran 5,155 mm panjang, 1,995 mm lebar, 1,740 mm tinggi dan jarak roda 3,090 mm. Ini menjadikan saiznya agak besar, dan kelebihnya adalah ruang kabin yang tersedia juga luas. Jika dengan 11-tempat duduk ia mampu tampung, bayangkan keselesaan dan keluasan yang tersedia dengan tiga atau empat kerusi itu “dibuang”: ruang yang berbaki sangat banyak dan boleh dimanfaatkan dengan cara yang pelbagai. Jika dibandingkan dengan model Carnival sebelum ini, dimensi keseluruhan bagi model 2022 adalah lebih besar dengan pertambahan panjang (+40 mm), lebar (+10 mm) dan jarak roda (+30 mm).

PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

Jadi, apa yang membezakan versi 11-tempat duduk dengan varian yang terbaru ini? Dari segi rekaan luaran, hanya ada sedikit perkara yang membezakan antara mereka. Pertama, bagi dua varian paling tinggi — iaitu versi 7-tempat duduk High dan 8-tempat duduk High — ia dilengkapi dengan sunroof pada bahagian bumbungnya, menandakan ini varian yang lebih premium. Kedua ialah bahagian rekaan lampu melintang di belakang, yang menghubungkan kluster lampu brek di kiri dan kanannya: dan kini ia turut dilengkapi dengan jalur LED.

Selebihnya, dari sudut penampilan luaran, Carnival CKD tampil hampir sama dengan model CBU. Antaranya model CKD ini juga lengkap dengan lampu utama LED automatik yang bersambung dengan gril serta rim 18-inci jejari-Y dengan dua tona serta landasan bumbung warna perak. Perbezaan yang dapat dilihat hanyalah lampu belakang kini LED sepenuhnya, dalam kelebaran penuh, seperti dinyatakan itu.

Enjin yang digunakan pula tetap sama untuk semua varian yang ditawarkan ini, iaitu unit Smartstream 2.2D empat-silinder turbodiesel, yang menjana sebanyak 199 hp pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork dari 1,750-2,750 rpm. Ini MPV pacuan roda depan, dan semua kuasa disalurkan melalui transmisi automatik lapan-kelajuan, memberikan kadar penggunaan minyak atas kertas 6.5 l/100 km mengikut kitaran NEDC.

Dan tentulah, setelah meluangkan banyak masa ketika perjalanan pergi-balik dari Shah Alam ke Pulau Pinang dengan Carnival CKD terbaru ini, makin terserlah kelebihan yang ia miliki, yang mana kebanyakannya terletak di bahagian dalam kabin. Tataletak papan pemuka model ini praktikal dan ringkas, memudahkan semua pemerhatian dan pergerakan yang mungkin ada. Untuk pemandu, kluster instrumen digital yang ada cukup luas dengan saiz 12.3-inci, memudahkan paparan dan penglihatan ke atas setiap maklumat pemanduan dan kenderaan.

Begitu juga di tengah papan pemuka, paparan dengan besar 12.3-inci yang sama melengkapi pengalaman antaramuka sistem hiburan MPV ini — ia sebuah skrin sentuh dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Peralihan di skrinnya juga lancar dan mudah untuk digunakan. Tidak lupa, ada juga sistem Surround View Monitor (SVM) yang dalam banyak keadaan, sangat banyak membantu pemandu, terutama ketika masuk ruang parkir yang sempit kerana saiz MPV ini agak besar.

Disebabkan ini sebuah MPV premium, sistem audionya menampilkan unit premium juga dari Bose. Selain itu, turut terdapat pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi. Kelengkapan lain yang turut disediakan termasuklah tujuh slot USB Type-A (satu untuk data, dua untuk pengecas di depan dan dua lagi di belakang kerusi depan, dengan dua lagi di sisi kabin untuk barisan ketiga), dua ruang cawan untuk barisan kedua dan empat ruang cawan untuk barisan ketiga.

