Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan untuk minggu bertarikh 3 hingga 9 November 2022, harga bagi ketiga-tiga bahan api utama di negara ini masih dikekalkan. Termasuklah dengan harga runcit bagi petrol RON 97 ditetapkan pada paras RM3.95 seliter. Ini merupakan minggu keempat harga runcit bagi RON 97 masih dikekalkan.

Begitu juga dengan petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, turut masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya juga dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

Harga yang diumumkan ini dilaksanakan mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 9 November 2022.

MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.