Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

Semalam SUV kompak dari Honda iaitu WR-V telah pun membuat kemunculan sulung peringkat globalnya di Indonesia, dan ia akan diproduksi di negara berkenaan kemudian turut dieksport keluar. Menurut pengarah jualan dan pemasaran Honda Prospect Motor, Yusak Billy dalam laporan akhbar Kompas, produksi WR-V akan bermula pada bulan Disember 2022 dengan kumpulan pertama akan dihasilkan sebanyak 1,700 unit.

Beliau turut menambah bahawa pasaran-pasaran eksport yang akan menerima WR-V dari Indonesia ini bakal diumumkan kemudian, manakala fasiliti produksi mereka mampu menghasilkan sebanyak 6,000 unit SUV berkenaan setahun, bergantung kepada permintaan dan juga bekalan komponen termasuk cip semikoduktor.

Honda WR-V merupakan SUV segmen-B yang lebih kecil dari HR-V, disasarkan untuk bersaing dengan kembar Perodua Ativa di Indonesia iaitu Daihatsu Rocky dan Toyota Raize. Ia adalah versi produksi bagi SUV RS Concept yang didedahkan di republik tersebut tahun lalu. Tiga varian WR-V ditawarkan di Indonesia iaitu varian asas E dengan harga bermula Rp.271.9 juta (RM82,395), varian pertengahan RS dijual pada harga Rp.289.9 juta (RM87,865), diikuti varian RS dengan Sensing berharga Rp.309.9 juta (RM93,939).

Sebagai perbandingan, di Indonesia Daihatsu Rocky dijual pada harga bermula Rp 205.2 juta (RM61,825) untuk varian paling asas 1.2L NA dengan kotak gear manual lima kelajuan hingga Rp 273.6 juta (RM82,433) untuk model paling tinggi 1.0 R TC CVT. Jadi secara asasnya harga Honda WR-V ini memang lebih mahal dari Ativa/Rocky walaupun bersaing dalam kelas yang sama

Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

Walaupun dijelmakan kepada model produksi dengan perincian yang lebih munasabah, WR-V masih memberikan imej yang sangat unik dan menarik. Ia dihasilkan dengan ukuran 4,060 mm panjang dan 1,780 mm lebar atau 4 mm lebih pendek berbanding Ativa, tetapi 70 mm lebih lebar dari lawannya dari Perodua/Daihatsu itu.

Tinggi Honda WR-V ini pula adalah 1,608 mm dan jarak rodanya pula adalah 2,485 mm, bermakna ia 27 mm lebih rendah serta jarak rodanya adalah 40 mm lebih dekat berbanding Perodua Ativa. Ia menerima enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 121 PS dan tork maksima 145 Nm, iaitu unit yang sama diberikan pada Honda City serta HR-V varian paling asas. Kuasa hanya disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

Seperti model-model segmen-B dan dan segmen-A Honda yang lain, WR-V turut menerima konfigurasi suspensi topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang. Ia juga dipadankan dengan brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang untuk semua varian. Sementara untuk roda pula varian diberikan rim 16-inci lima-jejari dengan tayar 215/60R16, manakala varian RS menerima rim 17-inci dua tona dengan tayar 215/55R17.

Honda WR-V – lawan Perodua Ativa mula produksi di Indonesia pada Dis 2022, eksport bermula 2023

Model paling asas E datang dengan kelengkapan seperti penghidup enjin jarak jauh, butang penghidup enjin, skrin sesentuh 7-inci, kamera undur dengan pandangan pelbagai sudut, empat pembesar suara, panel pendingin hawa digital, tempat duduk balutan fabrik, empat beg udara dan juga VSA.

Manakala varian RS pula menerima penggayaan luaran lebih sporty (gril hadapan krom-hitam) tambahan lampu depan LED dengan lampu nyalaan siang LED, ciri kunci pintu automatik ketika bergerak meninggalkan kereta, kluster meter digital dengan paparan 4.2-inci, enam pembesar suara, upholsteri tempat duduk gabungan kulit dan fabrik, stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, skrin infotainmen 7.0-inci serta cermin sisi lipatan automatik.

Varian tertinggi RS dengan Sensing masih menerima kelengkapan yang sama seperti varian RS, dan seperti namanya, model ini diberikan sistem bantuan pemanduan Honda Sensing dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, lampu tinggi automatik, dan sebagainya serta kamera titik buta LaneWatch dan enam beg udara.

Warna badan yang ditawarkan untuk WR-V ini di Indonesia adalah Taffeta White (E sahaja), Meteoroid Gray Metallic, Crystal Black Pearl, Stellar Diamond Pearl (RS sahaja) dan Ignite Red Metallic (RS sahaja). Pembeli model RS dalam warna Ignite Red Metallic turut ditawarkan dengan pilihan bumbung hitam melibatkan tambahan Rp.2.5 juta (RM757).

Tiada sebarang petunjuk dari Honda Malaysia sama ada ia berminat untuk membawa model ini ke Malaysia atau tidak. Sekiranya ia di bawa ke sini, ada kemungkinan kita tidak menerima unit dari kilang Indonesia kerana Honda Malaysia lazimnya memproduksi semua model mereka di kilangnya sendiri terletak di Pegoh, Melaka bagi mendapatkan harga jualan yang lebih kompetitif.

Namun secara realistiknya, agak sukar untuk memasarkan model ini di Malaysia. Ini kerana WR-V merupakan produk entry-level dari Honda, dan ia perlu bersaing dengan model jenama tempatan di sini. Perodua Ativa dijual pada harga bermula RM62,500 sehingga RM72,600 – jadi ramai ke yang sanggup membayar harga sebuah Honda entry-level dalam spesifikasi paling kosong lebih mahal dari varian tertinggi yang ditawarkan Perodua Ativa?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required