Kawalan pendingin adalah versi tiga-zon, dengan kawalan di barisan akhir terletak di bahagian kanan bumbung barisan kedua: udaranya keluar dari saluran di bumbung untuk barisan belakang berkenaan. Bagi ruang pula, tak ada apa yang boleh dikeluhkan: kedua-dua versi CKD ini memberikan tambahan ruang untuk barangan — 627 liter, dengan kerusi barisan terakhir boleh dilipat dalam nisbah 60:40. Melipat kerusi ini dengan rata, ia akan memberikan pertambahan ruang sebanyak 2,785 liter lagi — cukup besar dan versatil untuk menukar MPV ini ke dalam mod pengangkut barangan.

Saya sendiri yang sebelum ini belum pernah cuba menggunakan Kia Carnival 2022 ini merasakan ada banyak perkara yang “betul” dan menarik tentang MPV ini. Seperti dinyatakan awalnya, kelebihan utama varian terbaru ini jika dibandingkan dengan versi 11-tempat duduknya tentulah di ruang kabin. Bergantung juga bagaimana cara anda melihat situasi ini. Jika memang memerlukan jumlah tempat duduk yang banyak, maka terang-terang versi 11-tempat duduk memberikan kelebihan itu, untuk dimanfaatkan membawa penumpang secara optimum seperti yang dihasratkan oleh rekaannya.

PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

Tetapi, jika anda lebih mementingkan suasana elegan dan ruang kabin yang luas untuk beristirehat atau perjalanan keluarga yang jauh lebih selesa, maka versi 7/8-tempat duduk ini lebih menarik sebenarnya. Kelebihan tiga varian baru yang diperkenalkan itu adalah ia memberikan pilihan susunan atau konfigurasi kerusi yang pelbagai, dengan keutamaan untuk berehat dan juga berinteraksi dengan lebih berkesan.

Versi lapan-tempat duduk lebih straightforward: ia menyediakan tiga barisan kerusi dengan lebihan ruang di belakang dikosongkan untuk digunakan membawa barang. Mudahnya, jika dalam varian 11-tempat duduk, konfigurasi tempat duduknya adalah 2-3-3-3, sementara untuk yang 8-tempat duduk, barisan terakhir itu tiada lagi, menjadikan konfigurasinya 2-3-3 sahaja.

Hanya bagi model 8-tempat duduk ini juga, ia ada satu kelebihan lain — kerusinya boleh diaturkan dalam mod bebas pelbagai guna. Apa yang dimaksudkan adalah, kerusi barisan keduanya boleh dialihkan jadi terbalik ke belakang dan menghadap kerusi barisan ketiga. Dan, kerusi tengah barisan kedua itu boleh juga dilipat dan dijadikan talam meja. Ini konfigurasi yang mungkin berguna dalam perjalanan bersahaja dan penumpang ingin berbual secara bersemuka, atau mungkin perlu diadakan perbincangan impromtu. Semua kemungkinan ini mampu digalas oleh Kia Carnival 2022 8-tempat duduk.

Yang lebih menarik daripada itu saya rasakan ada pada varian tujuh-tempat duduk. Barisan keduanya hanya tinggal dua kerusi penuh — captain seat — yang lebih selesa dan luas untuk penumpang, dan dalam masa yang sama boleh dilaraskan untuk dibaringkan sepenuhnya bagi membolehkan penumpang berehat, bahkan untuk tidur dengan lega dan lejang kaki ketika dalam perjalanan — ini menurut Kia dirujuk sebagai mod kerusi Premium Relaxation. Ia merupakan ciri yang biasanya ada dalam MPV mewah yang lebih mahal oleh jenama lebih premium, tetapi tetap ditawarkan untuk Carnival 2022 CKD ini.

PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

Namun, untuk membolehkan anda mengubah semua kedudukan kerusi itu seperti yang diinginkan, ia perlu dilakukan secara manual. Tidak ada satu sentuhan butang untuk mengalihkan kerusi untuk menghadap belakang, misalnya. Anda perlu “bekerja” dan berusaha lebih sedikit sebelum boleh bersenang-lenang di dalam kabinnya. Ini bukanlah kekurangan yang terlalu besar: ia boleh difahami dalam penawaran segmen MPV ini, yang masih lagi memberikan pengalaman premium sebenar menerusi keselesaan dan pengendaliannya.

Saya yang pertama kali memandu MPV besar ini sejak dari awal amat tertarik dengan segala aspek pemanduan yang diberikannya. Kebiasaannya, jika berada di belakang stereng sebuah MPV, ada banyak keinginan yang perlu di”korban”kan kerana gaya pemanduan yang diberikan sangat berbeza berbanding kereta misalnya.

MPV biasa dengan rekaan bumbung dan badan yang tinggi tentulah akan memberikan rasa dinamik pemanduan yang berlainan sama sekali. Apa lagi dengan MPV yang saiz besar, untuk melayan selekoh dalam kelajuan yang sedikit tinggi, atau dengan kilasan stereng yang sedikit keras, bukanlah satu hal yang bijak untuk dilakukan.

Semua ini berbeza sekali dengan Kia Carnival 2022 CKD. Walaupun saiznya agak besar dan panjang, kedudukan bumbungnya tidaklah setinggi MPV biasa. Ia bukan rekaan “kotak” berpetak semata, sebaliknya mempunyai aerodinamik yang cukup baik. Lebih terasa berkaitan kemampuan pengendalian dan maklum balas sterengnya ini adalah ketika melalui jalan sempit dari Tanjong Tokong ke Batu Feringghi seperti yang sempat dicuba ketika memandunya.

MPV ini agak tangkas dan cukup mudah dikendalikan. Ia berkemampuan untuk memberikan input stereng yang tepat sekaligus memudahkan perkiraan dan pertimbangan ketika memandu, disamping tidak terlalu rasa terbeban dengan reka bentuk dan saiznya. Ada dalam banyak keadaan, saya terlupa yang sedang dipandu ini adalah sebuah MPV dengan tiga baris tempat duduk dan bukannya kereta sedan.

Di sebalik semua kelebihan yang boleh dirasakan ketika memandunya itu, senjata yang lebih penting yang membolehkan semua itu dinikmati adalah enjinnya. Untuk lebih tepat, unit enjin turbodiesel 2.2 liternya. Menarik untuk diperhatikan, walaupun enjin diesel memang terkenal dengan ciri lonjakan kuasa dalam rpm rendah — dan inilah yang sangat mengembirakan kepada pemandu, kerana tak akan pernah merasakan MPV ini malas untuk dikerah.

Dari dalam kabin sebenarnya kita tak akan perasan pun yang sedang memacu itu adalah enjin diesel kerana ia begitu senyap di dalam. Tak terasa sedang memandu sebuah MPV dengan jumlah penumpang yang ramai. Dengan semua perkara berkaitan praktikaliti dan prestasi ini, maka Kia Carnival CKD 2022 sebenarnya mempunyai posisi yang cukup penting dan menarik dalam pasaran.

PANDU UJI: Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022 — boleh tapau MPV premium <em>grey importer</em>?

Dan, bersesuaian dengan tanda harga yang diletakkan, serta tumpuan kegunaan untuk keluarga, sistem keselamatan yang melengkapinya juga adalah yang terkini dan termaju. Selain ciri keselamatan yang kini standard untuk semua kenderaan, Kia Carnival 2022 CKD turut hadir dengan ciri keselamatan canggih seperti Smart Cruise Control (SCC), Lane Following Assist (LFA), Forward Collision-Avoidance dengan Junction Turning, Lane Keeping Assist (LKA), Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist (RCCA), Blind Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Multi-Collision Braking (MCB), High Beam Assist (HBA) serta beberapa ciri lain.

Tidak cukup dengan itu, Kia Carnival 2022 CKD turut hadir dengan jaminan lima-tahun serta penyelenggaraan percuma juga selama lima-tahun (termasuk buruh, alat ganti dan minyak bendalir).

Jadi, apa rangkuman pandangan tentang model ini? Saya fikir, dengan sokongan lepas jualan yang penuh daripada pengeluar, begitu juga dengan keseimbangan antara praktikaliti dan prestasi mekanikal yang dibalut dengan kemewahan seperti ditunjukkan oleh MPV ini, ia membuktikan bahawa Kia Carnival 2022 CKD adalah sebuah calon yang perlu diambil serius sekiranya anda mempertimbangkan sebuah MPV premium atau mewah ketika ini dan sekiranya mampu mengeluarkan bajet di sekitar harga yang ditetapkan itu.

Kia Carnival 2.2D 7-Tempat Duduk High 2022

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required